Cerita ArtisHiburan

Berkecimpung Dalam Lakonan, Haridz Bukan Mahu Kejar Populariti

Apabila mula terbabit dalam bidang lakonan, tidak dinafikan ia akan hadir seiring dengan populariti. Apatah lagi sekiranya naskhah itu mendapat perhatian penonton.

Bagi pelakon baharu, Mohd Haridz Mohamad Suhaile, pembabitannya dalam lakonan adalah kerana minat yang mendalam dan bukanlah semata-mata mahu mengejar populariti.

“Saya mula berlakon sejak tahun lalu menerusi drama Dia Kembarku yang ditayangkan di TV3. Selepas itu timbul minat untuk lebih serius, meskipun pada peringkat awalnya lebih kepada minat untuk mencuba sahaja.

“Bagaimanapun, hasrat saya berkecimpung dalam lakonan ini bukan sekadar nak kejar populariti. Kalau boleh saya nak raih seberapa banyak pengalaman sebagai seorang pelakon,” jelas pelakon berusia 25 tahun itu.

Haridz berkata, biarpun mahu lebih serius untuk menjadi seorang pelakon, semuanya bergantung kepada penerimaan orang ramai yang menonton lakonannya.

“Untuk memantapkan lagi mutu lakonan, saya juga ada menyertai kelas lakonan yang dianjurkan oleh pengarah Isma Yusoof dan banyak ilmu yang saya peroleh untuk menjadi seorang pelakon,” ujarnya.

Dalam pada itu, Haridz yang juga pemegang Diploma Syariah Dan Undang-Undang dari Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) itu bersyukur kerana diberi peluang untuk memegang watak utama dalam telefilem Rock Sampai Jannah.

Menerusi telefilem yang akan menjalani penggambaran pada Ogos atau September ini, ia turut menampilkan barisan artis seperti Afiq Syazwan, Sharul Kamal dan Ayie Floor88.

“Saya tidak sangka akan diberi peranan watak utama untuk telefilem ini. Apa pun saya berterima kasih kepada penerbit Khalisya Consultant Sdn. Bhd. untuk peluang yang diberikan,” jelasnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button