Gaya HidupMakan Time

Dalam Tempoh Tiga Hari, Kek Absolut Chocolat Terjual 13,000 Kotak

Keluaran kek jenama Absolut Chocolat yang diusahakan pasangan suami isteri, Ben Ali dan Nadiyah Shahab di bawah syarikat Absolut Brands Sdn. Bhd. mendapat sambutan luar biasa.

Ketika festival Mood Republik yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC) baru-baru ini, ia mencipta fenomena membanggakan apabila lebih 13,000 kotak kek terjual dalam tempoh tiga hari.

“Sebanyak 13,000 kotak kek terjual dalam masa tiga hari dan ia memang sesuatu yang agak mengejutkan dengan ia menjadi pencapaian serta kebanggaan peribadi kami. Kalau ikutkan kami mahu buat tambahan, tetapi pihak operasi tidak mampu memenuhi permintaan.

“Sepanjang acara selama tiga hari itu juga kami berjaya memecahkan rekod peribadi jenama ini dengan mencatat keuntungan jualan kasar mencecah enam angka,” ujar Ben Ali yang juga Pengarah Urusan Absolut Brands Sdn. Bhd.

Dia berkata, sejak diperkenalkan pada Februari tahun lalu, kek berkenaan terus mencipta sensasi dan pengaruh yang tersendiri.

Ujarnya, hanya dengan dipromosikan di Instagram selain menggunakan populariti rakan artis mempromosikannya, kek berkenaan lantas mencuri tumpuan ramai.

“Bagi menyuntik kelainan kami turut melancarkan minuman Teh Susu Boba di bawah cabang Absolut Brew pada festival berkenaan sebagai memberi variasi kepada produk yang kami keluarkan.

“Kami tidak boleh terus berada di zon selesa dengan produk yang sedia ada. Beberapa jenis produk makanan dan minuman dijangka dipasarkan pada masa mendatang,” ujarnya.

Bermula dengan kek coklat, pilihan kini telah dikembangkan untuk jenis Boba Milk Tea dan Milk Lava.

“Kita mahu jadi lebih eksklusif dalam memberikan pilihan kek kepada penggemarnya. Kek coklat mula dikeluarkan Februari tahun lalu. Kira-kira bulan September lalu, kita keluarkan pula kek Milk Lava. Kami percaya orang cepat bosan dengan jenis kek yang dijual. Jangka hayat satu kek itu boleh bertahan dalam tempoh enam bulan.

“Kita percaya variasi ini perlu dalam memberi pilihan kepada peminat kek. Orang cepat bosan dengan kek dan kehangatannya akan mula turun. Sebab itu juga kita keluarkan produk minuman pula.

“Alhamdulillah, permintaan kek ini sejak dari dulu hingga ke musim perayaan terus meningkat. Namun begitu, ia bukan jaminan untuk terus selesa dengan apa yang ada. Selama setahun lebih kek ini berada di pasaran, perkembangannya cukup meluas hingga pada satu tahap tidak mampu menampung permintaan masyarakat,” kata Ben.

Bermula dengan operasi kecil-kecilan di gerai jualan hinggalah ke tahap menyewa premis kedai dua tingkat di Cheras, Ben dan rakan kongsi yang juga isterinya, Nadiyah Shahab boleh tersenyum bangga kerana usaha mereka membuahkan hasil hingga menjadi terkenal.

“Bisnes ini semuanya bermula sebab kami nak cari duit lebih untuk berkahwin dan daripada suka-suka nak cari duit tambahan, tanpa disangka minat kami terus bercambah untuk lebih serius dalam dunia perniagaan. Saya sendiri tidak yakin dengan perniagaan kek ini tetapi saya telah diyakinkan oleh isteri.

“Pernah pada awal-awal berniaga, saya dan isterilah yang tolong lakukan proses memasukkan kek ke dalam kotak. Selain itu, kami jugalah yang melakukan penghantaran kek terus kepada pelanggan. Mulai hari pertama dapat tempahan awal hanya empat biji kek, ia semakin bertambah. Kemudian bermula dengan 10 hinggalah sampai 200 biji sehari kami sediakan.

“Ketika ini dari awal hinggalah sekarang kami masih menggunakan khidmat pembuat kek luar yang diserap masuk ke dalam syarikat ini. InsyaAllah, kami juga mahu ia terus maju dengan segala operasi dilakukan sendiri suatu masa nanti,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button