DramaTV

Drama Anak Sena Papar Kisah Masyarakat Orang Asli Batek

Nashkah-nashkah yang menonjolkan tentang kehidupan masyarakat Orang Asli sememangnya kelihatan agak jarang diketengahkan di kaca televisyen.

Maka, Kembara Sufi Production mengambil inisiatif dengan menerbitkan sebuah drama berjudul Anak Sena yang akan ditayangkan di TV3.

Penerbitnya, Jaja Ishak berkata, drama Anak Sena akan memaparkan kisah realiti kehidupan yang dilalui oleh Orang Asli Batek di Taman Negara, Pahang.

“Intipati utama drama ini adalah mengenai seorang pelajar anak Orang Asli yang mempunyai bakat dalam sukan. Kemudian gurunya itu cuba untuk mencungkil bakat dimiliki pelajar itu.

“Bagi saya, ia sebuah cerita yang menarik memandangkan seperti yang kita ketahui masyarakat Orang Asli Batek masih mengamalkan kehidupan tradisional,” ujarnya.

Menurut Jaja, drama bersiri lapan episod ini diarahkan oleh Isma Yusoof dan skripnya dihasilkan MF Kencana serta dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.

Jelasnya, untuk barisan pelakon yang membintangi drama berkenaan, pihaknya kini telah menyenaraikan beberapa nama pelakon popular.

>Baca: Album Terakhir Amy Bersama Search Diabadikan Dalam Format Piring Hitam

“Menerusi perbincangan yang dilakukan dengan stesen televisyen, kami ada mencadangkan nama-nama seperti Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, Namron dan Farah Ahmad.

“Untuk lokasi penggambaran pula, ia akan dilakukan di perkampungan Orang Asli di Kuala Tahan, Taman Negara. Tidak dinafikan ia akan memberi cabaran tersendiri buat pihak produksi,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang idea untuk menghasilkan drama berkenaan, ia bermula ketika melakukan percutian ke Taman Negara.

“Penulis skrip ini ada bercuti dan turut membuat kajian mengenai kehidupan masyarakat di sana. Kemudian, hasil kajian itu telah dibuat dalam satu bentuk proposal.

“Apabila kami bentangkannya kepada pihak stesen televisyen, tidak sangka pula mereka berminat,” ujarnya dan menjelaskan penggambaran akan bermula pada hujung tahun ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
1
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button