Cerita ArtisHiburan

Gema Gegar Vaganza 2 Jadi Medan Dakwah Farah Asyikin

Setelah hampir 10 tahun menyepikan diri daripada bidang seni, akhirnya penyanyi Farah Asyikin Zulkifli, 38, kembali mewarnai dunia hiburan namun dari segi platform yang berbeza.

Tersenarai 11 peserta terbaik Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2), Farah berkata program itu merupakan antara salah satu daripada misinya untuk memperjuangkan seni dakwah kreatif.

“Saya terima tawaran menyertai program Gema Gegar Vaganza kerana program ini mengikut ciri-ciri dan panduan Islamik dalam pelaksanaannya. Malah, rancangan ini juga kena dengan imej saya sekarang. Saya tidak akan buat benda yang bercanggah dengan apa yang saya perjuangkan sejak berhijrah lapan tahun lalu.

“GGV ini juga merupakan satu ruang buat kami para peserta untuk berdakwah sekali gus belajar untuk menjadi individu yang lebih baik,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Gema Gegar Vaganza 2 di ibu kota, semalam.

Menurut Farah yang popular dengan Kembali Lagi Di Sisimu itu, penglibatannya dalam GGV2 mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami, Raja Iskandar Raja Muktharuddin.

“Suami beri dorongan dan kata-kata semangat buat saya menyertai rancangan ini. Dia kata asalkan baju saya longgar dan bertudung labuh serta tidak singkat sepanjang menyertai GGV2. Suami juga cakap dengan menyampaikan lagu-lagu bermesej ketuhanan dan kerohanian juga boleh menjadi ruang untuk saya berdakwah menerusi seni, insyaAllah,” katanya lagi.

Mengenai persediaannya bagi menghadapi saingan dalam GGV2, Farah berkata dia akan mencuba sebaik mungkin selain akan terus mengasah vokalnya agar berada dalam keadaan terbaik.

“Saya pun tak tahu apa akan jadi dalam pertandingan ini. Saya hanya redah sahaja tapi adalah persediaan saya buat seperti akan cuba terus memperbaiki kualiti vokal dan macam hari ini pun saya agak gementar sebenarnya nak buat persembahan depan ramai orang lepas hampir 10 tahun saya tinggalkan benda ini. Kali terakhir saya buat persembahan di pentas besar pun ketika tahun 2010 dulu. Tapi, apa-apa pun saya akan cuba beri yang terbaik,” ujarnya.

Selain Farah, 10 lagi peserta GGV2 terdiri daripada kumpulan Brothers, InTeam, Devotees, Mestica, Rabithah, pasangan duo Heliza & Hazwani, Adeep Nahar, Awi Rafael, Fitri Haris dan Ippo Hafiz.

GGV2 yang akan bersiaran selama tujuh minggu bermula 31 Mac ini akan dipentaskan menerusi Dewan Sri Putra, Bukit Jalil. Ia disiarkan menerusi saluran Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Program itu akan dihoskan oleh Siti Nordiana, Fikri Ibrahim dan Fakhrul UNIC sementara para peserta akan diadili sepenuhnya oleh dua juri tetap iaitu Farihin Abdul Fattah dan Oki Setiana Dewi serta seorang juri jemputan pada setiap minggu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button