EventHiburan

Lebih Suka Beramal, Rahimah Rahim Tolak Duit Jayakan Konsert

Penyanyi popular era 80-an, Rahimah Rahim mendedahkan beliau tidak mengambil bayaran untuk konsert My Life, My Art yang bakal dijayakannya pada 13 April ini bertempat di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.

Menurut penyanyi kelahiran Singapura ini, dia sengaja tidak mahu menerima bayaran yang telah ditawarkan pihak penganjur iaitu Giant Steps Event & Entertainment kerana ingin membantu Konsert My Life, My Art yang diadakan khas bagi mengisi dana tabung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Perlis.

“Tidak dinafikan dalam kehidupan memang kita perlukan duit. Tapi ada masa-masanya kita perlu beri balik sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan. Setiap perkara yang dilakukan, kita perlu sentiasa ada keseimbangan.

“Bagi saya, saya tak kaya tidak mengapa asalkan kita sentiasa bersedekah dan hidup bersederhana. Itu dah memadai buat saya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Rahimah, 64, ditemui pada majlis sidang media Konsert My Life, My Art yang berlangsung di Restoran Rebung, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Giant Steps Event & Entertainment, Datuk Tengku Shireen Datuk Paduka Tengku Suleiman pengarah konsert tersebut, Datuk Mokhzani Ismail serta penyanyi undangan, Khai Bahar.

Bercerita lebih lanjut tentang konsep persembahan yang akan dijayakannya kelak, Rahimah berkata dia ingin membawa para peminat mengimbau kembali kenangan lalu.

“Saya akan bawa konsep persembahan bermula dari awal kemunculan sehingga kini, kiranya saya memulakan pentas dengan lagu-lagu di awal pembabitan saya sehingga lagu terakhir yang pada baharu saya nyanyikan.

“Untuk konsert ini juga, saya dan pihak penganjur turut mengundang adik saya, Rozie Rahim dan Khai Bahar bagi bersama-sama memeriahkan persembahan kali ini.

“Saya harap peminat dapat beramai-ramai menghadirkan diri agar kita dapat berhibur sambil beramal menerusi konsert ini,” ujarnya lagi yang cukup popular dengan lagu Gadis & Bunga, Masihkah Ada Cinta dan Hati Yang Rapuh.

Konsert ini bakal diiringi seramai 30 pemuzik di bawah kendalian Datuk Mokhzani Ismail. Tiket berharga RM150, RM250 dan RM350 (sesi meet & greet) boleh didapati menerusi talian 019-2409727 (Ruby) atau 017-6804495 (Zaty). – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button