• FOLLOW US

Juliana Johar

Kemurungan Bukan Gimik, Haqiem Rusli Akan Jumpa Pakar Psikiatri

Penyanyi Haqiem Rusli tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan isu kemurungan yang melibatkan dirinya.

Menurut Haqeim, dia tidak berniat untuk menipu mengatakan mempunyai penyakit kemurungan sebaliknya dia percaya apa yang dialaminya adalah tanda-tanda kemurungan ringan.

“Setiap manusia melakukan kesilapan. Apa yang saya nak cakapkan ini bukan gimik. Disebabkan kedegilan saya belum berjumpa doktor bagi merawat tapi saya percaya apa yang saya alami ini ialah mild depression berdasarkan kajian yang dilakukan rakan-rakan yang mana terjadi kepada saya seperti susah tidur (imsomnia), kerja berlebihan, berat badan tidak stabil.

“Esok saya akan berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat tentang perkara ini. Namun, saya memang tidak menipu bila saya kata ada kemurungan ringan,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Haqiem ditemui pada majlis sidang media yang diadakan di Suka Sucre, Kuala Lumpur malam ini.

Menurut Haqeim lagi, dia mula berasa kemurungan sejak setahun lalu apabila penampilannya dikutuk segelintir individu sehingga menyebabkannnya ada terfikir mahu meninggalkan bidang seni.

Penyanyi muda itu sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mahu bersara dari dunia hiburan namun menarik semula keputusannya itu apabila mahu kekal mewarnai bidang nyanyian.

“Sejak Tergantung Sepi saya dah hadapi banyak kecaman. Puluhan ribu orang menghina saya. Muka banyak jerawat, muka tak hensem semua itu membuatkan saya murung.

“Sebenarnya saya memang sudah banyak kali menyuarakan hasrat untuk berhenti menyanyi tapi pihak pengurusan tidak endahkan sehingga menyebabkan saya simpan sendiri semua benda ini.

“Tapi saya memang tak salahkan sesiapa. Semua ini memang salah saya. Saya sedar penggunaan kata kemurungan itu terlalu berat. Saya minta maaf kerana telah tersalah cakap,” jelasnya lagi.

Sementara itu wakil pihak pengurusan FMC Music, Sam Samin berkata dia berharap semua pihak dapat memberi peluang kepada Haqiem memandangkan dia masih muda.

“Kami telah beri amaran kepada Haqiem jangan buat lagi seperti ini di masa akan datang. Kontrak akan dibatalkan kalau perkara macam ini berulang lagi.

“Tapi kami percaya dia dah belajar daripada kesilapan. Ada hikmahnya benda ini jadi pada dia, mungkin salah satu cara Allah nak menegur Haqiem,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi Ernie Zakri dan Wany Hasrita yang turut hadir pada majlis itu berkata mereka tidak bersetuju sekiranya topik kemurungan dijadikan sebagai gimik bagi memasarkan sesuatu produk oleh seseorang selebriti.

Ini kerana kemurungan bukan satu isu yang sensitif yang tidak sepatutnya dibuat mainan.

“Saya bukan tak sokong Haqiem, tetapi saya  tidak bersetuju sekiranya diri saya dilibatkan dalam gimik seperti ini sekiranya betul ia satu gimik.

“Bagi saya isu kemurungan tidak boleh dibawa main kalau betul dia murung, dapatkan rawatan! Bukannya dengan menulis status di media sosial,” kata Ernie. – KopiPlanet.com

Tulus Bersyukur Karyanya Dapat Diterima Peminat Di Malaysia

Penyanyi Indonesia, Tulus meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka bahawa lagu-lagunya diterima baik pendengar di negara ini.

Melancarkan album ketiga Monokrom di Bait Intermark, Kuala Lumpur semalam, Tulus, 31, berkata dia begitu gembira dengan sambutan yang diterima.

“Saya tak sangka lagu-lagu yang dinyanyikan diterima baik kerana apabila saya mencipta sesebuah lagu, memang saya tidak meletakkan apa-apa jangkaan.

“Saya berkarya untuk mensyukuri segala kebolehan yang dikurniakan seperti mencipta melodi, menulis lirik dan menyanyi. Itu sahaja niat saya memasuki bidang ini. Kalau diterima baik, saya memang sangat-sangat bersyukur,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Monokrom merupakan album ketiga penyanyi kelahiran Bukit Tinggi, Sumatera Barat ini. Tulus pernah mengeluarkan dua album terdahulu iaitu Tulus (2011) dan Gajah (2014).

Bagi menghargai sokongan yang diterima daripada peminat Malaysia, Tulus buat julung kalinya bakal mengadakan konsert di Istana Budaya pada 18 September ini.

“Saya cuba persiapkan fizikal dan mental untuk konsert akan datang serta akan berikan yang terbaik. Muzik bukan tentang berapa jumlah peminat, tetapi energi yang diberikan oleh penyanyi.

“Selama ini saya sering berkomunikasi dengan peminat di Malaysia menerusi alam maya. Internet memang banyak membantu menyebar luaskan karya saya,” katanya.

Konsert Tulus dibawakan khas oleh Shiraz Music Sdn Bhd. dan segala maklumat lanjut mengenai konsert ini akan diumumkan kemudian. – KopiPlanet.com

KRU Umum Bubar Selepas 25 Tahun Dalam Industri Hiburan

Setelah 25 tahun berkecimpung dalam industri seni, kumpulan KRU akhirnya mengambil keputusan untuk membubarkan kumpulan itu menerusi sidang media tergempar yang diadakan hari ini.

KRU yang dianggotai Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim akan mengadakan persembahan bersama buat kali terakhir menerusi konsert perpisahan selama tiga hari di Istana Budaya pada 4 hingga 6 Mei ini.

“Kami mengambil keputusan untuk membubarkan kumpulan KRU setelah 25 tahun berkecimpung dalam bidang seni. Selepas konsert ini, tiada lagi KRU dan kami tidak lagi bergelar artis rakaman.

“Kami fikir tentang pembubaran ini sejak setahun lalu. Pada mulanya kami nak umum pada konsert farewell ini, tetapi Yusry sarankan agar lebih baik kami umumkan pada sidang media ini agar peminat tahu ini merupakan konsert perpisahan daripada kami untuk mereka,” kata Norman mewakili adik-adiknya kepada KopiPlanet.com.

Menerusi konsert itu nanti, KRU juga akan memperkenalkan single terbaharu sebagai hadiah terakhir buat peminat mereka berjudul Tahan Lama berduet dengan Joe Flizzow.

Sementara itu, Edry menyifatkan pembubaran itu membuatkan dia kini mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga yang sebelum ini tidak dapat dilakukannya sebelum ini.

“Selepas ini saya mahu menjalani kehidupan yang lebih senyap dan luangkan masa dengan keluarga, anak-anak serta ibu bapa kami. Tiada apa lagi kami nak kejar, semua kegemilangan kami dah rasa dengan beratus konsert dan pelbagai anugerah yang diterima.

“Ini merupakan keputusan kami bersama sebagai sebuah kumpulan. Kami selepas ini akan fokus dengan kerja hakiki masing-masing macam Yusry sebagai pengarah dan saya dalam penghasilan lagu,” katanya. – KopiPlanet.com

Iedil Putra Tak Kecil Hati Peminat Baru Nak Kenal Dirinya

Walaupun sudah hampir lebih tujuh tahun mengabdikan diri dalam bidang seni lakonan, namun baru hanya kini nama Iedil Putra mula disebut-sebut peminat.

Nama Iedil Putra, 34, mula menjadi perhatian selepas dia berjaya membawakan watak Rahman dengan berjaya menerusi naskhah teater berskala besar Ola Bola The Musical yang dipentaskan bermula 8 Februari lalu.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini dia langsung tidak berkecil hati dengan peminat yang hanya baru-baru ini sahaja mengenalinya selepas namanya menjadi tular di media sosial disebabkan kecemerlangannya dalam membawakan watak sebagai pengulas sukan dalam teater tersebut.

“Saya tak kecil hati dan bersyukur penonton berpuas hati dengan persembahan saya. Sebagai pelakon saya hanya menzahirkan karakter Rahman dengan sebaik mungkin dan gembira dengan sambutan yang diterima daripada penonton,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem One Two Jaga di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Iedil Putra, One Two Jaga yang diarahkan Namron itu turut dibintangi Zahiril Adzim, Ameerul Affendi dan Bront Palarae.

Ola Bola The Musical yang diadaptasi menerusi filem pecah panggung 2016, Ola Bola diarahkan Puan Sri Tiara Jacquelina.

Teater itu akan ditayangkan sehingga 11 Mac ini dan rata-rata yang sudah menonton memberikan respons positif terhadap karya terbitan Enfiniti itu.

Selain Iedil Putra, teater itu turut diperkuatkan oleh Luqman Hafidz, Brian Chen, Altimet, Nasz Zally dan Douglas Lim. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Iedil Putra

Fattah Amin Puas Dapat Lakon Babak Aksi Dalam KL Special Force

Pelakon Fattah Amin mengakui sangat berpuas hati dengan mutu lakonan yang dipamerkan menerusi filem pertamanya iaitu KL Special Force.

Menurut Fattah, 80 peratus babak aksi lasak dilakonkannya sendiri bagi mencabar dirinya dalam membawakan watak yang lari daripada kebiasaan yang pernah dijayakannya.

“Saya berpuas hati dan untuk filem ini 80 peratus babak aksi saya buat sendiri. Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang kecederaan yang teruk.

“Cuma ada sedikit lebam-lebam sahaja, tetapi itu perkara normal ketika melakukan scene lasak dalam sesebuah lakonan,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada Malam Gala KL Special Force yang diadakan di MM2 Cineplexes, E-Curve Damansara semalam.

Menjayakan watak seorang pegawai polis bernama Zul, pelakon berusia 27 tahun itu berkata, dia ada bertemu dengan kenalannya yang merupakan seorang anggota polis bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang pekerjaannya dalam Unit Khas selain banyak membuat rujukan dengan menonton filem-filem bercorak kepolisan Hong Kong.

“Saya ada jumpa kenalan saya yang kini berkhidmat di Unit Khas bagi mendapatkan informasi mengenai realiti kehidupan mereka.

“Selain itu, saya juga banyak dapat input daripada ayah sendiri yang merupakan seorang anggota polis. Jangan tak tahu, dulu kecil-kecil cita-cita saya nak jadi polis, sebab hari-hari tengok ayah pakai uniform dan pegang senjata. Tak dapat jadi polis, berlakon jadi polis pun okey,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dia juga banyak menonton filem-filem bercorak kepolisan Hong Kong bagi memantapkan lagi mutu lakonan agar tampak lebih berkesan dan berkeyakinan dalam membawakan karakter Zul itu sendiri.

KL Special Force yang diarahkan Syafiq Yusof bakal ditayangkan di 139 pawagam di seluruh negara bermula pada 8 Mac ini.

Selain Fattah, filem terbitan Skop Productions, Damofa Productions dan Viper Studios itu turut menampilkan lakonan hebat Datuk Rosyam Nor dan Syamsul Yusof.

Sementara itu, Fattah melahirkan keterujaannya apabila dapat berlakon di samping idolanya, Datuk Rosyam Nor yang disifatkannya sebagai seorang yang sangat merendah diri walaupun sudah lama berada dalam industri.

“Datuk Rosyam adalah idola saya. Bukan senang nak maintain macam beliau. Tak semua hero boleh jadi macam beliau yang masih lagi bertahan sehingga sekarang, malah mampu melakonkan babak aksi lasak dengan sangat cemerlang.

“Beliau langsung tak pandang rendah pada bakat-bakat baharu seperti saya dan perkara itu yang membuatkan saya seronok bekerja dengannya dan juga bersama seluruh tenaga kerja KL Special Force,” katanya. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Fattah Amin

Mark Adam Juara Super BBB 2018, Menang RM100,000

Penyanyi Mark Adam akhirnya telah dinobatkan sebagai juara Super Bintang Bersama Bintang 2018 (BBB 2018) dalam saingan akhir yang berlangsung pada malam tadi.

Dengan kemenangan tersebut, Mark Adam berhasil membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai RM100,000 setelah menewaskan empat finalis lain iaitu Issey, Achey, Ajak dan Shuk.

Pada saingan akhir, Mark Adam memilih Khir Rahman sebagai rakan gandingan untuk persembahan sketsa dan memilih lagu berjudul Ayah bagi persembahan nyanyian.

Ketika diminta mengulas mengenai pengumumannya yang mahu berkongsikan wang kemenangan dengan empat finalis lain, Mark berkata, “Saya akan beri setiap finalis RM15,000 seorang. Keputusan ini kami sudah persetujui sebelum pertandingan akhir berlangsung yang mana kami akan berkongsi hadiah kemenangan.”

“Selain itu, saya juga berniat untuk mengadakan jamuan makan bersama peminat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan terhadap saya dan berkongsi wang kemenangan RM40,000 dengan ibu serta ibu mertua saya,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media Super BBB 2018 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam Ahad.

Menurut Mark, dia meneruskan niat untuk berkongi rezeki dengan rakan-rakannya itu kerana selama ini mereka sering kali membantunya dalam menambah baik mutu persembahan pada setiap minggu.

“Walaupun kami hanya cakap-cakap kosong mahu berkongsi rezeki, tiada apa-apa hitam putih mengenai perkara itu, tapi saya tetap meneruskan niat tersebut.

“Ini kerana bagi saya rezeki ini adalah untuk dikongi bersama malah saya memang banyak belajar dengan rakan-rakan pelawak ini yang sering kali memberi tunjuk ajar kepada saya yang masih baharu dalam bidang komedi ini,” kata selebriti kelahiran Filipina ini.

Untuk pengiraan markah, sebanyak 70 peratus dinilai oleh dua orang juri iaitu Saiful Apek (Juri Tetap) dan Fasha Sandha (Juri Jemputan), manakala 30 peratus lagi undian secara atas talian.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9 Zurina Othman berkata, pihaknya amat berpuas hati sepanjang program ini berlangsung selama enam minggu.

“Boleh dikatakan yang setiap minggu jumlah penonton semakin meningkat saban minggu sepanjang berlangsungnya Super BBB 2018,” jelasnya. – KopiPlanet.com

Dynas Mokhtar Bakal Kahwin Dengan Tauke Ayam 21 April Ini

Pelakon Dynas Mokhtar bakal melangsungkan pernikahan dengan tunangnya, seorang pengusaha ayam, Shazrik Din, 36, pada 21 April ini.

Menurut selebriti berusia 35 tahun itu, majlis ijab kabul akan berlangsung di kediaman keluarganya di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.

Menjelang detik hari bahagianya itu, Dynas memberitahu bahawa setakat ini semua persiapan perkahwinannya sedang giat dijalankan.

“Persiapan setakat ini sudah hampir selesai. Cuma ada beberapa perkara saya peruntukkan untuk buat saat-saat akhir seperti hantaran dan busana pengantin. Persiapan seperti dewan, menu, tema dan kad perkahwinan sudah diedarkan.

“Walaupun ini merupakan perkahwinan kedua saya, tetapi perasaan gemuruh itu tetap ada. Saya dan Shazrik mahukan sebuah majlis perkahwinan yang sempurna,” kata Dynas ketika ditemui KopiPlanet.com di 4Play Seafood & Co., Publika hari ini.

Pelakon filem Tombirou itu berkata, dia memilih tema less flower bagi meraikan majlis resepsinya yang akan diadakan pada 28 April di Dewan D’Anjung, Kota Damansara dan Hotel Shangri La, Kuala Lumpur pada 5 Mei ini.

“Untuk majlis resepsi nanti, saya guna tema less flower dan ingin lebihkan kepada penggunaan kaca dan lilin untuk dekorasi.

“Saya teruja akhirnya hubungan kami berakhir ke jinjang pelamin. Ia pastinya akan menjadi satu memori yang indah buat kami sekeluarga,” kata Dynas yang mengenali bakal suaminya itu sejak 19 tahun lalu.

Dynas bertunang dengan Shazrik pada 26 Oktober tahun lalu di Shah Alam.

Sebelum ini, Dynas pernah berkahwin dengan Mohd. Hafizi Mohamed pada 15 Mac 2008, namun mereka bercerai pada 25 Februari 2014 di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Khyra Khalyssa, 8, dan Mohamed Haqaish, 6 tahun. – KopiPlanet.com

Azizulhasni Nampak Potensi Shaheizy Sam Berlakon Sebagai Dirinya

Perjalanan hidup jaguh lumba basikal dunia, Mohd. Azizulhasni Awang, 30, akan dipaparkan menerusi sebuah filem biopik yang dijangka akan menemui penonton selewat-lewatnya pada penghujung tahun hadapan.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM6 juta itu akan menceritakan detik-detik awal penglibatan anak kelahiran Dungun, Terengganu itu dalam sukan lumba basikal serta pahit jerih Azizulhasni sebelum meraih kejayaan tertinggi dalam kariernya.

Sehubungan itu, bagi mendapatkan pelakon yang sesuai untuk membawakan watak Azizulhasni, pihak produksi Three Sixty Management dan Unitalent akan mengadakan sesi ujibakat yang bukan sahaja terbuka dalam kalangan pelakon profesional sedia ada, malah ia juga boleh disertai semua rakyat Malaysia yang berbakat dalam bidang lakonan.

Menyerahkan senarai pelakon kepada pihak produksi, namun secara peribadi Azizulhasni yang digelar The Pocket Rocketman itu melihat pelakon berbakat besar, Shaheizy Sam mempunyai banyak persamaan dengan dirinya.

“Pelakon yang terlintas di fikiran yang boleh membawakan watak saya ialah Shaheizy Sam. Ini kerana kami mempunyai banyak ciri persamaan daripada segi fizikal.

“Bagaimanapun, itu cuma pendapat say kerana apa-apa pun semuanya saya serahkan kepada pihak produksi. Yang penting pelakon yang terpilih itu nanti boleh bercakap dalam dialek Terengganu dan boleh bermain basikal, agar watak itu nanti dapat direalisasikan sama seperti karakter saya yang sebenar,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran filem biopik Azizulhasni Awang di Academia Cafe & Bistro, Kuala Lumpur hari ini.

Filem berskala besar yang akan diarahkan oleh Raja Mukhriz itu turut mendapat kerjasama daripada Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, UUM menyokong penuh penghasilan filem biopik ini bagi menghargai pengorbanan dan perjuangan Azizulhasni sebelum dirinya diangkat sebagai juara dunia.

“Saya percaya dengan penerbitan filem ini dapat memberikan inspirasi kepada anak muda di luar sana. Apabila kita ada keazaman yang kuat, pasti kejayaan akan menjadi milik kita.

“Filem ini juga akan mengetengahkan tema perjuangan serta semangat nasionalisme dan cintakan negara,” katanya.

Sementara itu, Raja Mukhriz berkata, pihak produksi akan memastikan kesemua fakta menarik mengenai Azizulhasni akan dimasukkan dalam filem tersebut.

“Kami akan cuba hasilkan filem ini sama hebat seperti ikon sukan yang digambarkan. Untuk filem ini, kami tidak terlalu memasukkan elemen fiction, sebaliknya semua cerita dalam nakshah ini kelak akan menyentuh mengenai kisah benar yang berlaku di sebalik kejayaan Azizulhasni.

“Lokasi penggambaran pula, kami akan pilih lokasi-lokasi asal di mana Azizulhasni membesar di Terengganu, zaman remajanya di Kuala Lumpur serta permulaan era kegemilangannya ketika dia mula berlatih di bawah jurulatih luar negara di Australia. Itu semua kami akan jalankan penyelidikan mengenai biografi Azizulhasni bersama-sama dengan UUM,” katanya. – KopiPlanet.com

Pot Innuendo Tampil Beri Keterangan Berhubung Laporan Polis Farid

Bekas ahli kumpulan Innuendo, Saiful Amir Abdul Wahab atau Pot hari ini tampil memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu.

Penyanyi itu dilihat hadir bersama peguamnya, Mohamed Ashmeer Ashroff Raja pada jam 10.30 pagi dan selesai memberikan keterangan pukul 1.00 petang tadi.

Menurut Ashmeer, Pot hadir bagi membantu siasatan biarpun namanya tidak disebut menerusi laporan polis yang dibuat Farid.

“Pot hadir hari ini bagi memberi keterangan serta membantu siasatan polis walaupun nama Pot tidak disebut dalam laporan polis (yang dibuat Farid),” katanya kepada KopiPlanet.com.

Sebelum iu, tiga nama rakan pelakon yang dipercayai disebut dalam laporan polis itu ialah Sofi Jikan, Osh dan Taj.

Farid sebelum ini membuat laporan polis mendakwa tiga rakannya itu memasukkan dadah ke dalam minumannya selepas insiden dia menampar anggota polis dan orang awam pada 11 Januari lalu.

Suami kepada Diana Danielle itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dengan lima pertuduhan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah jenis ganja dan kesnya akan disebut semula pada 5 Mac ini.

Sementara kes penyalahgunaan dadah melibatkan Sofi pula akan disebut pada 14 Mac ini.

Terdahulu, Sofi tampil memberikan keterangan di balai polis yang sama pada 6 Februari lalu sebelum dia disahkan positif dadah selepas melalui ujian saringan air kencing. – KopiPlanet.com

Pelakon Adam Shahz Dakwa Ada Bukti Disihir Bekas Isteri

Pelakon filem Juvana, Adam Shahz mendedahkan dia mempunyai bukti dirinya telah dibomohkan oleh bekas isterinya, pelakon Fatin Afeefa.

Menurut Adam, dia percaya bekas isterinya itu telah menyihirkannya selepas kisah kecurangan wanita itu berjaya dihidunya sebelum ini.

“Punca kami bercerai disebabkan dia curang. Itu pun bukan saya yang ceraikan, tetapi dia yang minta di mahkamah sebab dia takut saya dapat hidu pasal kecurangan dia.

“Selepas bercerai barulah saya tahu yang dia ada lelaki lain sewaktu saya outstation. Jadi, dia cuba perbodohkan saya dengan cuba bomohkan saya supaya tidak bertindak apa-apa terhadap dia,” katanya menerusi aplikasi perbualan WhatsApp kepada KopiPlanet.com.

Sepanjang disihir, Adam berkata dia mengalami sakit misteri sehingga menyebabkan berat badannya turun secara mendadak.

“Berat badan saya daripada 75 kilogram turun mencecah jadi 50 kilogram sekarang. Saya sakit teruk sehingga menyebabkan hilang selera makan dan berat badan turun mendadak,” katanya.

Menurut Adam, dia menyedari tindakan isterinya itu selepas dia menjumpai sekeping kertas berserta sebuah khadam yang kelihatan seperti Quran kecil dan pembalut timah.

Adam sebelum ini menerusi laman Twitternya ada mengeluarkan beberapa siri twit mendakwa dirinya disihir Fatin sehingga meminta wanita itu berhenti berpura-pura menjadi mangsa keadaan disebabkan masalah keretakan rumah tangga mereka.

Dalam pada itu, Adam berkata dia ingin terlebih dahulu melihat reaksi bekas isterinya itu terhadap isu berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap pelakon drama Red Velvet itu.

“Saya tunggu apa tindakan dia selepas kenyataan saya ini dikeluarkan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, usaha KopiPlanet.com untuk mendapatkan kenyataan daripada Fatin tidak berjaya apabila pelakon itu enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi.

Adam dan Fatin berkahwin pada 21 Disember 2013 dan kemudiannya bercerai pada 30 Mei tahun lalu. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ivy Herra Sophie yang berusia tiga tahun. – KopiPlanet.com