Filem

Cetak Rompak Digital, Isu Yang Perlu Segera Dibawa Ke Parlimen

Oleh: Onn Norshal Hamzah
(Kolumnis KopiPlanet.com)

Isu cetak rompak digital bagi filem-filem tempatan bukanlah isu baharu di Malaysia apabila sudah kerap kali berlaku dan tiada penyelesaian sehingga kini.

Desakan pengusaha filem tempatan untuk kerajaan mengambil tindakan kepada ‘penjenayah digital’ ini telah lama kedengaran tetapi kekal tiada kesudahan.

Baru-baru ini kecoh mengenai filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) yang menjadi mangsa cetak rompak digital melalui platform E-Dagang dengan harga RM 1.

Tiada apa-apa tindakan dilakukan sehinggalah penerbit filem itu, Normashayu Puteh membuat kenyataan keras melalui media sosial untuk menuntut pihak berwajib melakukan sesuatu dan bertindak ke atas penjenayah digital ini.

Dia memberikan penegasan agar kerajaan kali ini perlu bertindak segera dan berharap tiada lagi ‘janji tin kosong’ yang hanya sedap di mulut.

Sejujurnya, saya memahami perasaan penerbit ini yang terkilan dan terkapai tanpa ada penyelesaian muktamad untuk membelanya.

*Mari kita teliti secara ringkas mengenai peranan kerajaan dalam menanggani permasalahan ini.

Dalam industri filem di Malaysia, ada beberapa agensi yang terlibat secara langsung dalam penguatkuasaan dan perlesenan.

Antaranya ialah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Lembaga Penapisan Filem (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) , Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihak Kerajaan Tempatan dan lain-lain.

Dalam aspek ini FINAS sememangnya mempunyai kuasa mengeluarkan lesen untuk penerbitan, pengedaran dan pemameran, manakala di peringkat KDN lebih menjurus kepada kelulusan kandungan.

KPDNHEP pula melihat cabaran hak cipta serta cetak rompak dan SKMM adalah lebih kepada isu digital dan jika ianya melibatkan premis fizikal maka ia dalam bidang kuasa kerajaan tempatan untuk kebenaran perniagaan.

> Baca: TV AlHijrah Anjur Anugerah Media Islamik Iktiraf Penerbitan Patuh Syariah

Persoalannya, dari semua agensi dan kementerian yang dinyatakan di atas, siapa yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh penerbit AADD? Jawapannya adalah semua di atas tapi tiada bidang kuasa yang spesifik.

Oleh itu, kita jangan membuang masa untuk melihat kepada agensi-agensi yang sebenarnya tidak mempunyai punca kuasa yang jelas dalam menangani hal ini.

Betul kata penerbit AADD bahawa kerajaan dan agensinya tidak perlu lagi membuat janji kosong untuk menyelesaikannya.

Ini bukan isu peribadi, ini isu industri. Suara seperti ini harus di dengar dengan penekanan tindakan pada tahap kritikal dan perlukan tindakan segera.

Pada pandangan saya, isu ini harus dibentangkan dengan segera hingga ke peringkat parlimen untuk membentuk satu jawatankuasa dan memberikan kuasa tertinggi bagi melihat punca permasalahan hingga ke akar umbi.

Jika ia hanya berada dalam lingkaran jawatankuasa kecil di mana-mana agensi yang ada kini, isu ini akan terus tenggelam dalam karenah birokrasi yang tiada kesudahan. Jika itu yang berlaku, maka kita tunggulah mangsa seterusnya.

Kepada penerbit AADD, tahniah kerana menyuarakan dengan tegas isu ini namun seluruh ahli industri harus bersamanya mendesak kerajaan hingga ke titik penyelesaian.

Ini sekadar pandangan saya.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button