Cerita ArtisHiburan

Masih Ingin Berlakon, Isma Yusoof Idam Mahu Bawa Watak Transgender

Mula berkecimpung sebagai seorang pelakon pada peringkat awal, Azma Aizal Yusoof atau Isma Yusoff kini lebih cenderung kepada bidang pengarahan.

Bagaimanapun, Isma yang ditemui berkata, keinginan untuk berlakon itu masih lagi ada. Cuma, ada satu watak yang begitu ingin dibawakannya.

“Saya ingin bawakan watak seorang transgender sebab saya memang seorang transgender. Biasanya kat luar ramai yang menyangkakan saya seorang make up artist, buat pelamin, tukang urut atau melacur.

“Untuk watak pula, ia bergantung kepada karakter transgender mana yang akan diberikan. Apabila berjumpa dengan rakan-rakan pengarah, saya memang luahkan keinginan itu kepada mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia menjelaskan setakat ini ia masih lagi ada sekatan terutama dari sudut penapisan dan penerimaan stesen televisyen untuk mengetengahkan watak-watak sedemikian.

“Ada rakan yang berkata sekiranya terdapat watak-watak sebegitu mereka akan ingatkan saya. Malah, saya pesan kalau melibatkan satu babak sekalipun memang saya nak buat.

“Matlamat saya adalah agar masyarakat menerima golongan seperti saya sebahagian daripada komuniti yang turut memberi sumbangan.

>Baca: Setelah Empat Tahun, Hetty Sarlene Akhirnya Bakal Timang Cahaya Mata

Dalam pada itu, Isma meluahkan dia juga menganggap dirinya seorang yang ‘gagal’ kerana sepanjang bergelar pengarah, dia masih belum berpeluang untuk menghasilkan naskhah berkenaan golongan transgender.

“Saya adalah dalam golongan itu (transgender), tetapi sepanjang menjadi pengarah saya tidak dapat menonjolkan watak-watak transgender ini. Saya rasa ia penting kerana sampai bila-bila orang akan mengecam golongan seperti saya ini menerusi apa yang mereka lihat di media sosial.

“Padahal ada golongan seperti saya ini memberi fungsi, misalnya ada segelintir yang membantu keluarga. Namun ia tidak dapat ditonjolkan dalam stesen televisyen. Pada saya, seharusnya saya buat satu kisah yang paling saya tahu. Sebab itu saya inginkan watak sebegini,” jelasnya yang turut mengakui dirinya seorang bipolar.

Pada masa sama, Isma menyatakan bahawa dia bersedia untuk menerima sebarang kecaman dan dia sendiri tidak menganggap sesuatu kecaman itu penting buat dirinya.

“Apa yang lebih penting adalah ahli keluarga dan sahabat dapat menerima seadanya dan orang yang mengecam itu tidak dopat merasai sendiri kehidupan yang dilaluinya. Kalau ada orang nak kecam sekalipun kita harus terima dan tidak perlu nak marah,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang projek terbaharu, Isma menyatakan dia bakal mengarahkan sebuah drama bersiri berjudul Anak Sena yang berkisar tentang kehidupan suku kaum Batik.

“Sebenarnya saya sangat teruja dengan drama ini, apatah lagi ia akan ditayangkan di TV3. Sebelum ini pun saya memang dah biasa bergaul dengan masyarakat orang asli.

“Cuma, cabarannya adalah saya perlu membuat kajian lebih mendalam, terutamanya memahami cara kehidupan mereka supaya apa yang dipaparkan itu tidak lari dari fakta sebenar,” jelasnya.

Akan ditayangkan sebanyak lapan episod, Anak Sena terbitan Kembara Sufi Production memaparkan kisah mengenai kehidupan suku kaum Batik di Kuala Tahan, Pahang.

Ia menceritakan tentang seorang murid orang asli yang baru memulakan alam persekolahan. Kemudian ada seorang guru yang melihat kredibiliti yang dimiliki pada murid ini dan mahu melihat dia berjaya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button