
Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan aktiviti riadah di panggung wayang, teater dan live event dibuka semula bermula 1 Julai ini.
“Kebenaran untuk aktiviti ini bermula pada 1 Julai 2020 dan hanya di dewan tertutup sahaja.
“Bagaimanapun, aktiviti ini tidak boleh melebihi 250 individu bagi setiap pertunjukan dan tertakluk kepada kapasiti dewan.
“Sebelum masuk SOP (prosedur operasi standard) seperti biasa, periksa suhu badan , pakai topeng muka, cuci tangan, dan diletakkan tanda untuk penjarakan sosial,” katanya dalam sidang media harian, hari ini.
Sebelum ini kerajaan sudah memberi kebenaran kepada syarikat produksi untuk memulakan penggambaran drama dan filem bermula 10 Jun lalu.
Setiap produksi juga harus mengikut SOP yang telah ditetapkan seperti tidak lebih 20 individu berada dalam satu-satu masa penggambaran. – KopiPlanet.com