• FOLLOW US

Siti Nurhaliza Tampil Dengan Basyirah, Selitkan Unsur Timur Tengah

Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza membawa perkhabaran gembira kepada peminatnya apabila muncul dengan single baharu berjudul Basyirah di semua pelantar digital.

Basyirah yang diambil daripada perkataan Arab yang membawa maksud khabar gembira adalah hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun manakala liriknya pula hasil nukilan Ahmad Fedtri Yahya.

Tertarik dengan melodinya yang mempunyai unsur Timur Tengah, Siti memutuskan untuk merakamkan lagu tersebut dan berhasrat untuk menjadikannya sebagai single sempena bulan bulan Ramadan ini.

“Demo lagu ini diterima agak lewat oleh pihak Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions untuk dimuatkan dalam album terbaru saya. Kami sepakat menyimpan lagu ini untuk projek khas pada masa akan datang.

“Disebabkan edaran album terbaru saya ditangguhkan, Basyirah berjaya saya rakamkan khusus untuk single Ramadan kerana bersesuaian dengan suasana kita sekarang ini.

Menurut Siti, pertama kali mendengar melodinya, dia akui jatuh hati kerana ia ada tarikan tersendiri. Tak dinafikan, ketika rakaman dirinya berasa sebak dan cuba menyampaikan seluruh maksud dalam lagu ini dengan penuh penghayatan.

Jelas beliau, walaupun lagu ini dilancarkan pada bulan yang penuh keberkatan ini, namun liriknya tidak menyentuh secara langsung mengenai Ramadan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan ia adalah satu metafora terhadap situasi yang dialami dunia hari ini yang sedang berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

“Ketika perbincangan, memang ada idea untuk memasukkan lirik yang bersesuaian dengan situasi yang berlaku hari ini. Lagu ini juga menterjemahkan sebuah harapan bahawa satu hari nanti akan ada khabar gembira buat Malaysia untuk segera terhindar dari pandemik ini.

“Saya juga mengharapkan Basyirah mampu memberikan semangat kepada seluruh warga dunia yang menghadapi wabak dan petugas barisan hadapan yang berkorban sepenuh jiwa menjaga keselamatan negara,” ujar Dato’ Siti Nurhaliza.

Penyanyi bervokal mantap ini turut mengharapkan lagu ini dapat mengubat kerinduan peminat yang menantikan kemunculan album terbarunya.

Sementara itu, sebagai komposer yang bertanggungjawab untuk menghasilkan lagu itu, Hafiz akui Basyirah memberikan cabaran yang tersendiri buatnya.

“Kami rakamkan lagu ini ketika negara sedang melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Ini bermakna rakaman tidak boleh dilakukan di studio seperti kelazimannya dan perlu dilakukan secara berasingan iaitu Siti merakamkan lagu itu dari rumah.

“Memang agak mencabar kerana agak rumit lebih-lebih lagi membabitkan soal teknikal. Namun, kami berjaya melakukannya dan beliau berjaya menterjemahkan maksud keseluruhan lagu itu seperti yang dikehendaki,” kata Hafiz.

Pernah bekerjasama sebelum ini menerusi lagu Mikraj Cinta, Hafiz berkata dia tekah cuba memberikan yang terbaik untuk lagu itu.

“Sedikit sebanyak saya sudah boleh tahu mengenai kriteria sesebuah lagu yang ingin dinyanyikannya. Justeru saya cuba hasilkan sebuah lagu yang unik serta lain dari apa yang pernah didendangkannya sebelum ini seperti menekankan aspek taranum dalam sebutan dan juga menyelitkan elemen qasidah di dalamnya,” terangnya.

Berkongsi pendapat yang sama dengan Hafiz, Fedtri turut mendedahkan lirik lagu itu terpaksa dirombak beberapa kali untuk disesuaikan dengan kehendak Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

“Ketika mula mendengar lagu ini melodinya sangat melankolik dan apa yang terbayang dalam fikiran adalah ia sangat sesuai untuk sebuah lagu putus cinta.

“Namun memandangkan Siti mahukan lirik lagu ini ada kaitan dengan doa dan harapan rakyat yang mahukan wabak ini segera berakhir, saya ubah liriknya mengikut jalan cerita yang diberikan. Saya banyak menggunakan unsur perlambangan atau metafora dalam memilih perkataaan,” katanya.

Melihat baik lirik yang dihasilkan, Basyirah jelas mengajak umat islam menghayati zikir dan berdoa kepada Allah untuk diberi ketenangan di dalam kehidupan harian pada bulan yang sangat mulia untuk umat Islam ini.

Sementara itu, Pengurus Promosi Bahagian Domestik Universal Music, Anne Mukhtar memaklumkan lirik video Basyirah akan ditayangkan di laman YouTube Siti pada Jumaat (8 Mei) jam 3 petang.

“Pada sebelah malam pula, beliau akan muncul dalam siaran langsung di Instagramnya bersama Hafiz Hamidun dan Ahmad Fedtri Yahya jam 9 malam. Selain itu, Siti juga akan melancarkan #7nasihatchallenge di Tik Tok pada 11 Mei ini.

“Sempena pelancaran lagu ini di Joox pada 15 Mei ini, beliau turut mengundang peminat untuk berkaroke dengannya di Joox Karaoke,” katanya. – KopiPlanet.com