• FOLLOW US

Walau Dikecam, Mood Republik Tetap Teruskan Tradisi ‘Hujan Duit’

Sebelum ini festival jualan terbesar Malaysia, Mood Republik teruk dikritik gara-gara ‘Hujan Duit’ yang dianjurkan oleh mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kimi Iskandar Ismail berkata, pihak mereka akan meneruskan tradisi ‘Hujan Duit’ sebagai salah satu cara menghargai sokongan pengunjung.

Malah, beliau reda dengan apa sahaja pandangan negatif yang dilemparkan terhadap festival sudah memasuki tahun kelima penganjurannya itu.

“Apa sahaja yang kita buat pasti ada yang suka dan tidak suka. Bagaimanapun, saya tetap dengan keputusan untuk meneruskan ‘hujan duit’. Ia adalah kelainan Mood Republik dibandingan festival lain.

“Kami juga sudah menetapkan syarat bahawa kanak-kanak, individu kurang upaya, wanita mengandung dan warga emas tidak boleh menyertai aktiviti berkenaan.

“Kalau ada antara mereka yang melanggar peraturan, pasukan Rela akan bertindak untuk tarik mereka keluar dari kawasan ‘hujan duit’ diadakan,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Mood Republik KL Raya Fest 2018 di Kuala Lumpur, semalam.

KL Raya Fest 2018 akan berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 11 Jun. Ia akan berlangsung selama 72 jam tanpa henti bermula dari jam 10 pagi (8 Jun) hingga 10 pagi (11 Jun).

Menurut Kimi lagi, untuk edisi kali ini, seramai 97 selebriti terlibat menjayakannya malah pelbagai jenama barangan dan produk selebriti turut dihimpunkan di bawah satu bumbung.

“97 selebriti akan sertai festival ini antaranya seperti Emma Maembong, Yana Samsudin, Zain Saidin, Fazura, Ziana Zain dan Elfira Loy. Selain daripada barisan selebriti, pelbagai jenama usahawan lain turut berada di bawah satu bumbung yang sama bagi memberi pilihan kepada pengunjung.

“Mood Republik juga tidak ketinggal menjemput artis dari seberang iaitu Rossa bersama produknya, Rossa Perfume dan Randy Pangalila dengan jenamanya Secret Perfume by Bellessa,” katanya yang menyasarkan seramai 1.5 juta pengunjung hadir ke festival tahun ini. – KopiPlanet.com

Turban Jadi Pilihan Naelofar Hijab Untuk Koleksi Terkini

Pemakaian turban dalam kalangan wanita pada hari ini bukanlah sesuatu yang janggal, lebih-lebih lagi buat wanita berkerjaya.

Pantas serta mudah untuk digayakan dan disebabkan faktor itulah jenama tudung terkemuka, Naelofar Hijab tampil dengan koleksi turban, Be Lofa Turban bagi memenuhi kehendak pelanggan di luar sana.

Dengan seleksi 51 rona menarik pastinya membuatkan pembeli rambang mata dengan pilihan-pilihan yang diberikan.

Antara warna sangat menarik untuk digayakan adalah seperti Ash, Apple Blossom, Bark, Angel Falls dan Black Iris.

Pelancaran Be Lofa Turban adalah seiring dengan sambutan ulang tahun kelahiran ke-29 pengasas Naelofar Hijab iaitu selebriti popular, Noor Neelofa Mohd. Noor.

Be Lofa Turban diperbuat daripada kain kapas bermutu tinggi dan ia sesuai untuk digayakan oleh semua peringkat usia. Ia dijual pada harga RM73 sehelai.

Selain Be Lofa Turban, Neelofa turut melancarkan Be Lofa Shawl yang diperbuat daripada fabrik kain sutera chiffon bagi memberikan gaya elegan, mewah, minimal dan lembut kepada setiap pemakainya.

Terdapat dalam 21 pilihan warna, sehelai tudung Be Lofa Shawl dijual pada harga RM149. Kesemua koleksi terbaharu ini boleh didapati secara terus menerusi butik Naelofar Hijab yang terletak di Taman Tun Dr Ismail atau menerusi agen dan stokis terpilih. – KopiPlanet.com

Kualiti Material Buat Pelanggan Setia Dengan Diyana Halik

Bagi memastikan jenama tudungnya kekal relevan dan menarik minat pelanggan baharu dan lama, tudung jenama Diyana Halik akan tampilkan kelainan dengan mengeluarkan rekaan tudung baharu pada setiap bulan.

Selain itu, menurut pemiliknya, Diyana Halik, dia percaya pelanggan terus kekal setia dengan jenama tudungnya kerana material berkualiti yang digunakan dalam penghasilan produknya.

“Anda boleh ada seberapa banyak corak, tapi kalau material tak menarik memang susah nak buat pelanggan beli lagi. Oleh itu saya percaya material berkualiti pasti akan membuatkan pembeli berpuas hati dengan produk yang dikeluarkan.

“Untuk terus kekal di pasaran, saya dan juga pasukan kerja perlu terus mengeluarkan pelbagai corak-corak dan keluaran menarik bagi kekal relevan di mata pelanggan,” kata Diyana ketika ditemui di butiknya di Kota Damansara, baru-baru ini.

Menggunakan material daripada jenis chiffon dan satin, tudung jenama Diyana Halik yang mula menjengah pasaran sejak tahun 2013 ini boleh didapati dengan harga serendah RM75 hingga RM165.

Enggan membandingkan jenamanya dengan jenama tudung di luar sana, sebaliknya Diyana percaya setiap jenama mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Bagi Diyana Halik, tudung mereka mempunyai kelainan daripada tudung lain apabila cara pemakaiannya yang agak unik dikenali sebagai ‘Belit 8’ dan sesuai untuk wanita bekerjaya yang sentiasa ‘on the go’.

“Saya tidak suka guna perbandingan sebab setiap jenama tudung ada keistimewaan masing-masing, tapi saya bersyukur pelanggan suka tudung saya sebab material yang digunakan. Saya dah ada pelanggan setia yang membeli tudung di sini pada setiap bulan.

“Produk saya sesuai untuk wanita bekerjaya yang sentiasa bergerak, semua orang boleh jual selendang tapi kami buat sesuatu yang berlainan iaitu cara ‘Belit 8’ yang mana tidak pernah lagi diperkenalkan oleh mana-mana jenama tudung. Itu jadi identiti dan keunikan tudung Diyana Halik,” katanya yang juga merupakan isteri kepada aktor popular, Aaron Aziz.

Untuk keluaran terbaharu, Diyana Halik tampil dengan koleksi ‘travel series’ dari negara Jepun yang baharu dikunjunginya baru-baru ini. Ia mengandungi sebanyak tiga corak selendang bercirikan bunga sakura dan kipas tangan Jepun yang diberi nama Shawl Red Cherry Wagasa, Square Green Tea Macha dan Lush Printed Wagasa Lavender.

Ketika ditanya tentang perancangannya pada tahun ini, Diyana berkata dia ingin memperkuatkan lagi jenamanya dengan turun padang ke mana-mana karnival dan festival agar ia dapat lebih mendekati kepada pelanggan sasarannya.

“Misi Diyana Halik tahun ini untuk lebih turun padang seperti sertai festival mahupun karnival untuk lebih dekati pembeli berpontensi. Selain itu, InsyaAllah saya tidak mahu jual tudung sahaja, sebaliknya di masa hadapan saya bayangkan saya ada koleksi pakaian dan produk kosmetik di bawah jenama yang sama,” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com