Letak Syarat & Permintaan Di Luar Kemampuan, Jaja Ishak Tak Layan Pelakon Yang Terlalu Demand
Penerbit popular, Jaja Ishak menegaskan dia sesekali tidak akan melayan pelakon yang terlalu demand untuk bekerja di bawah Jaja Ishak Channel (JIC).
Jaja berkata, memang ada segelintir pelakon yang tidak sesuai bekerja dengan JIC apabila bersikap demand dengan terlalu banyak syarat dan tuntutan yang dibuat sehingga di luar kemampuan produksi.
“Untuk terbitkan sesebuah kandungan, pihak produksi pun ada bajet tertentu. Jadi, saya memang malas layan dan kurang berminat dengan pelakon yang terlalu demand.
“Tidak dinafikan ada pelakon letak harga terlalu tinggi hingga di luar kemampuan produksi, sedangkan naskhah yang dihasilkan pula adalah drama biasa… bukan premium series atau OTT, jadi semuanya kena ikut bajet yang ditetapkan,” jelasnya.
Jaja berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya di Threads baru-baru ini yang menyentuh isu bayaran artis dan cabaran pihak produksi menguruskan kos penerbitan drama.

Ujar Jaja, selaku penerbit dia perlu bertindak adil bukan sahaja kepada pelakon, tetapi keseluruhan pasukan produksi termasuk krew dan tenaga kerja belakang tabir yang turut memainkan peranan menjayakan sesebuah naskhah.
Dalam pada itu, Jaja mendedahkan terdapat juga segelintir pelakon yang enggan menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur sehingga menyukarkan proses kerjasama memandangkan syarikat produksinya berpangkalan di Pahang dan kebanyakan penggambaran dibuat di negeri berkenaan.
“Kami memang banyak buat penggambaran di Pahang sebab kami berpusat di sana. Jadi sudah tentu outstation luar Kuala Lumpur memang wajib.
“Cuma ada pelakon beri alasan yang tak boleh outstation, jadi tiada kerjasama berlaku. Bagi saya tak ada masalah pun sebenarnya, mereka ada pilihan sendiri dan kami pun ada keperluan produksi sendiri,” katanya.
Jelasnya, pemilihan lokasi di Pahang juga dibuat kerana pihaknya mahu mengetengahkan keindahan negeri itu yang jarang dipaparkan dalam drama tempatan.
“Di negeri Pahang banyak lokasi menarik yang boleh diterokai untuk penggambaran seperti di sungai, gunung atau pulau.
“Jadi saya memang suka highlight tempat-tempat menarik yang jarang dipaparkan dalam drama lain,” katanya.
Dalam pada itu, Jaja memberitahu JIC bakal tampil dengan drama bersiri baharu berjudul Sepenuh Hati Rindu bakal memulakan penggambaran pada 21 Jun ini untuk slot Samarinda TV3.
Ujarnya, drama tersebut bakal menampilkan jalan cerita yang penuh konflik dan berbeza daripada kebiasaan.
“Saya rasa penonton akan teruja sebab drama ini ada konflik yang mungkin di luar jangkaan mereka,” katanya.
Tambah Jaja, setakat ini drama berkenaan bakal dibintangi Farah Nabilah yang kembali aktif selepas berehat selain Shah Jaszle bersama beberapa pelakon lain. – KopiPlanet.com



