• FOLLOW US

Chatime Bergabung Dengan Neelofa Buka Kafe Di Singapura, Arab Saudi

Pelakon, pengacara dan usahawan, Neelofa Mohd Noor sekali lagi mengorak langkah dalam bidang perniagaan apabila baru-baru ini dia bekerjasama dengan syarikat rangkaian minuman popular, Chatime untuk menubuhkan kafe Chatime Signature yang bakal dibuka di Lembah Klang tidak lama lagi.

Menurut Neelofa, kerjasama itu bakal memperlihatkan konsep serta menu di kafe itu mengikut citarasa peribadinya serta mengambil inspirasi daripada percutiannya di seluruh dunia sebelum ini.

“Untuk kafe Chatime Signature ini saya juga melahirkan idea daripada segi konsep dan menu makanan serta minuman yang bakal dihidangkan kepada pelanggan.

“Selain itu, saya dan pihak pengurusan Chatime turut akan menitik beratkan dekorasi di cafe itu supaya ia menjadi lokasi Instagram Worthy untuk pelanggan berkunjung ke situ selain hidangan lazat yang disediakan,” katanya.

Neelofa berkata demikian ketika ditemui pada acara berbuka puasa dan majlis pengumuman kerjasama Chatime X Neelofa yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Damansara baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali pula berkata, selain di Malaysia, kafe Chatime Signature itu juga turut akan dibuka di Singapura dan Arab Saudi setelah membuat kajian terperinci mengenai lokasi strategik kafe.

“Kami akan membuka outlet di luar negara iaitu Singapura dan Arab Saudi dan untuk pasaran tempatan kami masih lagi meninjau lokasi yang sesuai di sekitar Lembah Klang.

“Dalam era moden ini, Neelofa merupakan calon paling sesuai untuk kami berkolaborasi bersama kerana dia merupakan usahawan wanita muda yang dipandang tinggi dalam generasinya. Kejayaan Neelofa menjadi inspirasi bagi generasi muda untuk bangkit dan mengejar impian mereka,” katanya.

Yang menariknya, Chatime Signature turut akan memperkenalkan menu baharu seperti aiskrim bubble dan seleksi jus menyegarkan bagi memberi nilai tambah buat pelanggan setia mereka yang mahukan gaya hidup sihat seperti yang diamalkan Neelofa. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Chatime

Fazley, Chatime Jalin Kerjasama Keluarkan Dua Menu Istimewa

Sempena dengan kehadiran bulan Ramadan tidak lama lagi, cef selebriti dan penyanyi popular, Datuk Fazley Yaakob dilantik sebagai wajah kempen Ramadan jenama terkenal dan francais bubble tea antarabangsa, Chatime.

Menurut Fazley, dengan menampilkan tema Buka Puasa, Buka Rasa, dia diberi peranan menghasilkan dua jenis minuman edisi istimewa iaitu Bandung Sago Pearl Milk Tea dan Cendol Sago Milk Tea sebagai memenuhi kepelbagaian permintaan pelanggan setia dan baharu Chatime sepanjang bulan Ramadan nanti.

“Sudah tentu saya berasa amat terharu dan bangga apabila diberikan peluang untuk bekerjasama dengan Chatime yang kebetulan merupakan minuman kegemarannya dan keluarga sejak awal lagi.

“Apabila ditawarkan peluang kolaborasi ini, sudah pasti saya berasa teruja kerana selama ini sudah memasang angan-angan untuk menghasilkan resepi minuman istimewa jenama Chatime,” katanya.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia Sdn. Bhd. milik penuh Will Group, Aliza Ali dan Pengarah Eksekutif, Widayu Latiff.

Pada majlis itu, Fazley turut melakukan demonstrasi penyediaan dua minuman tersebut yang mengenengah sago sebagai keistimewaan sambil dibantu oleh Aliza serta Widayu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pemilihan Fazley sempena kempen Ramadan ini, Aliza memberitahu pengalaman dan minat Fazley dalam mempelbagaikan resepi dalam bidang kulinari merupakan sebab mereka memilihnya sebagai wajah kempen sempena Ramadan kali ini.

“Bertepatan dengan jenama Chatime yang menitikberatkan kepelbagaian di dalam minuman yang dijual, Fazley bukan sahaja merupakan wajah kempen, malah resepi bagi minuman kolaborasi Ramadan ini telah diolah olehnya sendiri” kata Aliza.

Bandung Sago Pearl Milk Tea (boleh ditambah dengan krim vanila) dan Cendol Sago Milk Tea dijual setiap satu dengan harga RM8.90.

Dua minuman istimewa ini boleh diperolehi di seluruh cawangan Chatime di Malaysia bermula seminggu sebelum Ramadan dan berakhir pada minggu awal Hari Raya Aidilfitri ini.

Chatime yang memasuki negara ini sejak tahun 2009 kini mempunyai hampir 40 cawangan di seluruh Malaysia. Selain Malaysia, Chatime juga memiliki lebih 1700 buah cawangan di 32 negara seperti London, Paris, Amerika Syarikat, Kanada, Dubai, Australia, Korea, China, India, Vietnam, Hong Kong, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam dan Taiwan.