• FOLLOW US

Drama Cintaku Di Bumi Izmir Papar Keindahan Izmir, Turki

Kebiasaannya jika menjalani penggambaran di Turki, pihak produksi drama tempatan lebih gemar memaparkan keindahan Istanbul daripada daerah-daerah lain di negara itu.

Namun, ia berbeza sekali buat penerbit drama Cintaku Di Bumi Izmir iaitu Creative Skill Solution apabila mereka memaparkan keindahan Izmir yang melatari drama bersiri 30 episod itu.

Menurut penerbitnya, Suriyati Sidek mereka sengaja memilih Izmir kerana ingin memberi kelainan dan nafas baharu dalam penerbitan drama tempatan untuk menerokai tempat yang masih belum menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia.

“Kami menjalani penggambaran pada bulan puasa lalu dan pemandangan di sana sangat indah, sama cantik seperti di Istanbul.

“Pihak produksi tidak menghadapi kesukaran sepanjang berada di sana malah kami sempat merasai pengalaman berpuasa selama 16 jam di sana jika dibandingkan cuma 12 jam di negara kita,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran Cintaku Di Bumi Izmir di Shah Alam, baru-baru ini.

Cintaku Di Bumi Izmir ditayangkan pada setiap Isnin dan Selasa bermula 27 Ogos lalu, jam 9 malam di Unifi TV saluran 116.

Drama arahan Idora Abdul Rahman ini dibintangi Hefny Sahad, Raysha Rizrose, Nabila Razali, Syafie Naswip, Noniswara, Wanna Ali dan Syafnida Shuhaimi.

Cintaku Di Bumi Izmir mengisahkan Suzan Sevgi (Raysha) seorang gadis kacukan Melayu-Turki yang menetap di Izmir bersama ibunya selepas kedua ibu bapanya bercerai ketika berusia tujuh tahun.

Suzan kemudiannya bertemu dengan Aidid (Hefny) di satu konvensyen hub-halal sedunia dan dari situ mereka berkenalan. Namun hubungan mereka ditentang ibu saudara Aidid, Haryati (Noniswara) kerana dia ingin menjodohkan Aidid dengan anak kepada kawan baiknya iaitu Juliana (Wanna).

Adakah cita-cita Haryati untuk menghalang cinta Aidid dan Suzan tercapai, sama-sama nantikan kesudahan drama ini menerusi Unifi TV saluran 116. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Creative Skill Solution