• FOLLOW US

Konsert Awie Romantika Menggamit Nostalgia Kisah Cinta Bersama Erra

Konsert Awie Romantika yang menggandingkan vokalis kumpulan Wings itu bersama Erra Fazira ternyata menggamit nostalgia kisah cinta mereka berdua suatu ketika dahulu.

Umum mengetahui, semasa zaman kegemilangan mereka sekitar era 90-an dahulu, Awie dan Erra dikenali antara pasangan paling top sehingga masing-masing pernah mengikat tali pertunangan.

Bagaimanapun, jodoh ikatan pertunangan mereka tidak panjang dan kedua-duanya membawa haluan masing-masing dan berkahwin dengan pilihan sendiri.

Kini setelah 22 tahun, Awie dan Erra kembali bersatu semula di atas satu pentas menerusi konsert yang berlangsung pada 15 Februari lalu di Stadium Malawati Shah Alam.

Malah, kehadiran pengunjung yang cukup ramai ke konsert berkenaan seramai 6,000 peminat lebih menghangatkan lagi suasana konsert dengan aksi-aksi romantik yang ditampilkan oleh Awie dan Erra.

Pada konsert yang berlangsung kira-kira lebih dua jam, sebanyak 23 buah lagu dipersembahkan, sambil diselitkan dengan elemen-elemen ‘drama’ kisah cinta mereka.

Antara lagu-lagu yang dipersembahkan oleh Awie seperti Tiada Rahsia Antara Kita, Bara, Diambang Wati dan Ratuku, manakala Erra pula tampil dengan lagu seperti Pertemuan dan Yang Indah Hanya Sementara.

Tidak ketinggalan, Awie dan Erra turut tampil dengan lagu duet iaitu Dua Insan, Cinta Makrifat dan Jangan Pisahkan yang mendapat sorakan gemuruh penonton. – KopiPlanet.com

Lamar Erra Fazira, Isteri Beri Lampu Hijau Kepada Awie

Setelah lebih 20 tahun mengalami episod kegagalan dalam percintaan, penyanyi Datuk Awie dan Erra Fazira akan kembali mengusik kenangan lalu di antara mereka menerusi Konsert Awie Romantika yang akan berlangsung pada 15 Februari nanti.

Awie berkata, dia melihat keserasian yang cukup kuat dengan bekas teman wanitanya itu sebagai salah satu faktor yang membuatkannya tertarik untuk bekerjasama dengan Erra menerusi konsert berskala besar yang dianjurkan oleh HS Shazlicious.

“Keserasian yang ada di antara kami dalam bidang lakonan dan nyanyian telah membuatkan saya melamar Erra untuk bersama-sama menjayakan konsert ini.

“Sebelum membuat lamaran, saya terlebih dahulu dah minta keizinan daripada isteri dan dia beri lampu hijau demi konsert ini. Isteri juga merupakan peminat Erra malah dia sempat berpesan pada saya yang dia nak bergambar dengan Erra nanti,” katanya yang juga merupakan suami kepada Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin.

Menerusi satu sidang media yang diadakan di Zebra Showcase, Palace of Golden Horses, Seri Kembangan hari ini, nama Erra diumumkan sebagai penyanyi undangan yang akan memeriahkan konsert solo Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 51.

Menurut Awie, konsert itu nanti akan menyelitkan beberapa babak lakonan di antaranya dengan Erra selain merungkai persoalan ramai mengenai punca perpisahan mereka, dua dekad lalu.

“Saya dan Erra tidak boleh halang apa yang orang luar nak cakap mengenai kisah lama kami, mereka berhak menilai apa sahaja. Daripada biar mereka terus berteka-teki mengenai perkara tersebut, kami kembalikan nostalgia itu menerusi lagu-lagu yang akan didendangkan pada malam konsert nanti.

“Di luar ke mana sahaja saya pergi, orang pasti akan bertanya tentang kami, malah sampaikan ada orang suruh saya berkahwin dengan Erra. Kami di sini hanya nak tunjukkan contoh yang baik, yang mana jika tiada jodoh tak semestinya kita kena bermusuh. Apa yang lepas, biarkan ia berlalu.

“Untuk konsert ini, kami akan berduet menerusi dua buah lagu dan Erra akan turut mendendangkan tiga buah lagu solonya di samping diselang-selikan dengan beberapa sketsa lakonan yang bersesuaian dengan kisah lama kami,” ujar Awie lagi.

Sementara itu, Erra, 45, pula berkata dia tidak terus menyatakan persetujuan apabila dilamar Awie untuk menyertai konsertnya. Sebaliknya, bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 ini mengambil sedikit masa untuk meneliti terlebih dahulu hala tuju konsert tersebut.

“Ketika ditawarkan, saya tidak terus bersetuju, malah kami ada buat perjumpaan untuk berbincang mengenai apa intipati yang telah dirancang untuk konsert tersebut.

“Awie cakap konsert ini nak diselitkan sedikit sketsa. Suatu ketika dahulu nama kami sangat sinonim sebagai pasangan bercinta. Jadi, tujuan Awie adalah untuk merungkaikan persoalan peminat mengenai perpisahan itu.

“Kalau mahukan saya menyanyi sahaja, lebih baik Awie ambil Kak Ziana kan? Tapi, Awie kata ada sketsa dan penceritaan kami, itu adalah sebab kenapa saya bersetuju untuk sertai konsert ini,” ujar Erra.

Tiket Konsert Awie Romantika yang akan diadakan pada 15 Februari 2020 di Stadium Malawati, Shah Alam boleh didapati menerusi www.myticket.asia atau hubungi talian (03-86050195).

Tiket berharga RM78 (green zone), RM128 (purple zone), RM188 (yellow zone), RM238 (red zone), RM308 (grey zone) dan RM438 (vip zone). – KopiPlanet.com

Misteri Plot Twist Kekuatan Wangi, Erra Papar Sisi Lain Lakonan

Tajuk: Wangi
Tarikh Tayangan: 5 September 2019
Durasi: 1 jam 31 minit
Genre: Seram
Pengarah: Latif Zami
Pelakon: Erra Fazira, Sharnaaz Ahmad, Nabila Huda, Syazwan Zulkifli, Ruminah Sidek
Klasifikasi: P18

Membawakan genre psiko thriller dan seram, Wangi membariskan pelakon terkenal seperti Erra Fazira, Sharnaaz Ahmad, Nabila Huda dan Syazwan Zulkifli yang tidak perlu disangkal lagi kehebatan lakonan mereka.

Setiap watak memainkan peranan penting bagi mewarnai filem ini sehingga membuatkan penonton terpukau dengan lakonan mereka yang realistik. Filem Wangi terbitan Resilience Studios Sdn. Bhd ini juga cukup istimewa bagi Erra yang sememangnya sebelum ini sering kali diberi watak yang manis dan romantis namun kali ini, Wangi membuatkannya terpaksa mengharungi pelbagai emosi sebagai seorang isteri dan ibu kepada dua cahaya mata. Filem ini harus ditonton buat semua peminat yang merindui lakonan cemerlang Erra yang digelar Primadona Filem Melayu ini.

Sharnaaz pula menampakkan kredibilitinya sebagai pelakon serba boleh menerusi ekspresi wajahnya yang cukup berkesan dan meyakinkan menerusi wataknya sebagai Khuzairi. Manakala, Nabila pula cukup rencah membawakan watak penggoda dengan cemerlang. Menerusi gerakan badan dan lirikan mata sahaja sudah cukup membuatkan penonton ‘resah’ dengan gaya nakalnya itu.

Walaupun diberi peranan kecil dan muncul hanya pada pengakhiran cerita, namun watak Mia Nasir dilihat penting bagi merungkaikan segala penamat kepada misteri yang membelenggu watak utama filem ini.

Jalan cerita yang mudah dihadam membolehkan penonton kekal menonton dengan santai tanpa perlu berfikir secara berat seperti mana yang dimahukan oleh penerbitnya, Shuhada Mohd. Kelibat entiti atau hantu bukan merupakan satu tema utama filem ini namun kehadirannya cukup memberikan sisi seram kepada filem ini yang dibuat dengan secukup rasa.

Daripada segi sinematografi, ia cukup berseni dengan mainan warna yang serasi dengan cuaca mendung yang ingin digambarkan dalam filem ini. Lebih-lebih lagi pada babak akhir yang kelihatan cukup berseni dan mendamaikan dengan suasana resort di sekelilingnya walaupun pada ketika itu ia disinari dengan adegan kejam. Ia merupakan satu ironi yang cukup cantik untuk dibawakan dalam penerbitan filem tempatan.

Menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Manchester serta Liverpool, Wangi yang bakal ditayangkan di 79 buah pawagam seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura mengisahkan tentag Nor yang baharu pulang ke rumah selepas melahirkan cahaya mata kedua. Sepanjang tempoh berpantang, Nor telah dijaga oleh ibunya. Dalam pada itu, Nor juga menyedari ketiadaan pembantu rumah yang juga merangkap adik angkatnya, Bella.

Khuzairi memberitahu Nor bahawa Bella telah bergegas pulang ke Amsterdam dengan alasan untuk berkahwin dengan kekasihnya iaitu Azlan. Nor yang kemudiannya sangsi dengan kehilangan Bella cuba mencarinya namun akhirnya berjaya merungkai satu misteri yang sebenarnya sudah lama bertapak dalam kehidupan Nor dan Khuzairi sekeluarga. Apakah misteri tersebut, anda hanya boleh ketahuinya dengan mengunjungi pawagam terdekat untuk menonton filem Wangi. Jangan lupa janji temu anda untuk menonton Wangi bermula 5 September ini! – KopiPlanet.com

Erra Fazira Impi Tunai Haji Setiap Tahun Jika Diberikan Rezeki

Pelakon Erra Fazira berkongsi perasaannya yang teringin mengerjakan haji pada setiap tahun sekiranya dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

Menurut Erra lagi, perjalanan ibadah hajinya merupakan satu momen yang paling indah dalam kehidupannya selama ini.

“Alhamdulillah, perjalanan ibadah terindah bagi saya. Ianya lebih indah daripada yang saya jangkakan sebelum ini. Saya pasti akan merindui setiap kenangan sepanjang mengerjakan ibadah haji di sana.

“Terasa masa seperti cepat berlalu ketika di sana. Keajaiban adalah saya rasa ketenangan yang terindah yang belum pernah dirasakan sebelum ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Erra ditemui pada majlis pratonton filem terbaharu lakonannya, Wangi yang diadakan di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chik, 46, turut menambah, “Jika diberikan kesempatan dan dimurahkan rezeki, saya pasti ingin kembali lagi ke kota suci. Kalau tanya dengan orang yang dah pernah pergi, pastinya mereka ingin kembali semula ke Mekah.”

Sementara itu, dalam perkembangan seni, Erra tampil dengan filem Wangi terbitan Resilience Studio Sdn. Bhd yang memaparkan genre psiko thriller. Diarahkan Latif Zami, Wangi akan memulakan tayangan di 79 pawagam seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura pada 5 September ini.

Selain Erra, Wangi turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Nabila Huda, Syazwan Zulkifli dan Mia Nasir. – KopiPlanet.com

Wangi… Kisah Seram Yang Merungkai Misteri Kehilangan Bella

Filem-filem bercorak psiko thriller yang mengandungi unsur-unsur seram merupakan antara genre filem yang cukup digemari penonton.

Maka, syarikat produksi Resilinece Studio Sdn. Bhd. mengambil inisiatif dengan terhasilnya filem sulung mereka berjudul Wangi yang akan ditayangkan di pawagam pada 5 September ini.

Biarpun baru menghasilkan filem, namun mereka dilihat cukup serius untuk filem sulung ini dengan menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Erra Fazira, Nabila Huda dan Syazwan Zulkifly.

Penerbitnya iaitu Shuhada Mohd. atau Adda mengatakan bahawa dia begitu menggemari plot-plot seram dan misteri dalam sesebuah cerita dan itu merupakan salah satu sebab utama tercetusnya idea untuk menerbitkan filem ini.

“Untuk filem baharu terbitan syarikat saya ini, Wangi merupakan tajuk yang sukar ditafsirkan kerana ia subjektif dan bergantung pada persepsi individu.

“Filem ini memaparkan kisah tentang sebuah keluarga bahagia dari pandangan zahirnya, tetapi di sebaliknya ia mempunyai rahsia hitam yang tersembunyi,” ujarnya.

Wangi menceritakan tentang Nor (Erra Fazira) yang baru pulang ke rumah setelah melahirkan cahaya mata kedua. Dia dan suaminya, Khuzairi (Sharnaaz Ahmad) memiliki seorang anak lelaki istimewa berusia tujuh tahun. Sepanjang dalam tempoh berpantang, Nor telah dijaga oleh ibunya.

Dalam pada itu, Nor juga menyedari ketiadaan pembantu rumah dan merangkap adik angkatnya, Bella (Nabila Huda). Khuzairi memberitahu bahawa Bella telah berhenti dan pulang ke Amsterdam dengan alasan berkahwin dengan kekasihnya iaitu Azlan (Syazwan Zulkifli).

Bagaimanapun, Nor berasa pelik memandangkan Bella tak pernah bercerita tentang perkahwinan dan bermulalah misteri tentang kehilangan Bella serta kejadian-kejadian pelik yang berlaku ke atas dia dan keluarganya, di sebalik misteri kehilangan Bella.

Sementara itu, salah seorang pelakon utamanya iaitu Erra Fazira pula menyatakan dia tertarik untuk membintangi filem berkenaan kerana kelainan watak yang dibawakannya iaitu seorang ibu yang berdepan dengan konflik jiwa.

“Saya pernah berlakon di bawah arahan Yeop Hitler (Mohd Latiff Zami), tetapi kali ini pengarahan dan pembawakan jiwa yang berbeza diterapkan olehnya.

“Dia memberi kebebasan kepada saya untuk watak Nor ini, namun dalam masa yang sama dia memantau agar karektor dan penceritaan tidak tersimpang jauh,” ujarnya.

Selain itu, Erra menyatakan jalan cerita yang agak menarik di samping dapat beraksi bersama rakan-rakan pelakon yang hebat antara sebab utama dia bersetuju membintangi filem berkenaan.

“Sudah tentu saya harap filem Wangi dapat mengubat hati penonton yang mahu saya kembali beraksi di layar perak. Ia bukan sekadar filem seram seperti yang dijangkakan kerana Wangi adalah sebuah filem ‘psycho thriller’ yang jarang dizahirkan dalam filem-filem Malaysia,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Erra Fazira Pendam Hasrat Tunai Haji Sejak Lima Tahun Lalu

Pelakon Erra Fazira bakal menunaikan ibadah haji pada awal Ogos ini secara bersendirian tanpa ditemani mahramnya.

Menurut Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chik, 45, dia sudah lama menyimpan hasrat sejak lima tahun lalu untuk mengerjakan rukun islam kelima itu.

“Sekarang adalah masa yang sesuai, usia saya pun sudah layak dan Alhamdulillah saya dipanggil ke sana untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.

“Sejujurnya saya ada rasa sedikit gementar tetapi dalam pada masa yang sama sangat teruja dan sudah tidak sabar. Ini adalah perkara baik dan perjalanan ini antara saya dan Tuhan.

“Antara persiapan yang saya buat adalah seperti menghadiri kelas agama serta bertanyakan pengalaman kepada individu yang pernah mengerjakan haji sebelum ini, semoga semuanya dipermudahkan di sana nanti,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Erra ditemui pada majlis pelancaran Aliff Syukri Legacy Cosmetics di Glam Hall, Damansara Perdana, semalam. Menerusi majlis itu, Erra turut diperkenalkan sebagai duta komestik, ASL Cosmestics bersama-sama penyanyi Wany Hasrita.

Merangkumi 15 jenis produk kosmetik yang direka dan diformulasikan sendiri oleh Datuk Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida, ASL Cosmetics dijual dengan harga mampu milik tetapi dengan kualiti setaraf produk antarabangsa. Bersandarkan moto Beauty Without Borders, ASL Cosmetics diyakini bakal menjadi antara salah satu jenama kosmetik tempatan terbaik dalam pasaran. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Erra Fazira

Lima Selebriti Dipilih Penyampai Baharu Program Mingguan Wanita

Menyedari pengaruh dan populariti selebriti terkenal boleh menarik lebih ramai pengikut, program bual bicara Mingguan Wanita mengambil keputusan untuk melantik lima selebriti terkenal sebagai penyampai baharu mereka.

Mereka yang terpilih ialah Elizad Sharifuddin, Erra Fazira, Sherry Al-Hadad dan dua artis lelaki iaitu pelakon Norman Hakim dan penyampai radio Era, Radin Amir.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, pemilihan kelima-lima selebriti itu dirasakan tepat memandangkan pengaruh selebriti lebih kuat daripada ‘social media influencer’.

“Selebriti punyai pengaruh yang kuat berbanding selebriti media sosial dan tidak dinafikan atas sebab itu kita menampilkan barisan selebriti popular untuk musim baharu ini.

“Untuk musim ini, kami akan mengupas isu secara menyeluruh termasuk daripada aspek kecantikan, kesihatan, pelancongan, kemasyarakatan dan juga gaya hidup,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran musim baharu Mingguan Wanita yang berlangsung di The Gardens Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Elizad yang diberi peranan sebagai hos pada setiap hari mengatakan pengacaraan merupakan satu cabang seni yang cukup diminatinya selain daripada lakonan.

“Saya akan bersiaran pada setiap hari ditemani rakan penyampai yang berlainan. Saya suka dengan pengisian program ini dan sudah pastinya saya akan cuba memberikan yang terbaik,” ujarnya yang cukup teruja dengan kerja baharunya itu.

Pada setiap Isnin, Elizad akan bergandingan dengan Erra untuk mengulas topik berkaitan Kesihatan dan Kecantikan manakala pada setiap hari Selasa, Elizad dan Radin akan berbicara mengenai isu Kemasyarakatan dan Gaya Hidup.

Setiap hari Rabu, Elizad akan ditemani Sherry untuk mengupas topik berkaitan Makanan & Travelog. Untuk setiap hari Khamis, Elizad dan Norman akan membawa penonton mendalami topik Cerita Dalam Kain mengenai hal-hal rumah tangga.

Pada hari Jumaat pula, segmen Motivasi, Inspirasi & Kerohanian pula akan dikendalikan Elizad secara bergilir-gilir bersama Datuk Fadzillah Kamsah, Prof. Dr. Muhaya dan Imam Muda Asyraf.

Mingguan Wanita akan bersiaran langsung pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 11 pagi bermula 8 Julai ini di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121). – KopiPlanet.com

Sudah ‘Move On’, Erra Fazira Enggan Ulas Isu Dengan Umie Aida

Pelakon Erra Fazira enggan mengulas lanjut melibatkan isu pergaduhannya dengan rakan baiknya, Datin Seri Umie Aida seperti yang hangat baru-baru ini.

Menurut Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chik, dia kini mahu meneruskan hidup dengan optimis dan enggan mengenang kisah lalu.

“Sekarang saya dah ‘move-on’ dan tak nak bercakap lagi soal ini. Pengajaran lepas yang bagus untuk diri saya,” katanya yang ditemui di majlis sidang media program Mingguan Wanita di The Gardens Mall, Kuala Lumpur hari ini.

Erra turut memberitahu bahawa dia tidak mahu memanjangkan perkara ini kerana baginya cukuplah dengan apa yang sudah terjadi.

“Saya mohon maaf kepada rakan-rakan media kerana anda tidak akan mendapat jawapan kepada semua persoalan yang anda mahukan daripada saya pada hari ini.

“Saya enggan panjangkan isu dan hanya ingin mengenang apa yang berlaku sebagai satu titik hitam dalam kehidupan saya,”katanya lagi.

Tambahnya lagi, dia hanya memohon agar peminat mendoakan perjalanan hidupnya selepas ini lebih aman dan damai.

“Setiap apa yang berlaku dalam hidup ini saya ambil sebagai satu pengajaran tidak kira baik atau buruk.

“Soal saya berduka atau tidak, biarlah saya simpan sendiri. Saya ada tempat (Allah) untuk saya mengadu nasib,”ulasnya lagi.

Umie sebelum ini memuat naik status di Instagram mendakwa rakan baiknya telah mengkhianati dirinya sebanyak tiga kali.

Baru-baru ini tersebar sebuah video memaparkan Umie dan Erra bermaaf-maafan dan Umie juga pernah mengeluarkan kenyataan dia memaafkan Erra namun hubungan mereka mungkin tidak mungkin akan rapat seperti dulu lagi. – KopiPlanet.com

Isu Didakwa Berbalah: Erra Fazira Mohon Maaf Pada Umie Aida

Beberapa hari lalu, pelakon Datin Seri Umie Aida ada memuat naik status mendakwa dia telah ditikam belakang oleh rakan baiknya.

Walaupun tidak meletakkan nama siapa yang dimaksudkan olehnya, namun rata-rata berpendapat Umie bergaduh dengan sahabat baiknya, Erra Fazira.

Terbaharu, Erra hari ini menerusi laman Instagramnya memuat naik satu status memohon maaf kepada semua termasuk kepada Umie.

“Kepada semua, saya mohon maaf di atas segala apa yang terjadi. Saya manusia biasa yang ada buat salah dan pernah menyakiti hati teman saya, Datin Paduka Umie Aida. Umie pernah memaafkan saya sebelum ini dan saya telah mengecewakan dia buka kali ketiga.

“Umie memendamkan perasaan ini dan dia juga pernah text saya dengan baik. Umie tiada bukti dia tidak akan bersuara. Saya harap dengan pengakuan ini, hentikan perbalahan semua ya.

“Saya belajar kesilapan saya dan saya baiki kekurangan saya. Ternyata saya banyak kekurangan dan saya harus terus baiki diri. Saya mohon maaf sekali lagi pada semua juga kepada Umie,” tulis Erra.

Menerusi posting itu, Erra menutup ruang komen berkemungkinan besar enggan membesar-besarkan isu tersebut.

Umie sebelum ini mendakwa seorang teman baiknya lebih mementingkan kemewahan daripada menjaga erti sebenar persahabatan yang dilalui mereka.

Beberapa jam selepas memuat naik status itu, Umie dilihat telah memadam status tersebut di Instagramnya. – KopiPlanet.com

Erra Fazira Belum Tergerak Nak Hadiahkan Aleesya Bapa Baru

Penyanyi Erra Fazira memaklumkan dia belum tergerak hati untuk menghadiahkan bapa baru buat cahaya mata tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran.

Menurut Erra, sehingga kini dia masih lagi berkawan dengan penyanyi Shahir Zawawi dan tiada sebarang perancangan untuk membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya dalam masa terdekat.

“Seperti yang selalu saya tegaskan sebelum ini, tidak ada apa-apa. Tidak manis untuk saya berkata-kata.

“Saya hanya berkawan dan masih menjadi kawannya.

“Walaupun Aleesya selesa dengan Shahir tapi saya belum tergerak (hati) nak hadiahkan dia bapa baru,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Erra ditemui pada majlis Rumah Terbuka Mind Order yang diadakan di Kach’e, Shah Alam semalam.

Sementara itu, Erra turut mendedahkan bukan semua kawannya menyukai hubungan yang terjalin di antaranya dengan pemuda kelahiran Perak itu.

“Ada yang suka dan ada yang tidak suka. Tapi kawan yang baik akan sentiasa mendoakan dan menegur kita selain menghormati perkara yang kita lakukan. Dia akan nasihat mana yang perlu.

“Saya tahu bukan semua orang suka apa yang kita buat kan,” ujarnya lagi.

Erra sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada tanggal 25 Oktober 2007 namun berpisah tujuh tahun kemudian. Hasil perkahwinan, mereka mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia sembilan tahun. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Erra Fazira