• FOLLOW US

Terlalu Lembut Nyanyi Anta Permana, Bob Yusof Abai Kritikan Netizen

Penyanyi Bob Yusof mengambil pendekatan enggan terlalu memikirkan kritikan netizen yang mendakwa dirinya terlalu lembut membawakan lagu Anta Permana nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza pada saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 (SFMM 34), November lalu.

Bob menggantikan Siti Nurhaliza untuk lagu Anta Permana yang merupakan ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong. Lagu tersebut berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu 34 (AJL 34) yang akan berlangsung pada 9 Februari ini.

“Saya hanya mempersembahkan lagu itu mengikut gaya saya sendiri. Mungkin pandangan orang berbeza-beza bila ada yang kata saya terlalu lembut dan lentik di atas pentas. Tapi saya ambil pendekatan tidak kisahlah netizen nak cakap macam mana yang penting persembahan saya dapat memuaskan hati komposer dan penyanyi asal lagu

“Saya memang baca semua komen-komen yang diberikan tapi kalau ada komen yang terlalu melampau memang saya buat tidak tahu sahaja. Saya lebih suka baca kritikan membina yang mana saya boleh menambah baik lagi persembahan di masa akan datang.

“Datuk Siti sendiri sudah berpesan kepada saya agar bawa dengan gaya saya sendiri ketika menyanyikan lagu itu dan itu yang saya buat,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Juara Lagu 34 (AJL 34) yang berlangsung di The Linc, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercakap mengenai persiapannya, Bob berkata setakat ini sebanyak 20 peratus sudah dilaksanakannya dan setiap keputusan berhubung persembahan akhir itu perlu mendapat persetujuan daripada semua pihak yang terlibat.

“Saya menggalas peranan menyanyikan lagu orang dan disebabkan itu saya kena sering bertanya kepada komposer dan penyanyi asal. Perkara itu tidak merimaskan saya sebab saya sentiasa nak tahu apa kehendak penyanyi dan komposer dan seboleh mungkin saya cuba untuk puaskan hati mereka.

“Hael ada citarasa dia yang tersendiri dan begitu juga Datuk Siti, disebabkan itu saya kena ambil tahu pendapat kedua-dua belah pihak,” ujarnya lagi.

Anta Permana bakal bersaing dengan 11 finalis AJL 34. Program itu bakal dihoskan trio pengacara, Sherry Al-Hadad, Awal Ashaari dan Haziq Hussni. – KopiPlanet.com

Ernie Zakri Mahu Aisyah Aziz Nyanyi Lagu Anta Permana

Walaupun ramai pihak menyatakan hasrat mahu melihat Ernie Zakri menyanyikan lagu Anta Permana sekiranya lagu itu layak melangkah ke Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL 34), namun penyanyi muda itu melihat potensi Aisyah Aziz yang lebih sesuai mewakili Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk lagu tersebut.

Menurut Ernie, dia melihat Aisyah lebih sesuai kerana penyanyi itu memiliki nada suara yang klasik dan merdu untuk mendedangkan lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu.

“Pada saya yang dipilih menggalas tanggungjawab itu nanti harus kuat dan peminat pun seharusnya memahami setiap penyanyi ada cara nyanyian dan imej yang berbeza. Kalau saya jadi Hael saya akan pilih Aisyah Aziz untuk nyanyikan Anta Permana sebab kalau Aisyah bawakan lagu itu bunyinya akan jadi sangat berbeza daripada Datuk Siti.

“Saya tahu Malaysia ramai penyanyi, Hael sebagai komposer pastinya ada penyanyi mana yang dia mahukan (sekiranya Datuk Siti enggan membawakan lagu itu di AJL). Saya kena hormati keputusan komposer. Setakat ini Hael ada juga mengusik serta memberi bayangan untuk saya membawakan lagu ini tapi setakat ini tiada pendekatan secara rasmi datang kepada pihak saya.

“Tiada ‘approach’ secara rasmi saya tak berani nak kata saya akan buat atau tidak. Tapi kalau rezeki untuk menyanyi lagu Datuk Siti ada pada saya, saya redha dan terima (dengan sebaik mungkin),” katanya kepada KopiPlanet.com.

Ernie ditemui pada majlis pertunjukkan fesyen Spring Summer Alike 2020 anjuran MARA in Fashion (MIF) yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

Perkara ini dibangkitkan apabila Siti Nurhaliza dikatakan tidak akan ‘melanggar’ prinsipnya untuk kembali ke pentas AJL sejak menarik diri 10 tahun lalu.

Sementara itu, Ernie, 27, turut menyimpan keinginan untuk lagu nyanyiannya, Ku Bersuara berjaya mara ke pentas berprestij AJL34 yang bakal diadakan pada awal tahun hadapan.

“Saya sebenarnya sangat berharap lagu Ku Bersuara mendapat tempat di AJL34. AJL pentas berprestij dan pastinya setiap penyanyi mahu mendapatkan tempat untuk berada di situ,” katanya lagi. – KopiPlanet.com

“Bukan Papar Anak Ikan, Sebaliknya Konsep 11 Beradik” – Hael Husaini

Muzik video single raya Bersyukur Seadanya nyanyian Hael Husaini menjadi kontroversi baru-baru ini gara-gara netizen mendakwa ia memaparkan tema anak ikan.

Menurut Hael atau nama sebenar, Hal Husaini Razmi, 32, dia tidak mengambil pusing mengenai dakwaan itu sebaliknya hanya melihat perkara itu daripada sudut positif.

“Saya ambil positif perkara yang diperkatakan itu dan saya ucapkan terima kasih sebab anda semua kerana telah tolong promosikan muzik video itu. Saya sebenarnya tidak faham konsep anak ikan yang mereka katakan itu sebab muzik video itu lebih menceritakan tentang suasana 11 beradik dalam menyambut perayaan Aidilfitri.

“Disebabkan itulah ada beberapa muka penari yang iras macam saya. Adegan tidur bergelimpangan pula menceritakan suasana apabila kita balik beraya beramai-ramai memang normal tidur macam itu. Koregrafi pun kami buat ‘last minute’, tetapi saya gembira dengan penerimaan penonton terhadap muzik video tersebut,” katanya.

Sejak dimuat naik pada 24 Mei lalu, muzik video Bersyukur Seadanya sudah mencatat tontonan lebih daripada 920,000 kali. Anak ikan merupakan slanga yang digunakan bagi menceritakan situasi apabila seseorang lelaki itu menjadi simpanan kepada seseorang.

Sementara itu ketika ditanya mengenai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, Hael berkata dia lebih mementingkan keperluan ibu bapa dan adik-beradiknya sebelum meletakkan keutamaan kepada dirinya.

“Untuk persiapan raya, saya akan lebihkan kepada keluarga dulu dan bila dah ‘settle’, baru saya fikir pasal saya. Saya kalau ulang pakai baju tahun-tahun sebelum ini pun saya tidak kisah.

“Lagipun raya tak semestinya kena ada baju baru, itu bagi pandangan saya. Yang penting, saya kena dahulukan keluarga dan jalankan tugas sebagai anak dengan menyenangkan ibu bapa dan keluarga,” katanya sambil memberitahu akan menyambut lebaran di kediaman keluarganya di Seri Menanti, Negeri Sembilan. – KopiPlanet.com

Hael Husaini ‘Sakit Misteri’, Setiap Kali Buat Show Suara Tak Keluar

Penyanyi dan komposer, Hael Husaini mendedahkan dia kini terikat dengan pengambilan ubat-ubatan selepas beberapa bulan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan sehingga turut memberi kesan ke atas pertambahan berat badannya.

Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 32, berkata, walaupun dia sudah membuat rawatan kesihatan di hospital namun, doktor tidak dapat menyatakan punca sebenar kenapa dia sering demam berpanjangan serta mengalami sakit tekak setiap kali sebelum membuat persembahan pentas.

“Kalau nampak muka saya macam membengkak sedikit, ia adalah disebabkan kesan steroid ubat yang saya ambil. Saya makan ubat bagi memulihkan keadaan suara saya yang sejak kebelakangan ini tidak mengizinkan. Dalam bulan puasa ini pun saya banyak berehat dan dalam usaha untuk memulihkan kesihatan. Sebenarnya keadaan saya berlarutan macam ini sejak tiga bulan lalu dan bila check dengan pakar ENT (telinga, hidung, tekak) mereka pun tidak tahu punca kenapa saya sakit.

“Sakit tidak keluar suara dan demam berpanjangan ini akan datang bila saya bakal mengadakan persembahan pentas. Macam hari ini (semalam) saya tiba-tiba demam, namun saya gagahkan diri juga untuk adakan persembahan pada malam ini,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada acara berbuka puasa bersama anak yatim anjuran syarikat pengurusan artis, Rocketfuel Entertainment di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semalam.

Ketika ditanya, adakah kemungkinan besar sakit misterinya itu mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat individu yang mungkin mencemberui kejayaannya, namun Hael menyatakan dia tidak mempercayai perkara-perkara sedemikian.

“Saya tidak percaya sangat dengan perkara mistik. InsyaAllah, saya boleh cuba cara rawatan alternatif jika ubat-ubatan doktor tidak berkesan, mungkin selepas ini saya akan cuba berubat cara Islam.

“Ramai juga yang cadangkan saya untuk mencuba mana tahu berkesan sebabnya memang sehari selepas saya buat persembahan, keadaan diri saya jadi macam biasa semula, tidak lagi demam dan saya jadi ‘happy go lucky’ seperti biasa,” katanya.

Hael juga menyatakan dia kini berdiet dengan tidak menjamah nasi selepas berat badan naik mendadak disebabkan pengambilan ubat daripada doktor.

Dalam perkembangan seni pula, Hael kini telah mengeluarkan single raya berjudul Bersyukur Seadanya yang merupakan hasil ciptaannya.

Muzik video lagu tersebut kini menjadi trending dan telah mencapai sebanyak lebih 470,000 tontonan di YouTube. – KopiPlanet.com

Lagu Haram Dinobatkan Juara AJL 33, Kejayaan Berganda Hael Husaini

Lagu Haram dinyanyikan oleh Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) yang berlangsung malam ini.

Haram hasil ciptaan Hael dan Ezra Kong itu menumpaskan 11 buah lagu lain dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Ternyata ia merupakan kejayaan berganda buat Hael yang pada tahun lalu turut mencipta kejayaan bersama Ezra Kong menerusi lagu Jampi pada tahun lalu.

Manakala lagu Bunga ciptaan Hang Nadim, Laq dan Kadok yang dinyanyikan Ara Johari pula berhasil memenangi hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi setelah muncul sebagai naib juara.

Untuk tempat ketiga pula menjadi milik lagu Sampai Bila yang dinyanyikan oleh Misha Omar. Lagu ciptaan Sharon Paul, Ahmad Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri berkenaan membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM20,000 berserta trofi.

Selain itu, Misha Omar turut menjadi pilihan juri untuk memenangi gelaran Vokal Terbaik dan memenangi hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi.

Bagi persembahan terbaik untuk AJL 33 pula menjadi milik Sufian Suhaimi dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000, trofi dan sebuah telefon pintar Samsung Galaxy A9.

Juri-juri yang mengadili AJL 33 terdiri daripada Datuk Mokhzani, Datuk Wah Idris, Manan Ngah, Lok U, Ajai, Helen Yap, AG Coco, Adi Priyo, LY dan Azmeer selaku ketua juri.

Antara lagu-lagu yang bertanding pada AJL 33 seperti Khai Bahar (Luluh), Haqiem Rusli & Aman Ra (Jatuh Bangun) Syamel (Kau Pun Sama), Kaer & Amylea (Tak Pernah Hilang), Hael Husaini (Hajat), Siti Nordiana & Jaclyn Victor (Nisan Cinta), Sufian Suhaimi (Di Matamu), De Fam (Bunga) dan Siti Sarah (Semakin). – KopiPlanet.com

AJL 33: Hael Tiada Tekanan, Hanya Nak Buat Yang Terbaik

Pemenang utama Anugerah Juara Lagu ke-32, Hael Husaini berkata dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk dua lagu nyanyiannya, Hajat dan Haram yang akan bersaing pada malam kemuncak AJL 33 yang bakal berlangsung pada 3 Februari ini.

Menurut Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 32, dia enggan terlalu memikirkan mengenai perkara itu sebaliknya hanya ingin memberikan yang terbaik pada malam itu.

“Kalau masuk mana-mana pertandingan saya memang tidak meletakkan sebarang misi atau harapan nak memang tetapi yang pasti saya akan cuba menyampaikan sehabis baik pada malam itu nanti.

“Setakat ini, semua persiapan berjalan lancar. Saya menitikberatkan daripada sudut vokal begitu juga persembahan. Untuk latihan vokal, saya masuk kelas Datuk Syafinaz Selamat untuk mantapkan lagi suara,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Hael ditemui pada majlis sidang media Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) yang berlangsung di Hotel Empire, Subang Jaya baru-baru ini.

Mengakui gementar namun Hael cuba untuk tidak terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut dan hanya enjoy dengan persembahan yang bakal dijayakannya.

“Sudah tentu ada rasa gementar tapi saya tak suka terlalu ‘overthinking’. Kalau boleh saya suka mengelak daripada berada dalam keadaan tekanan dan hanya nak berikan persembahan terbaik.

“Saya pasti semua rakan-rakan finalis pun mempunyai misi yang sama untuk sama-sama memberikan persembahan yang boleh diingati semua penonton apabila mereka menonton AJL 33 nanti,” katanya.

Pada malam kemuncak itu, Hael akan mendendangkan lagu Hajat dan Haram duet bersama Dayang Nurfaizah. Lagu gubahan Hael iaitu Nisan Cinta nyanyian Siti Nordiana dan Jaclyn Victor turut bersaing pada malam anugerah berprestij itu.

AJL 33 bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Februari ini. Ia akan disiarkan secara langsung menerusi TV3. – KopiPlanet.com

Hael Husaini Akan Kekalkan Imej Pakai Spek Mata Hitam

Jika diperhatikan penyanyi yang popular dengan lagu Jampi, Hael Husaini tidak pernah gagal menggayakan cermin mata hitam tatkala sedang menjayakan persembahan pentas.

Ketika ditanya adakah dia akan terus mengekalkan imej penyanyi yang sentiasa berkaca mata hitam, Hael berkata, “Saya tiada masalah nak perform pakai spek atau pun tidak.”

“Tapi bila saya tidak pakai cermin mata hitam ketika buat persembahan, ramai cakap mereka nampak janggal tengok saya tak pakai spek hitam mungkin sebab dah biasa nampak saya pakai aksesori itu. Mungkin ia akan terus menjadi imej saya selepas ini,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com ketika Anugerah Digital Muzik Era 2018 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam majlis itu, lagu Jampi telah dinobatkan sebagai Lagu Viral Era mengalahkan lagu lain seperti Pematah Hati nyanyian Nabila Razali, Sabar (Ismail Izzani), Senyum (As’ad Motawh) dan Pertama Kali (Sha).

“Saya langsung tak menjangkakan Jampi akan menang. Saya teruja ramai dapat terima lagu ini malah banyak yang buat cover lagu ini. Saya gembira lagu ini diterima menjadi sebahagian daripada muzik yang didengari orang di luar sana,” katanya.

Bakal muncul dengan single terbaharu tidak lama lagi, Hael atau nama sebenarya, Hal Husaini Ramzi berkata dia akan mencuba genre lagu lain pula selepas ini.

Ini kerana bapa kepada seorang anak angkat itu berkata dia mahu lebih meneroka pelbagai genre lagu agar muzik yang dibawakannya tidak kelihatan satu nada sahaja serta lari dari imej single pertamanya, Jampi.

“Untuk single baharu, saya tidak akan buat yang sama macam Jampi. Ia akan ada perubahan. Saya sebenarnya minat rock dan akan cuba genre yang lain pula selepas ini, tunggu sahaja nanti,” katanya.

Hael turut berkata dia kini sedang giat mengadakan latihan bagi mempersiapkan dirinya untuk Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) yang akan berlangsung pada 11 Februari ini.

Penyanyi berusia 31 tahun itu akan bersaing dengan barisan finalis seperti Dayang Nurfaizah, Khai Bahar, Siti Nordiana, Ara Johari, Syamel, Ernie Zakri, Altimet, Hazama, Haqiem Rusli, Azmi Caliph Buskers, Wany Hasrita dan Salma Asis. – KopiPlanet.com