• FOLLOW US

Jung Joon Young Mengaku Salah Semua Tuduhan Jenayah Seks

Walaupun ramai pihak meramalkan penyanyi Jung Joon Young tidak akan hadir pada sebutan pertama kes jenayah melibatkan dirinya namun ternyata tanggapan itu salah sama sekali apabila empunya diri hadir ke Mahkamah Daerah Seoul Tengah, Sabtu lalu.

Menerusi sebutan kes, Joon Young menerusi peguamnya mengaku bersalah di atas 11 pertuduhan merakam serta mengedar video aksi seksnya bersama beberapa wanita lain.

“Kami mengaku bersalah atas semua pertuduhan dan bersetuju dengan semua bukti yang telah dikemukakan pihak polis,” kata peguamnya.

Joon Young terlibat dalam skandal seks selepas dia merakam video melakukan persetubuhan tanpa pengetahuan wanita yang bersamanya.

Penyanyi rock itu kemudiannya mengedarkan video itu menerusi aplikasi perbualan berkumpulan yang mana turut disertai bekas ahli kumpulan F.T Island dan Big Bang iaitu Jonghun dan Seungri. – KopiPlanet.com

Jung Joon Young Bakal Meringkuk Lebih 7 Tahun Dalam Penjara

Susulan kes tangkapan melibatkan penyanyi Jung Joon Young berhubung kesalahannya menyebarkan video aksi seksnya dengan beberapa wanita, selebriti itu berkemungkinan besar akan dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh setengah tahun.

Menurut seorang peguam, Oh Soo Jin tindakannya yang merakam secara haram aksi seks tanpa kerelaan wanita yang terlibat itu adalah satu kesalahan serius. Kesalahan yang dilakukannya itu akan menyebabkannya meringkuk dalam penjara maksimum lebih tujuh tahun.

Tindakan Joon Young menyebarkan video aksi intimnya kepada rakan-rakan dalam kumpulan aplikasi chat yang turut disertai barisan selebriti lain seperti Choi Jong-hun dan Seungri dikatakan sudah lama berlaku sejak empat tahun lalu.

Bintang rock ini telah ditahan pihak berkuasa pada 12 Mac lalu berhubung siasatan itu. Perbuatan terkutuk Joon Young didedahkan selepas video yang dikongsikannya itu disebarkan selepas telefon bimbit salah seorang rakannya itu rosak dan dibaiki di sebuah kedai.

Selain Joon Young, bekas ahli kumpulan Big Bang, Seungri turut berhadapan dengan skandal pelacuran, penyalahgunaan dadah dan rasuah melibatkan kelab malam miliknya, Burning Sun.

Seungri turut didakwa membekalkan wanita kepada Joon Young bagi memuaskan nafsunya. – KopiPlanet.com