• FOLLOW US

Kembara Sufi Turun Padang Hulur Bantuan Ringankan Beban

Menyedari kegelisahan dan kesukaran orang ramai yang berdepan dengan seribu satu masalah akibat pandemik Covid-19, membuatkan ramai terfikir apakah nasib yang bakal menimpa golongan yang kurang berkemampuan.

Ada yang hidup bergaji hari dan tak kurang juga yang terpaksa mengikat perut memandangkan rakyat Malaysia sekarang perlu patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April hadapan.

Bagi Ustaz Al-Fadzil Hidzir yang juga merupakan Pengarah Urusan Kembara Sufi Group Of Company Sdn. Bhd., ini merupakan masa yang kritikal untuk seluruh negara.

“Rakyat perlu patuh kepada arahan pihak berkuasa untuk duduk di rumah. Namun masih ada di antara mereka yang hidup berkerja dengan gaji harian dan sebagainya.

“Jadi kami ambil inisiatif untuk membatu mereka yang benar-benar dalam kesusahan. Setidaknya, ini akan dapat meringankan sedikit beban mereka,” katanya.

Sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu, memang terdapat rungutan daripada ahli masyarakat yang terjejas tidak dapat keluar bekerja seperti biasa.

Namun beberapa inisiatif sudah dilaksanakan oleh kerajaan dan bagi Al-Fadzil sendiri, mereka juga tidak boleh duduk diam tanpa memberikan apa-apa sumbangan kepada orang yang kurang berkemampuan.

Dia beruntung kerana dapat kerjasama daripada pelanggan agensi pelancongan Kembara Sufi dan beberapa orang perseorangan yang sudi menghulurkan pelbagai bentuk bantuan keperluan asas.

“Kami sudah menyampaikan sumbangan di beberapa daerah di Pahang seperti di Maran, Jengka, Chenor, Bera dan Kuantan.

“Malah kami turut turun ke Pucak Alam (Selangor) mencari mereka yang benar-benar layak dibantu. Ini soal tanggungjawab dan kita perlu bantu bila diperlukan,” tambahnya.

Untuk makluman, Kembara Sufi bukan sekadar sebagai agensi pelancong terkenal tetapi juga mempunyai syarikat produksi yang menerbitkan banyak drama popular tanah air. – KopiPlanet.com

Video Sharul Kamal Azan Merdu Antara Intipati Travelogue Backpackers 2

Bulan lalu, video penyanyi dan pengacara, Sharul Kamal menjadi viral disebabkan kemerduan dan kelunakan suaranya mengalunkan azan.

Video itu dirakamkan ketika Sharul terlibat sebagai hos bagi program Travelogue Backpackers: Mesir pada bulan Januari lalu.

Penerbit program terbabit, Jaja Ishak berkata, video tersebut secara tidak langsung memberikan publisiti positif terhadap rancangan tersebut yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

“Video yang dimuat naik oleh Sharul itu menjadi viral di media sosial sehingga menjadi bualan hangat netizen. Ia dirakamkan ketika kami menjalani penggambaran di Mesir baru-baru ini bagi musim kedua siri program ini.

“Pemilihan Sharul adalah tepat apabila saya memang nampak bakatnya menjadi seorang pengacara yang bagus. Walaupun kita tengok kerjayanya sebagai penyanyi tidak begitu menyerlah seperti rakan-rakan artis Akademi Fantasia yang lain, namun saya dapat lihat karakter dia sebagai hos yang baik.

“Sepanjang penggambaran memang dia tunjukkan komitmen yang sangat bagus malah dia mampu mengalunkan azan dengan baik sekali gus memberi nilai tambah untuk program ini,” katanya.

Travelogue Backpackers: Mesir terbitan Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd. telah menjalani penggambaran dari 26 Januari hingga 14 Februari lalu. Program ini telah menjelajah beberapa wilayah di Mesir bagi memberikan input menarik sepanjang penggembaraan mereka di sana.

Bakal ditayangkan menerusi saluran TV Okey (saluran 109) pada pertengahan tahun ini, program ini diterbitkan sebanyak 13 episod untuk 30 minit siaran tayangan pada setiap episod.

Untuk rekod, Travelogue Backpackers musim pertama menghidangkan penonton dengan keunikan dan kecantikan Balkan yang terletak di kawasan Eropah Selatan. – KopiPlanet.com

Kembara Sufi Pelancongan Patuh Syariah, Tawar Pelbagai Lokasi Menarik

Mula beroperasi sejak Disember 2013, agensi pelancongan Kembara Sufi Travel & Tours Sdn. Bhd. kini semakin mendapat perhatian lebih-lebih lagi daripada kalangan masyarakat Islam.

Ini kerana menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Fadzil Hidzir, Kembara Sufi menerapkan pelancongan patuh syariah seperti yang dituntut dalam agama.

“Alhamdulillah sejak kami memulakan operasi hampir enam tahun lalu, lebih 15,000 pelancong telah kami bawa menggembara ke tempat-tempat pelancongan menarik di seluruh dunia.

“Kami dikenali sebagai agensi pelancongan ‘halal tour’ yang mana kami sangat menjaga aspek pemakanan halal serta menjaga solat, ia ibarat pelancongan patuh syariah dengan kami.

“Selain daripada berjalan dan melancong, kami juga sentiasa memberikan pelbagai informasi dan pendedahan kepada pelanggan mengenai tempat-tempat yang kami kunjungi,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Muhammad Fadzil ditemui pada majlis rumah terbuka Kembara Sufi yang diadakan di Shah Alam, baru-baru ini.

Untuk tahun ini, Kembara Sufi akan lebih memberikan fokus kepada pakej pelancongan di Balkan yang kini semakin mendapat perhatian daripada rakyat Malaysia.

Menurut Muhammad Fadzil, pihak mereka sentiasa menambah baik lokasi pelancongan terbaik bagi memberikan sepenuh kepuasan kepada pelanggan.

“Kebiasaannya agensi kami yang akan mulakan dahulu sesuatu lokasi itu, barulah selepas itu syarikat lain pula yang mengikut destinasi tersebut.

“Macam Balkan, setakat ini kami sudah membawa lebih daripada 3,000 pelanggan sejak dari tahun lepas.

“Selain Balkan, Kembara Sufi turut giat memasarkan pelancongan ke satu daerah di Vietnam iaitu Nha Trang-Dalat yang diberi jolokan Amsterdam Asia. Di sana pun ada bunga tulip dan cuacanya yang sejuk sama seperti di negara empat musim,” katanya lagi.

Kembara ke Balkan selama 13 hari 10 malam bermula daripada harga RM6,599 seorang manakala ke Nha Trang-Dalat (RM1,999/ lima hari empat malam). – KopiPlanet.com