• FOLLOW US

Bayar Bebanan Hutang Dengan Sertai Program Mikrofon Impian 2

Berikutan sambutan dan maklum balas positif daripada penonton, program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian yang diadaptasi daripada program ‘game show’ nyanyian nombor 1 di Thailand, ‘Mikrofon Impian’ kini kembali serba baharu untuk musim yang kedua.

Program ini dijadualkan bersiaran di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam bermula 7 Oktober nanti.

Masih mengekalkan format asal, program ‘Mikrofon Impian’ diterbitkan khusus bagi membantu para peserta yang memerlukan bantuan kewangan untuk melunaskan bebanan hutang. Jenis bebanan hutang adalah terbuka kepada kategori hutang ibu bapa atau penjaga, hutang dengan pihak badan berkanun, hutang dengan pihak bank serta hutang dengan pihak individu.

Hadiah wang tunai yang ditawarkan pula adalah mengikut jumlah keperluan bantuan kewangan yang diminta berdasarkan situasi masing-masing.

Prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang terjejas akibat krisis Covid-19, pihak produksi Astro turut membuka penyertaan musim ini kepada orang ramai memerlukan bantuan bagi meringankan beban masalah kewangan yang dihadapi.

Sesi uji bakat menerusi platform digital akan dibuka bermula 10 Julai 2020 hingga 30 Julai 2020. Penyertaan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. Calon peserta boleh menyertai sesi uji bakat bagi penyertaan untuk diri sendiri atau mewakili individu lain yang memerlukan bantuan kewangan.

Untuk menyertai sesi ujibakat ‘Mikrofon Impian’ musim yang kedua, calon peserta perlu menyediakan sebuah rakaman video nyanyian lagu penuh tanpa sebarang iringan muzik. Dalam video tersebut, sila nyatakan dengan jelas mengenai maklumat diri atau keluarga beserta latar belakang dan masalah kewangan yang dihadapi secara ringkas. Durasi keseluruhan video tersebut mestilah tidak melebihi dua minit.

Video penyertaan boleh dihantar menerusi tiga cara iaitu menerusi aplikasi WhatsApp atau Telegram di nombor 019-2003623, menerusi portal rasmi Gempak di www.gempak.com atau menerusi laman media sosial Instagram menerusi penggunaan hashtag #MikrofonImpian2 (pastikan akaun tersebut berada dalam tetapan ‘umum’). – KopiPlanet.com

‘Buka Panggung’ Cabar Kredibiliti Pelakon Popular Lontar Dialog Spontan

Astro Warna dengan berbesar hati melancarkan program All Stars Buka Panggung yang merupakan sebuah pertandingan stagecom (komedi pentas) berkonsepkan realiti yang menampilkan nama-nama besar industri lakonan tempatan yagn dicabar untuk mencuba nasib dalam seni komedi improv.

Bermula 6 September ini, All Stars Buka Panggung bakal menyerikan saluran Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 214) yang mana ia akan bersiaran langsung dari Royal Theatre, Shah Alam pada setiap hari Jumaat, jam 9 malam.

Keunikan program ini terletak pada formatnya di mana ia menguji dan mencabar pelakon terhebat tanah air untuk beraksi dalam babak komedi pentas yang penuh dengan elemen kejutan.

Untuk program ini, Ajak dan Shahrul dari kumpulan Shiro telah diberi peranan sebagai hos untuk menggendalikan seramai 20 bintang pelakon popular yang mengambil bahagian dalam program yang bertaglinekan Katakan Tidak Kepada Skrip.

Antara selebriti yang mengambil bahagian ialah Datuk Aaron Aziz, Datin Seri Umie Aida, Naim Daniel, Liyana Jasmay, Datuk Rosyam Nor, Datin Diana Danielle, Fizo Omar, Farahdhiya, Fahrin Ahmad, Zulhuzaimy, Sharifah Sakinah, Sweet Qismina, Datuk Fizz Fairuz, Johan As’ari, Rita Rudaini, Ruhainies, Fauzi Nawawi, Izzue Islam, Noorkhiriah dan Mona Allen.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata, “Bagi mengukuhkan kedudukan Astro Warna sebagai satu-satunya saluran komedi utama di negara ini, kami cukup optimis dalam memperkenalkan kandungan komedi pelbagai format bertujuan untuk memberi lebih pilihan dan pengalaman menonton yang mempersonakan buat pelanggan kami.

“Berbeza dengan pertandingan komedi yang pernah diterbitkan sebelum ini, kami bawakan pula format baharu menerusi program All Stars Buka Panggung yang membawa kelainan tersendiri apabila buat julung kalinya bakal menyaksikan pertembungan sengit barisan pelakon popular tanah air yang memperlihatkan bakat terpendanm mereka dalam bidang komedi dan lawak jenaka.

“Bukan mudah untuk berlakon apatah lagi untuk membuat lawak secara improv, tanpa bersandarkan skrip rujukan. Untuk menguasai kedua-dua cabang seni ini (berlakon dan berlawak), ia memerlukan ilmu dan penghayatan luar biasa. Menerusi penganjuran progam ini, kami ingin mencari titik keseimbangan untuk melahirkan penggiat seni yang versatil seterusnya merangka struktur kandugan komedi yang berkualiti dan padat dengan mesej bermakna,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran All Stars Buka Panggung yang diadakan di The Starling Mall, Damansara Utama baru-baru ini.

20 selebriti ini akan bersaing untuk merebut hadiah kemenangan iaitu wang tunai RM50,000 beserta trofi, tempat kedua RM25,000 beserta trofi, tempat ketiga RM10,000 dan trofi dan tempat keempat tetap berjaya membawa pulang RM5,000 beserta trofi. – KopiPlanet.com

Cuisine On The Silk Road Papar Pembuatan Makanan Halal Di China

Program televisyen, Cuisine On The Silk Road yang memaparkan kerjasama Malaysia dan China diharap dapat mengukuhkan hubungan baik di antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh berkata kerjasama ini adalah satu usaha sama yang bagus memandangkan ia dapat memberi pendedahan tentang masakan Cina Muslim kepada penonton di Malaysia.

“Restoran halal kini sudah semakin mudah untuk didapati di negara China. Program ini secara tidak langsung memberi informasi kepada penonton mengenai cara pembuatan makanan halal di China.

“Saya harapkan kerjasama ini akan berterusan untuk hubungan baik di antara kedua-dua negara termasuklah dari segi perdagangan dan pelaburan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Cuisine On The Silk Road di GSC Signature, The Gardens Mall, Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir ialah Duta Besar Republik China ke Malaysia, Bai Tian, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif MIG Metrowealth, Mejar (K) David Teo.

Cuisine On The Silk Road akan mula ditayangkan bermula malam ini di saluran Naura (Astro 125), jam 11 malam.

Mengandungi lima episod, dokumentari menarik ini telah dialih bahasa dengan menggunakan suara selebriti tanah air.

Penonton akan disajikan dengan kepelbagaian serta keunikan makanan halal yang dihasilkan dengan cara pembuatan yang tersendiri.

Selain itu, program ini turut memaparkan cara hidup masyarakat setempat serta lambakan makanan jalanan halal yang boleh didapati dengan mudah di negara tembok besar itu.

MIG bekerjasama dengan produksi dari Beijing, Shen Lan International Film dan ini merupakan projek usaha sama pertama daripada kedua-dua pihak. – KopiPlanet.com

ICSYVMY: Program TV Artis Teka Siapa Penyamar & Penyanyi Sebenar

Lain daripada kebiasaan program realiti nyanyian di Malaysia, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) berkonsepkan rancangan di mana artis jemputan perlu meneka dengan betul siapa di antara peserta yang terlibat merupakan penyamar ataupun penyanyi sebenar.

Diadaptasi dari program realiti popular Korea Selatan, ICSYVMY mengikut 100 peratus format asal dari negara asalnya.

Menggandingkan dua hos, Shuk Sahar dan Alvin Chong, ia dilihat dapat menarik perhatian penonton dalam memberikan kandungan program televisyen yang berbeza buat peminat tempatan.

Menurut Pengurus Besar Pengurusan Jenama, Intergrasi Digital dan Perolehan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Zurina Othman, ICSYVMY sebelum ini telah dibuat dalam versi bahasa Mandarin yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Rancangan ICSYVMY ini bukan sahaja berkonsepkan hiburan, ia juga merupakan tempat untuk mereka yang tidak boleh menyanyi dan bersuara sumbang untuk memenangi sesuatu. Kerana sambutan hangat dalam versi bahasa Mandarin yang kini sudah memasuki musim kedua di 8TV, kami yakin versi bahasa Malaysia ini akan mendapat sambutan khalayak ramai,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Zurina ditemui pada majlis pelancaran ICSYVMY di The Starling Mall, Damansara baru-baru ini.

Selain Shuk dan Alvin, rancangan ini akan dimeriahkan dengan kemunculan penyiasat tetap iaitu Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul.

Bagi setiap episod, seorang artis jemputan dan dua orang penyiasat jemputan akan diundang untuk memeriahkan lagi suasana di set ISCYVMY.

Ia menjadi tugaas para penyiasat untuk membantu artis jemputan mendedahkan penyanyi misteri yang mereka rasa adalah penyamar bersuara sumbang.

Setiap penyanyi misteri yang disingkir akan ke pentas penentuan di mana mereka akan mendedahkan suara sebenar masing-masing. Jika penyanyi misteri terakhir merupakan penyanyi sebenar, mereka akan menyertai Showcase ICSYVMY. Namun sebaliknya jika penyanyi terakhir merupakan penyamar, dia akan membawa pulang RM3,000.

ICSYVMY akan ditayangkan pada setiap Sabtu mulai 4 Ogos ini, jam 8.30 malam di saluran ntv7.

Antara barisan artis yang mewarnai ICSYVMY ialah seperti Cakra Khan, Pasha Ungu, Virgoun, Wany Hasrita, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Faizal Tahir, Ziana Zain, Hazama, Black dan kumpulan De Fam. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Xtra