• FOLLOW US

Sibuk Dengan Kerjaya, Mamat Sepah Tangguhkan Perkahwinan

Pelawak Mamat Sepah menyatakan dia terpaksa menangguhkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga kerana terlalu sibuk dengan kerjayanya ketika ini.

Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Noor Murad berkata, ketika ini terdapat beberapa projek yang sedang diusahakan di bawah syarikat pengurusan acara miliknya iaitu Mamat Sepah Entertainment.

“Kalau ikut perancangan saya akan berkahwin pada bulan Mac, kemudian tangguh pula ke bulan April. Namun, sekarang terpaksa tangguh lagi kerana mahu fokus kepada pembikinan filem Remp-It 2.

“Namun begitu, seboleh-bolehnya saya mahu mendirikan rumah tangga pada tahun ini. Malah, tunang saya dan keluarganya juga amat memahami keadaan saya,” ujarnya yang mengakui sudah bertunang dengan seorang pegawai polis yang berasal dari Sabah pada tahun lalu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kerjaya seninya pula, Mamat mengakui minatnya terhadap bidang lakonan kini semakin pudar.

Jelasnya, dia sememangnya banyak menolak tawaran lakonan yang diberikan kerana lebih berminat dengan bidang perniagaan pengurusan acara seperti yang diusahakannya sekarang.

“Saya terbabit dengan filem Remp-It ini pun sebab ajakan daripada Zul Huzaimy sendiri memandangkan saya juga merupakan Presiden Spark Malaysian Club Johor.

“Jadi, saya rasa ia merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan, apatah lagi berlakon di bawah arahan Zul. Lagipun dulu saya memang seorang mat rempit ketika belum bergelar artis,” ujarnya. – KopiPlanet.com