• FOLLOW US

Selepas Enam Tahun, Puteri Sarah Kini Kembali Ke Dunia Lakonan

Setelah mendirikan rumah tangga bersama pengarah terkenal, Syamsul Yusof pada tahun 2014, pelakon Puteri Sarah Liyana dilihat lebih memberi fokus kepada rumah tangganya.

Bagaimanapun, kini setelah enam tahun menyepi Puteri Sarah menyatakan dia kini sudah kembali terjun ke bidang lakonan semula.

“Sejak bulan Oktober lalu saya dah mula tampil di layar kaca dengan menjadi pengacara. Kemudian saya berlakon untuk sebuah telemovie dan bergandingan dengan Raja Afiq.

“Sebenarnya saya kembali berlakon memandangkan itu adalah jiwa saya. Lagipun saya ni jenis yang workholic dan rasanya sudah tiba masa untuk berlakon semula,” ujarnya.

Puteri Sarah berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran produk Shara Skincare Il Dolce Face Serum yang berlangsung semalam.

Menurut pelakon yang sudah mempunyai dua orang cahaya mata itu lagi, suaminya juga telah memberikan keizinan untuk berlakon dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan.

“Bila saya tanya Syamsul, dia kata boleh tetapi hanya telemovie sahaja sebab tempoh penggambarannya pendek. Kalau episod memang terpaksa tolak kerana akan ambil masa yang lama. Selain itu, saya juga perlu menjaga batasan dan tidak boleh terbabit dengan sebarang babak bersentuhan.

“Sebenarnya saya pernah mendapat tawaran drama untuk 26 episod, namun ia ambil masa sehingga dua bulan. Jadi, saya terpaksa tolak tawaran berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menceritakan tentang produk terbarunya itu, Puteri Sarah menyatakan Il Dolce Face Serum merupakan sebuah lagi produk kosmetik di bawah jenama Shara Skincare.

Sebelum ini, Shara Skincare telah mengeluarkan beberapa produk rangkaian kosmetik seperti Lipmatte, All-in-One Blusher Stick, Magic Gloss, Mascara dan Make Up Remover. – KopiPlanet.com

Penerbit, Pengarah Munafik 2 Puas Hati Dengan Hukuman Kepada Pesalah

Penerbit filem pecah panggung Munafik 2, Datuk Yusof Haslam berpuas hati dan berharap keputusan mahkamah yang mengarahkan pesalah untuk membayar RM100,000 kepada syarikat produksi miliknya, Skop Productions menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Hakim Mahkamah Majistret Taiping Asmadi Hussin hari ini mengarahkan Muhammad Izwan Shah Kamal Shah untuk membayar amaun tersebut kepada Skop Productions di atas kesalahannya menyebarkan secara haram filem Munafik 2 di laman Instagram dan Facebook miliknya yang menggunakan nama Sasuke Kun.

“Saya berharap dengan perintah yang dikeluarkan mahkamah ini dapat memberi pengajaran kepada semua pihak agar tidak main-main dengan perkara seperti ini.

“Menyebarkan hak cipta dan karya filem orang di laman sosial adalah satu kesalahan besar dan pihak saya hanya mengikut saluran undang-undang yang betul bagi membanteras perkara ini,” kata Yusof ketika dihubungi KopiPlanet.com sebentar tadi.

Sementara itu, pengarah Munafik 2, Syamsul Yusof ketika dihubungi berkata, dia berharap pihak kerajaan akan lebih mengetatkan undang-undang berhubung penyebaran filem secara haram di media sosial, termasuk juga cetak rompak yang masih lagi berleluasa sehingga kini.

“Saya harap selepas ini kerajaan akan meminda dan memperketatkan undang-undang berhubung perkara ini. Kalau boleh bukan sahaja didenda, tetapi juga dipenjarakan agar ia dapat memberi pengajaran dan kesedaran kepada semua orang di luar sana.

“Saya ambil tindakan ini bukan hanya untuk filem saya sahaja sebaliknya sebelum ini ramai juga pengarah dan penerbit yang pernah bercerita kepada saya mengenai filem mereka turut disebarkan di media sosial. Jadi, saya harap langkah ini membuka satu jalan agar kesalahan seperti ini tidak lagi dipandang ringan,” katanya.

Menurut Syamsul, sebelum mengambil tindakan menyaman Muhammad Izwan, pihaknya terlebih dahulu sudah memberi amaran namun lelaki tersebut langsung tidak mengendahkannya.

“Saya sebenarnya sudah berjumpa dengan Muhammad Izwan dan dia sudah pun memohon maaf ketika kami bertemu di mahkamah dan saya memaafkannya. Saya bila orang minta maaf, saya akan maafkan. Namun perkara ini saya buat ikut undang-undang sebab bila sudah bagi amaran sebelum ini dia tidak endahkan sehingga memaksa kami membawa perkara ini ke muka pengadilan.

“Saya harap dengan keputusan mahkamah ini dapat membuka mata orang ramai bahawa menyebarkan filem di mana-mana platform laman sosial adalah satu kesalahan besar dan berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang,” katanya. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Thehitmannazri

Tindakan Undang-Undang Terhadap Individu Sebar Munafik 2 Di Internet

Penerbit filem Munafik 2, Skop Productions Sdn. Bhd. bertindak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan rakaman penuh filem Munafik 2 di internet.

Datuk Yusof Haslam berkata, individu yang dikenali sebagai Muhammad Izwan Shah Kamal Shah atau Sasuke Kun itu ternyata bongkak, meskipun sudah diminta untuk membuang video filem itu.

“Pihak kami ada 10 orang pemantau di sosial media. Kalau diikutkan memang ada beberapa individu lain yang kami boleh ambil tindakan, tetapi mereka telah memadamkannya apabila diminta berbuat demikian.

“Bagaimanapun, individu yang seorang ini ternyata degil dan tidak mengendahkannya. Jadi, kami mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa sidang akhbar Skop Productions Ambil Tindakan Drastik Pelanggaran Hak Cipta Digital Munafik 2 yang berlangsung di Finas petang tadi.

Sehubungan itu, Yusof menyatakan bahawa pihaknya telah mendapatkan perintah injuksi secara ex-parte di Mahkamah Tinggi Taiping pada 9 Oktober lalu.

Sementara itu, pengarah Munafik 2, Syamsul Yusof yang turut berada di sidang akhbar berkenaan berkata, sebelum ini dia sudah menggunakan budi bicara terhadap individu tersebut.

“Jadi, kami telah ambil keputusan untuk membawa lelaki berkenaan ke muka pengadilan. Tindakan ini dibuat bukan untuk filem saya sahaja, tetapi demi kemajuan industri perfileman tanah air.

“Selain itu, saya harap agar pihak berwajib harus memandang dengan lebih serius mengenai isu ini. Malah, saya nak tengok sejauh mana undang-undang kita kenakan hukuman kepada pesalah,” jelasnya.

Jika terbukti bersalah, individu berkenaan boleh dituduh di bawah kesalahan Seksyen 41 (1) Akta Hak Cipta 1987 dan hukuman maksimum bagi kesalahan tersebut ialah denda tidak melebihi daripada RM20,000 atau penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali. – KopiPlanet.com

Amaran Keras Syamsul Yusof Muat Naik Munafik 2 Secara Haram

Pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak yang memuat naik atau berkongsi filem Munafik 2 yang masih ditayangkan di internet secara haram.

Menerusi laman Instagramnya, Syamsul mengingatkan dia akan mengambil tindakan tegas dengan menghantar surat peguam kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

“Hati-hati kalau nak upload/share filem MUNAFIK 2 yang masih lagi tayang di pawagam. Takut nanti surat lawyer sampai depan rumah.

“Bukan susah nak trace IP address orang yang upload tu. Siap boleh dapat nombor ic (kad pengenalan) sekali dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia,” ujarnya yang kini sedang bercuti di London.

Sebelum ini, ada pihak tidak bertanggungjawab yang telah memuat naik rakaman filem berkenaan yang dirakam tanpa kebenaran di dalam pawagam.

Menurutnya, masih ada segelintir daripada mereka yang tidak mengendahkannya setelah diberi amaran. Malah, bertindak menyekat dirinya.

Tegasnya, ada yang tidak faham apa yang dilakukan itu adalah kesalahan yang besar di sisi undang-undang Malaysia dan boleh didakwa di bawah Akta Hak Cipta 1987 dengan denda RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Kadang-kadang lepas bagi amaran, mereka terus block saya, tapi mereka tak tahu team saya lagi 20 orang boleh tengok FB/YouTube channel mereka.

“Sila pada video MUNAFIK 2 sebelum IP address anda dikunci. Dengan ini amaran telah diberikan pada anda bertarikh 19 September 2018. Amaran ini akan digunapakai di Mahkamah Persekutuan sebagai bukti kukuh jika gagal dipatuhi,” ujarnya. – KopiPlanet

Rekod Baharu: Munafik 2 Filem Pertama Raih Kutipan RM40 juta

Filem terbitan Skop Productions dan President Productions, Munafik 2 terus mencipta rekod tersendiri apabila menjadi filem tempatan pertama meraih kutipan RM40 juta.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Syamsul menerusi Insta Story miliknya hari ini sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia.

Sehingga semalam, filem arahan Syamsul Yusof itu telah meraih kutipan sebanyak RM40 juta dalam tempoh 17 hari, malah masih lagi hangat ditayangkan di pawagam.

Sebelum ini, filem berkenaan turut mencipta rekod kutipan awal (sneak preview) paling tinggi iaitu sebanyak RM2.05 juta.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular lain seperti Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Mawi, Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Untuk rekod, filem Munafik pertama yang ditayangkan di pawagam pada tahun 2016 telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta.

Filem Munafik 2 akan turut ditayangkan di pawagam di Indonesia pada 26 September ini. – KopiPlanet.com

Munafik 2 Terus Menggegar, Catat Kutipan RM5.65 juta

Filem terbitan Skop Productions dan President Productions, Munafik 2 semakin menggegarkan industri perfileman tempatan apabila mencatat kutipan sebanyak RM5.65 juta.

Untuk kutipan semalam sahaja, filem arahan Syamsul Yusof itu mendapat kutipan RM3.6 juta bagi hari pertama tayangan secara umum, manakala RM2.05 juta diraih pada tayangan awal (sneak preview) pada Rabu lalu.

Ia sekali gus memadam rekod filem Hantu Kak Limah yang meraih kutipan sebanyak RM1.8 juta.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Dijangkakan, kutipan filem berkenaan akan meningkat lagi pada hari ini memandangkan cuti umum sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Untuk rekod, filem Munafik pertama yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta. – KopiPlanet.com

Syamsul Yusof Tak Tertekan Kutipan Tinggi Hantu Kak Limah

Pengarah filem seram dakwah Munafik 2, Syamsul Yusof menyatakan dia tidak berasa tertekan dengan kutipan tinggi yang diraih filem Hantu Kak Limah yang ditayangkan baru-baru ini.

Mengulas mengenai adakah dia merasa tercabar untuk melawan angka tersebut menerusi filem terbaharunya, Syamsul berkata, “Saya buat filem bukan untuk berlawan dengan sesiapa. Sebaliknya untuk memberikan mesej-mesej pengajaran yang ada dalam naskhah filem ini.”

“Mengenai kutipan Hantu Kak Limah, saya memang dah agak satu hari nanti pasti akan ada filem Melayu yang akan boleh cecah kutipan lebih RM30 juta dan ia terbukti dengan Hantu Kak Limah. Sebabnya saya buat perkiraan masa tayangan Munafik dulu ia ditayangkan serentak dengan satu filem kanak-kanak Boboiboy The Movie.

“Munafik berjaya dapat RM17 juta dan Boboiboy sebanyak RM15 juta. Bila dicampurkan lebih RM30 juta, sebab itu saya percaya akan ada filem tempatan yang boleh sampai ke tahap itu di masa akan datang. Ini satu perkembangan yang sihat dan harap peminat terus menyokong filem karya tempatan,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Syamsul ditemui pada malam gala filem Munafik 2 yang diadakan di MM2 Cineplexes, Damansara semalam.

Filem yang dibintangi Syamsul, Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali, Fauzi Nawawi, Datuk Fizz Fairuz dan aktres Indoensia, Weni Pancha itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 30 Ogos ini.

Filem ini juga bakal ditayangkan di beberapa negara lain seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Kemboja dan Vietnam. – KopiPlanet.com

Sejak memasuki pawagam bermula 9 Ogos lalu, filem seram komedi arahan Mamat Khalid itu telah berjaya memecah rekod sejarah perfileman negara bergelar filem paling pecah panggung selepas mencatatkan kutipan sebanyak RM32.5 juta dalam masa hanya 18 hari tayangan.

Kredit foto: Instagram Syamsul Yusof

Munafik 2 Bakal Tayang Di Beberapa Buah Negara Asia Tenggara

Filem terbaharu terbitan Skop Production Sdn. Bhd., Munafik 2 bakal ditayangkan di beberapa buah negara di Asia Tenggara iaitu Thailand, Cambodia dan Vietnam.

Pengarahnya, Syamsul Yusof menerusi satu posting di Instagramnya berkata, buat masa ini filem tersebut dalam proses mendapatkan tarikh tayangan.

“Showing this 29 August for Malaysia, Singapore & Brunei! (Dipercepatkan/sneak preview). Bioskop Indonesia pula pada 26 September ini.

“Munafik 2 juga sedang dalam proses mendapatkan tarikh tayangan di Thailand, Cambodia dan Vietnam,” ujarnya yang turut bertindak sebagai pelakon utama.

Selain Syamsul, filem yang Munafik yang pernah mencatat kutipan sebanyak RM17 juta itu turut dibintangi oleh Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Mawi dan Nasir Bilal Khan.

Menurutnya, tiket-tiket untuk menonton filem berkenaan juga sudah mula dijual secara dalam talian di pawagam seperti GSC Cinema dan TGV Cinema.

Dalam pada itu, Syamsul turut memberitahu bahawa lagu OST untuk filem Munafik 2 berjudul Menangislah menerusi gandingannya bersama Mawi akan dimuatnaik tidak lama lagi. – KopiPlanet.com

Fizz Fairuz Akui Pernah Berbeza Pandangan Dengan Syamsul Yusof

Menyifatkan dirinya seorang yang senang bekerja dengan semua pengarah, namun pengalamannya bekerja di bawah pengarahan Syamsul Yusof ternyata meninggalkan seribu satu kenangan buat pelakon Datuk Fizz Fairuz.

Menurut Fizz, beliau senang bekerja dengan Syamsul yang pernah meraih anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-57 tahun lalu.

“Saya percaya dengan kerja Syamsul dan dia merupakan seorang pengarah yang tidak akan buat kerja sambil lewa. Dekat set pun sama, selagi dia tidak berpuas hati dengan lakonan kita, dia akan minta lagi.

“Pada mulanya, memang sedikit sukar nak ikut rentak kerja dia tapi saya percaya dengan dia sebab hasil kerjanya memang tidak pernah menghampakan,” katanya.

Selepas Munafik, Fizz kini kembali dengan watak Ustaz Azman menerusi filem sequel yang ditunggu-tunggu ramai, Munafik 2 yang akan memulakan tayangannya pada 30 Ogos ini.

Walaupun senang bekerja dengan Syamsul, namun Fizz tidak menafikan beliau pernah berbeza pandangan dengan pengarah itu demi mendapatkan hasil lakonan yang terbaik.

“Tidak dinafika kami ada juga mempunyai perbezaan pandangan ketika di set. Namun ia bukan bermakna kami bergaduh, sebaliknya semua ada ego masing-masing. Apabila dalam set, ada yang Syamsul minta bercanggah dengan apa yang saya rasa sesuai dengan watak itu, tetapi selepas mendengar penerangan akhirnya perkara itu selesai.

“Tiada bergaduh apa pun cuma biasalah dalam keadaan tertekan nak berikan yang terbaik, perkara-perkara seperti percanggahan pendapat itu memang tidak dapat dielakkan,” katanya lagi.

Menerusi Munafik 2, watak Fizz sebagai Ustaz Azman, sahabat kepada Ustaz Adam lakonan Syamsul semakin berkembang sebanyak 30 peratus daripada versi pertama.

“Jika Munafik yang pertama, watak Ustaz Azman hanya mendapat 50 peratus peranan, tetapi menerusi Munafik 2, watak Ustaz Azman berkembang sehingga 80 peratus. Munafik 2 lebih berat jalan ceritanya, yang mana ia memaparkan tentang isu syiah berbanding Munafik yang menampilkan penceritaan lebih kepada kekeluargaan.

“Saya berani jamin anda akan rugi sekiranya tidak menonton Munafik 2 sebab jalan ceritanya memang sangat berbeza. Selain itu, kekuatan filem ini juga terletak kepada watak baharu yang dilakonkan Nasir Bilal Khan,” ujarnya lagi.

Sebagai pelakon bagi kedua-dua filem francais terbitan Skop Productions itu, Fizz berharap jenama Munafik akan diteruskan sehingga ke filem ke-10 seperti mana mengikut filem antarabangsa, Fast & Furious.

“Saya harap Munafik boleh jadi sehebat filem Fast & Furious yang ada dari edisi satu hingga 10. Kenapa orang luar boleh buat, tetapi kita tak boleh buat. Jadikan semangat agar impian ini boleh kenyataan di masa akan datang,” katanya.

Munafik 2 yang menjalani penggambaran di sekitar Cherating, Pahang dan Kuala Lumpur mengisahkan tentang perjuangan Ustaz Adam yang berhadapan dengan ajaran sesat yang diketuai oleh Abu Jar dan usahanya menyelamatkan seorang ibu tunggal dari kejahatan Abu Jar.

Selain Fizz dan Syamsul, Munafik 2 dibintangi Nasir Bilal Khan, Maya Karin, Datuk Rahim Razali, Fauzi Nawawi, Mawi dan pelakon Indonesia, Weni Panca. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Fizz Fairuz

Puteri Sarah, Syamsul Yusof Bakal Timang Cahaya Mata Kedua

Hasrat pasangan selebriti Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof untuk menimang cahaya mata kedua termakbul apabila aktres itu mengesahkan dia kini sedang hamil lima minggu.

Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 33, berkata dia sudah lama menyimpan hasrat untuk menimang cahaya mata lagi sebaik sahaja anak sulungnya, Syaikhul Islam berusia 11 bulan.

“Alhamdulillah, saya disahkan hamil dan usia kandungan baharu sahaja mencecah lima minggu.

“Saya sangat gembira kerana memang sudah merancang nak cahaya mata lagi sejak anak sulung berusia 11 bulan lagi,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Puteri Sarah ditemui pada majlis pelancaran jamu Mutyara di WowKL, Kuala Lumpur semalam.

Menurut pelakon ini dia bersyukur kerana tidak mengalami alahan yang teruk, sama seperti kehamilan pertamanya dahulu.

“Sekarang belum lagi muntah-muntah atau mengalami alahan, mungkin masih awal. Sama macam saya mengandungkan Syaikhul dulu, dalam sebulan sahaja saya alami alahan, lepas itu dah okay balik.

“Doktor pesan saya tidak melakukan kerja-kerja berat termasuk tidak membenarkan saya mendukung anak. Namun saya tetap dukung Syaikhul secara curi-curi,” katanya lagi.

Pasangan ini berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan mereka memiliki seorang anak lelaki, Syaikhul Islam yang kini berusia 15 bulan. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Puteri Sarah Liyana