• FOLLOW US

Upin & Ipin Kutip RM25 Juta, Kalahkan Filem Animasi Antarabangsa

Filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal berjaya meraih kutipan pecah panggung (box office) RM25 juta hanya dalam tiga minggu masa tayangan dengan seramai 2 juta penonton sejak ia mula ditayangkan pada 21 Mac lalu.

Menurut Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi, kutipan itu telah mencatatkan filem terbitan syarikatnya itu sebagai filem yang meraih rekod kutipan tertinggi sepanjang zaman bagi kategori filem animasi.

“Kejayaan ini adalah hasil dari penulisan cerita yang luar biasa dalam mengaitkan watak Upin & Ipin dengan watak-watak hikayat dongeng melayu lama seperti Mat Jenin, Raja Bersiong, Nakhoda Ragam dan banyak lagi.

“Selain itu, lagu tema dan animasi yang cantik mendapat pujian netizen yang meletakkannya setanding dengan filem animasi antarabangsa.

“Ada pawagam yang sampai 33 tayangan diadakan pada satu-satu hari dan ia satu pencapaian yang membanggakan untuk filem tempatan.

“Kami banyak dapat komen-komen positif dan mungkin kami akan bukukan komen-komen positif ini di masa depan,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman kutipan box-office yang berlangsung di Hotel Aloft, Kuala Lumpur hari ini.

Kejayaan luar biasa Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal turut mengalahkan rekod filem animasi antarabangsa The Incredibles 2 yang sebelum ini memegang rekod filem animasi paling laris di Malaysia.

Pengarah Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bersama maskot Upin & Ipin.

Filem arahan Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim ini turut akan ditayangkan di Vietnam pada 26 April dan di Indonesia bermula 9 Mei ini.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal juga berkemungkinan besar akan ditayangkan di negara India, China dan Uzbekistan. – KopiPlanet com