• FOLLOW US

Zul Ariffin Tidak Berkira Promosi Naskhah Lakonannya Di Media Sosial

Pelakon Zul Ariffin, 33, berkata dia tidak pernah meletakkan sebarang harga sekiranya pihak produksi mahukan dirinya mempromosikan filem dan drama lakonannya di media sosial.

Menurut Zul, dia merasakan perkara itu perlu dilakukan bagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelakon serta menarik peminat untuk menonton nashkah yang dilakonnya.

“Saya tidak pernah berkira sekiranya pihak produksi atau stesen televisyen minta promosikan drama atau filem lakonan saya di media sosial sendiri. Saya beranggapan ia tanggungjawab sebagai pelakon utama dalam drama atau filem itu bagi menarik minta penonton.

“Bagi saya bila kita bertolak ansur, syarikat produksi dan stesen tv pun seronok nak panggil kita lagi. Saya memang tidak ada masalah untuk minta tolong promosi. Lagipun sekarang dah ada platform media sosial yang memudahkan kita untuk promosikan naskhah lakonan kita. Bila drama dan filem dapat perhatian, kita juga yang rasa puas hati,” kata Zul

Pelakon berkenaan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Sangkar di Battle Arena, Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya, semalam.

Sebelum ini, aktres Sharifah Sakinah pernah menimbulkan isu mengenai kekecewaannya terhadap pihak produksi dan stesen tv yang meminta pelakon untuk mempromosikan drama atau filem lakonan mereka di media sosial secara percuma.

Sementara itu, Zul turut berkongsi perasaan terujanya untuk menantikan respon peminat terhadap filem terbaharu lakonannya, Sangkar yang bakal ditayangkan bermula 29 Ogos ini.

Ujar pelakon berkenaan, menerusi filem arahan Kabir Bhatia itu, dia diberi tanggungjawab menjayakan watak Adam, seorang peninju MMA.

“Saya cukup teruja filem ini akhirnya dapat direalisasikan. Jarang-jarang filem Malaysia ketengahkan aksi sukan ‘martial art’ sebagai subjek utama filem. Sepanjang buat penggambaran filem ini memang rasa enjoy, walaupun ada mengalami sedikit kecederaan. Biasalah buat filem aksi, kecederaan itu sedikit sebanyak tidak boleh dielakkan.

“Filem ini pun sangat seimbang daripada jalan ceritanya, ada babak aksi dan drama yang menguatkan lagi Sangkar. Tiada istilah saya ‘overshadow’ Remy atau sebaliknya sebab setiap karakter itu ada kekuatannya yang tersendiri,” ujarnya.

Selain Zul, Sangkar turut dibintangi beberapa artis popular lain seperti Remy Ishak, Mira Filzah, Niezam Zaidi, Fadzlan Hazim, Ray Era dan Nik Adam Mika.

Sangkar merupakan filem terbitan bersama empat produksi iaitu Primeworks Studios, Igfinitus Gold, Astro Shaw dan MM2 Entertainment. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Zul Ariffin

Penerbit Filem Sangkar Sahkan Sudah Beli Hakcipta Muzik Teaser Trailer Sangkar

Menerusi kenyataan balas dari komen di laman media sosial Suka Filem, penerbit filem Sangkar, Astro Shaw, Primeworks Studios, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment menegaskan pihaknya sudah membeli hakcipta bagi runut bunyi teaser filem Sangkar.

“Terima kasih atas perhatian. Untuk makluman pihak kami telah mendapat kebenaran dan membeli hakcipta runut bunyi berkenaan untuk special teaser Sangkar.

“Segala bentuk rangka promosi untuk menggunakan runut bunyi ini telah mendapat kebenaran sepenuhnya. Diharapkan penjelasan ini dapat menjawab segala kekeliruan,” ujar satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan.

Sebelum ini, terdapat dakwaan seorang vlogger yang mengatakan muzik untuk teaser trailer filem berkenaan meniru sebuah filem Hollywood iaitu Robin Hood.

Susulan dakwaan tersebut, terdapat segelintir pihak yang dikatakan mahu memboikot filem berkenaan apabila ditayangkan di pawagam.

Sangkar merupakan sebuah filem aksi lakonan Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah yang akan tayang pada 29 Ogos ini. – KopiPlanet.com

Gambar Mesra Sudah Cukup Jelaskan Hubungan Zul Dengan Wanita Ukraine

Pelakon Zul Ariffin akhirnya tampil bersuara mengenai desas-desus yang mendakwa dia kini sedang bercinta dengan gadis yang berasal dari Ukraine dikenali sebagai Tanya Glembotska.

Tidak mengia atau menafikan, Zul berkata segala gambar dan video mesranya bersama wanita itu sudah cukup jelas menggambarkan status sebenar hubungan mereka.

“Saya tak nak mengia atau menafikan sebab semua orang boleh buat andaian masing-masing. Ia dah cukup jelas dengan semua gambar dan video (yang tersebar di media sosial).

“Kalau nak nyatakan adakah saya bercinta dengan dia, saya rasa orang kat luar pun boleh fikirlah, tak perlu rasanya saya buat kenyataan rasmi mengenai perkara itu,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Antara gambar mesra Zul dengan Tanya yang dikongsikan oleh wanita tersebut di laman sosialnya.

Zul ditemui pada malam pratonton filem Misteri Dilaila yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara semalam.

Nama Zul sebelum ini menjadi perbualan hangat di forum hiburan gara-gara teman istimewanya itu memuat naik pelbagai gambar memaparkan aksi mesra di antara mereka ketika sedang bercuti di luar negara beberapa bulan lalu.

Ketika ditanya mengenai kecaman yang diterimanya susulan tersebarnya foto-foto tersebut, Zul menjelaskan bahawa ia adalah perkara yang normal sekiranya mereka bercinta sekali pun.”

“Saya tak kisah kalau netizen nak ambil tahu (kisah cinta). Mereka ambil tahu, tetapi dalam masa yang sama nak menjahanam dan pergi mengutuk saya.

“Mereka buat macam itu ada dapat apa-apa keuntungan ke? Tidak kan… Walaupun dikecam saya tetap jalani hari-hari seperti biasa, masih sarapan minum kopi makan nasi goreng dalam suasana tenang. Ia (kecaman netizen) tidak jejaskan fokus saya dalam kerjaya.

“Saya boleh terima kecaman sebab dah lali. Mak cik bawang Malaysia memang dahsyat, kalau tak tahan memang boleh tercabut telinga dengar kecaman mereka.

“Saya kadang-kadang tahu dan ada kalanya tak tahu kalau dia (Tanya) ada muat naik gambar (berdua) di media sosial. Gatal sangat siapa suruh (muat naik), sekarang kau rasalah kena kecam,” jelas aktor itu sambil berseloroh.

Bercerita lebih lanjut tentang tatu nama Zul yang dicacah oleh teman istimewanya itu serta panggilan suami di kapsyen gambar wanita tersebut, Zul berkata itu adalah hak gadis berkenaan untuk melakukan apa sahaja yang diinginkannya.

“Kalau dia nak buat tatu apa pun itu bukan hal saya. Itu kebebasan setiap individu. Saya cuma pesan dekat dia yang saya pelakon di Malaysia dan benda-benda macam ini agak sukar diterima orang di sini.

“Saya cuma cakap jangan buat sesuatu yang boleh bagi kesan buruk kepada kerjaya saya. Mengenai panggilan suami itu, bagi saya ia biasa sahaja seperti pasangan lain yang panggil orang tersayang mereka dengan panggilan seperti sayang atau bie,” kata Zul.

Menginjak usia ke 33 pada tahun ini, Zul berkata dia sudah lama bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya sebenarnya dah sedia untuk ke fasa seterusnya, sejak dulu lagi tapi apa yang kita rancangkan tak semestinya menjadi.

“Apa yang boleh saya janjikan, kalau saya nak berkahwin nanti saya tidak akan buat sorok-sorok dan maklumkan pada semua. Bagi saya cukuplah majlis itu berlangsung dalam suasana serba sederhana tapi cukup meriah,” ujar Zul lagi.

Sebelum dikaitkan dengan Tanya, Zul terlebih dahulu menyulam cinta dengan pelakon Zahirah MacWilson namun hubungan mereka sudah pun terlerai pada Mac tahun lalu. – KopiPlanet.com

Zul Ariffin Akui Hanya Sekadar Berkawan Dengan Gadis Ukraine

Pelakon Zul Ariffin menegaskan dia hanya berkawan dengan gadis kelahiran Ukraine yang kini dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan dirinya.

Menurut Zul, dia mengenali wanita tersebut ketika sama-sama menjalani latihan seni mempertahankan diri di Phuket, Thailand baru-baru ini.

“Saya ke Phuket untuk menjalani latihan dan dari situ saya mengenali dia yang turut menjalani latihan di lokasi sama. Saya layan dia seperti mana saya layan kawan-kawan yang lain. Jadi, tidak mahu memberikan sebarang komen lanjut mengenai perkara ini.

“Kalau saya beri komen orang tetap akan bash saya. Kini, saya ambil pendekatan akan biarkan orang di luar sana nak buat andaian, saya memang tidak mahu komen. Biar masa yang menentukan,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Zul berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem Hantu Kak Limah di MM2 Cineplexes, Damansara semalam.

Nama Zul, 32, kembali menjadi hangat apabila sebuah forum hiburan memuat naik gambar seorang wanita seksi dari Ukraine dipercayai adalah kekasih kepada aktor tersebut.

Menerusi satu gambar juga didapati di jari wanita itu yang dikenali dengan nama Tanya Glembotska ada tertulis abjad nama Zul.

Mengulas mengenai perkara itu, Zul berkata itu bukanlah tatu seperti yang disangka ramai, sebaliknya itu adalah inai yang hanya dipakai secara suka-suka oleh kenalannya itu.

Terdahalu, Zul pernah dikaitkan bercinta dengan produser Gayatri Su-Lin Pillai dan pelakon Zahirah Macwilson. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Zul Ariffin

Jodoh Dengan Zul Ariffin, Gayatri Hanya Serah Pada Tuhan

Produser terkenal, Gayatri Su-Lin Pillai tidak memberikan jawapan yang jelas tentang status hubungannya dengan aktor Zul Arifin, namun tidak menolak sekiranya ditemukan jodoh dengan pelakon tersebut.

Menurut Gaya, sehingga kini mereka masih lagi bersahabat baik walaupun mempunyai sejarah pernah putus cinta dengan aktor berbadan sasa itu.

“Zul dengan saya sehingga kini masih lagi bersahabat baik. Saya selesa berkawan dengannya dan saya seorang yang sangat memahami diri Zul.

“Jodoh di tangan Tuhan… Zul pernah kata saya seorang yang sangat matang, tetapi saya rasa dia yang lagi matang daripada saya.

“Biarpun ada dakwaan yang mengatakan kami kembali bercinta, saya tak nak komen benda itu sebab kalau saya nafikan pun nanti orang tetap nak percaya yang kami sudah kembali bercinta. Saya biarkan apa sahaja andaian yang orang fikir tentang hubungan kami,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Gaya ditemui pada majlis pelancaran filem Hantu Kak Limah di Wow KL, Kuala Lumpur hari ini. Hantu Kak Limah yang dibintangi Datuk Awie, Delimawati, Uqasha Senrose dan Zul Ariffin bakal ditayangkan pada 9 Ogos ini.

Sementara itu, Gaya turut berkongsi cerita yang dia sempat beraya dengan Zul dan ahli keluarga aktor itu pada sambutan Syawal kali ini.

“Saya memang rapat dengan ahli keluarga Zul dan tahun ini Zul tidak balik beraya di Taiping, sebaliknya menyambutnya di kediaman kakaknya di ibu kota,” katanya. – KopiPlanet

Lepas Tombiruo, Zul Ariffin Tayang Badan Dalam Sangkar

Pelakon Zul Ariffin sekali lagi perlu menayangkan tubuh badannya menerusi filem terbaharu lakonannya, Sangkar yang diarahkan oleh Kabir Bhatia.

Menurut Zul, dia bukan sengaja mahu mendedahkan badan sebaliknya tuntutan watak sebagai peninju MMA memerlukannya untuk tampil dengan imej tersebut.

“Boleh kata dalam filem Sangkar ini, imej saya separuh bogel kerana perlu tampil sebagai peninju MMA. Untuk watak ini juga saya perlu menyimpan jambang.

“Kalau ikutkan saya suka clean shaved, rimas berjambang-jambang ini,” katanya secara berseloroh kepada KopiPlanet.com.

Zul ditemui ketika majlis anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL2018) berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Menerusi DFKL 2018, Zul berjaya membawa pulang trofi Aktor Pilihan menerusi lakonan dalam Titian Cinta lakonannya bersama Farah Nabilah.

Semakin dikenali membawakan watak-watak bergenre aksi, Zul melihat ini satu peluang yang baik untuk pelakon sepertinya terus mempamerkan bakat kepada umum.

“Sekarang filem bergenre aksi sudah semakin mendapat permintaan sekali gus menyebabkan penerbit semakin berani mencuba genre ini. Alhamdulillah (dengan perkembangan ini) pelakon macam saya ada tempat di industri.

“Kalau ikutkan memang saya buat penjenamaan di mana untuk drama, watak saya lebih kepada cinta dan sebaliknya untuk filem, wajah saya sudah sinonim dengan watak-watak aksi dan lasak,” jelasnya.

Menurut pelakon kacukan Melayu-Belanda ini, setakat ini jadual seninya penuh sehingga ke hujung tahun dan untuk bulan puasa ini dia akan menyambung semula penggambaran filem Sangkar yang dijangka ditayangkan bulan Mei tahun hadapan. – KopiPlanet.com

“Kalau Nak Simpan, Saya Tak Boleh Kata Apa-Apa” – Zul Ariffin

Pelakon popular Zul Ariffin menyatakan dia tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya ada mana-mana individu yang mahu menyimpan gambar alat sulit yang didakwa miliknya.

Ujar Zul, dia tidak kisah sekiranya ada yang mahu berbuat demikian memandangkan gambar alat sulit berkenaan bukanlah gambarnya.

“Sejak kejadian itu berlaku, memang ramai yang bertanya terutama semasa di set penggambaran sama ada itu memang saya punya atau tidak.

“Yang kelakarnya sampai saya nak order makanan drive thru pun yang ambil pesanan tu boleh senyum-senyum. Saya anggap itu semua sebagai suatu perkara yang melucukan,” ujarnya ketika ditemui semasa majlis pertunjukkan fesyen anjuran Primavallet semalam.

Sebelum ini, timbul kekecohan apabila Zul Ariffin dikatakan telah menunjukkan alat sulitnya untuk tontonan umum menerusi Insta Story di akaun Instagram miliknya.

Bagaimanapun, perkara tersebut telah dinafikan oleh pelakon berkenaan dan mendakwa akaun Instagramnya itu telah diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Zul, biarpun kejadian tersebut dilihat sesuatu yang cukup mengaibkan buat dirinya, namun Zul menyatakan dia tidak bercadang untuk membuat laporan polis.

“Saya anggap ini semua sebagai satu pengajaran buat diri saya. Lagipun saya tak tahu kalau kejadian ini merupakan satu perbuatan sabotaj atau sebaliknya.

“Sebelum ini pun dah pernah terjadi akaun Instagram saya tidak boleh buka semasa menjalani penggambaran filem Tombiruo dahulu,” jelasnya.

Jelas Zul, sekarang ini dia memang menukar kata laluan akaun Instagramnya. Malah, kata laluan tersebut turut diketahui oleh tiga orang ahli fan clubnya sebagai back up sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini. – KopiPlanet.com

Hajat Zul Ariffin Bawa Arwah Ibu Tunai Umrah Tidak Kesampaian

Pelakon Zul Ariffin mengakui sedikit terkilan apabila hajatnya untuk membawa arwah ibunya pergi bercuti di Dubai dan mengerjakan umrah tidak kesampaian.

Menurut Zul Ariffin, beberapa hari sebelum arwah ibunya menghembuskan nafas terakhir, dia ada berbincang mengenai perancangan tersebut.

“Kalau ikut perancangan saya akan membawa arwah ibu pergi bercuti dan mengerjakan umrah pada bulan Januari yang lalu dan kami akan pergi berdua.

“Bagaimanapun, hajat dan perancangan tersebut tidak kesampaian apabila arwah ibu pergi terlebih dahulu,” ujarnya ketika ditemui semasa sidang akhbar Anugerah MeleTOP Era 2018 semalam.

Ibu Zul Ariffin iaitu Robiah Nasir meninggal dunia di kediaman kakaknya di Damansara pada 5 Disember 2017 akibat serangan jantung.

Dalam pada itu, pelakon J Revolusi itu memberitahu selepas kehilangan ibu tersayang, dia akui ada kalanya kehidupan dirinya terasa kosong dalam menjalani kehidupan yang dilalui sekarang.

“Sebelum ini saya selalu bawa arwah ibu pergi ke lokasi penggambaran sewaktu berlakon dalam filem Hantu Kak Limah 2.

“Tujuan saya berbuat demikian semata-mata nak buat arwah ibu saya gembira. Selain itu, setiap hari saya akan call arwah ibu untuk update apa yang saya buat,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan kerjaya lakonannya sekarang, Zul Ariffin memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Ti Amo Sweetheart 100 Hari.

Ujarnya, tidak lama lagi dia bakal terbabit dengan sebuah filem psiko thriller arahan Syafiq Yusof bersama Datuk Rosyam Nor dan Elizabeth Tan. – KopiPlanet.com

Ibu Pelakon Zul Ariffin Meninggal Dunia

Takziah diucapkan buat aktor Zul Ariffin yang kehilangan ibunya akibat serangan jantung jam 4 pagi tadi.

Berita kematian ibu Zul, Robiah Nasir diumumkan menerusi laman Instagram kelab peminat Zul, @zulariffinfc.

Kekasih Zul, pelakon Zahirah MacWilson turut memuat naik surah Al-Fatihah menerusi Instagramnya, menyampaikan ucapan takziah di atas pemergian ibu aktor popular tersebut.

Zul sebelum ini sering kali membawa arwah ibu menemaninya ke setiap majlis anugerah serta kerap memuat naik gambar ibu kesayangannya di Instagram sebelum membuat keputusan menyahaktifkan akaun Instagramnya buat sementara waktu. – KopiPlanet.com