
Kerana Keluarga, Ajak Shiro Undur Diri Daripada Mengacara Melodi
Pelawak terkenal Ajak Shiro hari ini mengumumkan dirinya kini tidak lagi mengacarakan Melodi, sekali gus mengundurkan diri daripada rancangan hiburan tersebut.
Menurut Ajak, setelah lebih dua tahun terbabit dengan rancangan berkenaan bersama Janna Nick, dia mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontraknya.
“Kalau ada yang tanya kenapa saya ambil keputusan ini, semuanya kerana keluarga. Buat masa ini saya perlu lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga.
“Lagipun saya kini sudah kembali bergelar penyampai radio bersama Suria FM dan akan bertugas dari Isnin hingga Jumaat. Jadi, hujung minggu akan saya gunakan sepenuhnya masa bersama mereka,” ujarnya.
Ajak berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pengumuman dirinya sebagai penyampai baharu untuk Team Pagi Suria bergandingan bersama Fizi Ali dan Issey.
Dalam pada itu, ketika ditanya apa yang membuatkan dia kembali ke konti radio, Ajak menyatakan tawaran yang diberikan oleh Suria FM agak sukar untuk ditolak.
Ujarnya, hampir setahun berehat daripada bertugas sebagai penyampai radio, dia merasakan kini sudah tiba masanya untuk dia kembali.
“Kalau ikutkan tawaran daripada Suria FM ni dah lama, iaitu sebaik sahaja saya berhenti dengan stesen lama (Hot FM). Namun, saya rasa ketika itu masanya belum lagi sesuai.
“Saya melihat Suria FM ini sebuah stesen radio yang berpotensi besar untuk berkembang. Jadi, saya bersama dua penyampai lagi akan memastikan beberapa pembaharuan untuk menarik lebih ramai pendengar,” ujarnya. – KopiPlanet.com