• FOLLOW US

Roni H. Ridwan

Tindakan Undang-Undang Terhadap Individu Sebar Munafik 2 Di Internet

Penerbit filem Munafik 2, Skop Productions Sdn. Bhd. bertindak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan rakaman penuh filem Munafik 2 di internet.

Datuk Yusof Haslam berkata, individu yang dikenali sebagai Muhammad Izwan Shah Kamal Shah atau Sasuke Kun itu ternyata bongkak, meskipun sudah diminta untuk membuang video filem itu.

“Pihak kami ada 10 orang pemantau di sosial media. Kalau diikutkan memang ada beberapa individu lain yang kami boleh ambil tindakan, tetapi mereka telah memadamkannya apabila diminta berbuat demikian.

“Bagaimanapun, individu yang seorang ini ternyata degil dan tidak mengendahkannya. Jadi, kami mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa sidang akhbar Skop Productions Ambil Tindakan Drastik Pelanggaran Hak Cipta Digital Munafik 2 yang berlangsung di Finas petang tadi.

Sehubungan itu, Yusof menyatakan bahawa pihaknya telah mendapatkan perintah injuksi secara ex-parte di Mahkamah Tinggi Taiping pada 9 Oktober lalu.

Sementara itu, pengarah Munafik 2, Syamsul Yusof yang turut berada di sidang akhbar berkenaan berkata, sebelum ini dia sudah menggunakan budi bicara terhadap individu tersebut.

“Jadi, kami telah ambil keputusan untuk membawa lelaki berkenaan ke muka pengadilan. Tindakan ini dibuat bukan untuk filem saya sahaja, tetapi demi kemajuan industri perfileman tanah air.

“Selain itu, saya harap agar pihak berwajib harus memandang dengan lebih serius mengenai isu ini. Malah, saya nak tengok sejauh mana undang-undang kita kenakan hukuman kepada pesalah,” jelasnya.

Jika terbukti bersalah, individu berkenaan boleh dituduh di bawah kesalahan Seksyen 41 (1) Akta Hak Cipta 1987 dan hukuman maksimum bagi kesalahan tersebut ialah denda tidak melebihi daripada RM20,000 atau penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali. – KopiPlanet.com

One Forteen Anggap Isu Dengan Kontraktor Sudah Selesai

Salah seorang anggota kumpulan Forteen, Muhammad Ridzuan Sharifuddin atau One Forteen menyatakan isu dengan pihak kontraktor yang bertanggungjawab melakukan kerja ubahsuai spa miliknya, Muscleman Spa di Shah Alam sudah selesai.

One berkata, ketika ini pihaknya menyatakan kes berkenaan sudah ditutup, namun laporan polis yang dibuat tidak akan ditarik semula.

“Apa yang lebih penting mereka tidak mengganggu lagi kami dan tidak cuba untuk ambil barang-barang di spa. Kami mahu perkara ini tidak lagi berlarutan.

“Sekarang ini masing-masing dah ambil tindakan untuk berdiam diri. Jadi, saya anggap tiada lagi masalah dan kami pun dah upah kontraktor lain,” jelasnya.

One berkata demikian ketika majlis pelancaran produk kesihatan All N’ 1 yang berlangsung di Shah Alam, semalam. Produk berkenaan hasil keluaran Muscleman Spa.

Pada bulan Julai lalu, One membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 7 Shah Alam setelah kontraktor yang menjalankan kerja ubah suai spa miliknya gagal melakukan tugas sepatutnya.

Dalam pada itu, One menyatakan dia rasa bersyukur kerana perniagaan spa yang diusahakan bersama rakannya, Jaspal Singh Ajaib Singh mendapat sambutan yang menggalakkan setelah setahun.

“Memang banyak cabaran apabila saya menjalankan perniagaan spa lelaki ini, terutaman sekali kecaman-kecaman yang diterima daripada segelintir pihak.

“Namun, semua itu saya abaikan kerana segala cabaran itu harus saya lalui. Lagipun sudah cecah ratusan ribu ringgit yang dilaburkan untuk perniagaan ini,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Selepas 26 Tahun, Sweetchild Kembali Beraksi Di Singapura

Setelah kali terakhir mengadakan showcase di Singapura pada tahun 1996, kumpulan Sweetchild akhirnya berpeluang untuk kembali mengadakan persembahan di negara tersebut.

Vokalisnya, Acong berkata mereka memilih untuk beraksi di Kota Singa sebagai hadiah untuk peminat-peminat yang banyak menyokong kerjaya seni mereka.

“Sebelum ini, semasa kami mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe Melaka, agak mengejutkan kerana 60 peratus pengunjung yang datang menonton aksi kami adalah warga Singapura.

“Malah, showcase ini juga sebagai tanda terima kasih buat peminat di Singapura yang menyokong penyertaan saya semasa Gegar Vaganza 2 dahulu,” jelasnya.

Acong ditemui semasa majlis sidang akhbar Showcase Sweetchild yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Acong, showcase berkenaan akan berlangsung pada 20 Oktober ini di FG Empire Delight Gallery at 50 Punggol East bermula pukul 8.00 malam.

Ujarnya, tiket-tiket untuk menyaksikan showcase berkenaan hanya berharga $20 dan ia hampir habis terjual.

“Untuk persembahan nanti, kami akan menyampaikan sebanyak 15 buah lagu, manakala kumpulan rock Singapura iaitu Nalo akan beraksi untuk aksi pembukaan.

“Mengenai harga tiket yang agak rendah pula, kami tidak kisah kerana apa yang lebih penting adalah sambutan daripada peminat yang datang untuk menonton persembahan kami nanti,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Aishah Beri Masa DSV Tempoh Seminggu Penuhi Dua Tuntutan

Penyanyi Aishah memberi tempoh selama tujuh hari kepada Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida (DSV) untuk memenuhi dua tuntutan yang dibuat menerusi peguamnya.

Peguam Aishah, Mohammad Izwan Azmi berkata, pihaknya telah dilantik oleh Aishah selaku peguamcara dalam pertikaian di antara anak guamnya dan DSV berkenaan isu tuntutan hadiah berlian selepas menjuarai sebuah pertandingan nyanyian, Gegar Vaganza Musim Ke-4.

“Anak guam kami menuntut seutas rantai berlian asli dengan nilai setara dengan RM80,000 seperti direpresentasikan dan dihebohkan oleh DSV.

“Permohonan maaf secara terbuka kepada anak guam kami atas representasi salah yang telah dibuat dan dihebohkan berkenaan dengan rantai berlian tersebut,” ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui semasa majlis sidang akhbar khas yang dibuat oleh Aishah pada pagi ini.

Menurutnya, tempoh tujuh hari bermula tarikh 5 Oktober 2018 diberikan untuk pihak DSV menjawab dan mematuhi tuntutan sepertimana dinyatakan dalam surat tuntutan tersebut.

“Kami dengan tegas menasihati agar pihak DSV akan mematuhi tuntutan tersebut sepertimana dinyatakan dalam surat tuntutan dan mengelakkan sebarang tindakan mahkamah diambil terhadap beliau,” tegasnya.

Sementara itu, Aishah dalam sidang akhbar berkenaan memberitahu bahawa dia mengambil tindakan tersebut agar ia menjadi teladan kepada artis-artis lain supaya perkara sama dapat dielakkan.

Aishah berkata, ia juga dapat menjadi contoh agar artis-artis untuk berani bersuara mengenai hak-hak mereka.

“Selain itu, apa yang saya harapakan semoga satu keadilan dapat ditegakkan dan ia tidak akan terjadi kepada artis lain,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Nabil Ahmad Berdoa Setiap Hari Agar Isteri Kekal Bertudung

Pengacara dan pelawak Nabil Ahmad menyatakan buat masa ini isterinya, Zira Ayub kini masih dalam proses untuk kekal dengan imej bertudung.

Nabil berkata, buat masa ini setiap hari dia memang sentiasa berdoa agar isterinya itu terbuka pintu hati supaya bertudung secara kekal.

“Ketika ini isteri masih lagi mencuba, kalau ada masa yang dia rasa nak bertudung saya galakkan. Kalau rasa tak nak pakai, itu terpulang sebab sebagai suami saya dah pesan.

“Tidak dinafikan yang sepanjang rakaman program Oh My Family berlangsung untuk lapan episod, isteri saya memang tampil bertudung,” ujarnya.

Nabil berkata demikian kepada KopiPlanet ketika ditemui semasa majlis pelancaran program terbaharu Astro, Oh My Family yang berlangsung hari ini.

Ujarnya, dia telah bertanyakan beberapa orang ustaz mengenai perkara berkenaan dan pandangan yang diberikan adalah sudah menjadi tanggungjawab untuk terus-menerus memberitahu.

“Apa yang paling penting adalah terus berdoa. Lagipun kalau terlalu memaksa sangat nanti akan timbul pergaduhan dan itu yang saya cuba elakkan.

“Biarlah pintu hati dia akan terbuka dengan sendiri untuk bertudung dengan ikhlas dan tanggungjawab saya adalah doa yang berterusan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nabil memberitahu syarikatnya juga akan tampil dengan sebuah lagi Super Telemovie Astro First Eksklusif berjudul Datuk Setan yang akan ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menurutnya, ia merupakan satu kepercayaan yang diberikan oleh pihak Astro untuk syarikatnya menerbitkan Super Telemovie berkenaan yang akan memulakan penggambaran pada bulan Disember nanti setelah kejayaan The Hantus sebelum ini.

“Kemudian pada bulan November 2019 pula, akan ditayangkan juga Super Telemovie berjudul Maruah. Buat masa ini, barisan pelakon belum lagi boleh diumumkan,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Official HLive

Tampil Kelainan, Aizat Amdan Cabar Diri Hasilkan Lagu Dangdut

Penyanyi Aizat Amdan menyatakan dia kini cuba untuk mencipta kelainan dengan menghasilkan sebuah lagu berentak dangdut.

Menurut Aizat, tujuan dia menghasilkan lagu dangdut adalah sebagai satu eksperimen dalam usaha untuk mencabar dirinya dalam menghasilkan lagu.

“Lagu berkenaan sudah siap dirakamkan, namun bukan saya yang menyanyikannya. Buat masa ini saya tidak boleh dedahkan penyanyinya dan biarlah ia menjadi kejutan.

“Jika sebelum ini saya dah hasilkan banyak lagu-lagu seperti balada, jadi saya fikirkan sudah tiba masanya kalau saya cuba lakukan sesuatui pembaharuan,” ujarnya.

Bintang Akademi Fantasia itu berkata demikian kepada KopiPlanet.com semasa majlis pelancaran OST Filem Gol & Gincu 2 berjudul Hari-Hariku baru-baru ini.

Menurutnya, dengan cara ini juga ia dapat mengeluarkan dirinya daripada zon selesa dengan menghasilkan pelbagai genre lagu yang lain.

Dalam pada itu, ditanya tentang pembabitanya dalam OST Filem Gol & Gincu 2, penyanyi itu menganggap ia satu penghormatan buat dirinya.

“Sebenarnya ini merupakan kali kedua saya bekerjasama dengan Red Films untuk OST selepas Istanbul Aku Datang sebelum ini.

“Bezanya kalau dalam Istanbul Aku Datang saya turut berlakon, untuk Gol & Gincu 2 pula saya hanya terbabit dengan OST sahaja,” jelasnya.

Untuk lagu Hari-Hariku, Aizat turut bergandingan dengan orang pelakon filem tersebut iaitu Annabel Michael dan Intan Serah. – KopiPlanet.com

Berita Palsu Kematian Saleem: IRAMA Gesa Tindakan Segera Diambil

Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) bertindak membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi berhubung penularan mengenai cerita yang mengatakan penyanyi Saleem meninggal dunia hari ini.

Presidennya, Ayob Abdul Majid berkata, tujuan laporan polis dibuat bagi memberi kesedaran kepada pengguna media sosial terutamanya blogger supaya tidak menyebarkan berita yang tidak benar serta menggesa tindakan dapat diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Sebelum ini, dah banyak kes tentang cerita tular yang mendakwa Saleem meninggal dunia dan rasanya ini dah masuk kali ke-4. Diharapkan tiada lagi mana-mana pihak yang sebarkan berita-berita tidak benar.

“Pihak kami juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan peguam kami akan saman mereka yang berkenaan bagi mewakili pihak artis. Itu adalah tanggungjawab daripada kami.

Menurutnya, apa yang mereka lakukan ini bukan untuk Saleem sahaja, tetapi untuk artis-artis lain supaya tidak menjadi mangsa penyebaran berita palsu.

Ujarnya, pada Isnin mereka akan pergi ke SKMM untuk buat tindakan susulan terhadap dua blogger yang telah menyebarkan berita palsu berkenaan.

“Perkara ini melibatkan nyawa dan gangguan emosi. Misalnya, berita Saleem yang tersebar ini berlaku pada pukul 1.00 pagi. Ada saudara-mara yang call sampai isteri Saleem iaitu Julia terpaksa pergi semula ke hospital sehingga pukil 6.00 pagi.

“Jadi, berita palsu ni betul-betul sangat mengganggu kehidupan orang lain. Kami harap supaya tindakan dapat diambil segera,” tegasnya. – KopiPlanet.com

Cipta Rekod! Tayangan Awal Munafik 2 Berjaya Kutip RM2.05 juta

Filem terbitan Skop Productions dan President Productions, Munafik 2 telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.05 juta bagi tayangan awal (sneak preview).

Dengan jumlah kutipan tersebut, filem arahan Syamsul Yusof itu mencipta rekod tersendiri iaitu jumlah kutipan tayangan awal paling tinggi bagi filem tempatan.

Jumlah kutipan itu turut disahkan oleh penerbitnya, Datuk Yusof Haslam dengan merangkumi tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Mengulas mengenai kejayaan itu, Syamsul berkata, “Saya hilang kata-kata, hanya mampu cakap Alhamdulillah. Jutaan terima kasih saya ucapkan di atas sokongan penonton.”

“Saya harap momentum ini akan berterusan. Mencipta rekod kutipan tayangan awal paling tinggi bagi filem tempatan adalah di luar jangkaan saya.

“Saya terima dengan penuh syukur. Tak sia-sia pengorbanan saya dan pasukan produksi dalam menyiapkan filem ini apabila dihargai peminat sebegini rupa,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Untuk rekod, filem Munafik pertama yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta. – KopiPlanet.com

Rosyam Nor Jadi Usahawan Produk Berasaskan Durian Belanda

Setelah cemerlang sebagai pelakon dan penerbit serta berjaya membuka sebuah pasaraya di bawah jenama ST Rosyam Mart, kini Datuk Rosyam Nor menjadi usahawan untuk produk berasaskan buah durian belanda iaitu Adraa.

Menurut Rosyam, ketika ini terdapat tiga buah produk di bawah jenama Adraa iaitu Teh Daun Durian Belanda, Pati Buah Dan Ekstrak Daun Graviola Gold dan Jus Minuman Durian Belanda.

“Saya mula menanam pokok durian belanda sejak lima tahun lalu kerana buah dan daun durian belanda mempunyai nilai yang tinggi di pasaran. Sehingga kini saya memiliki 10,000 pokok di atas tanah seluas 175 ekar yang terletak di Tapak Kekal Pengeluaran Makanan, Lanchang Pahang.

“Kemudian, ada kenalan yang memberikan idea kepada saya supaya menghasilkan produk berasaskan durian belanda memandangkan buah tersebut diketahui umum memang banyak khasiat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran produk tersebut yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka semalam.

Menurut Rosyam, dia mengambil selama tiga tahun untuk melalukan penyelidikan dengan kerjasama Teknologi Park Malaysia sehinggalah terhasilkan produk Adraa.

Ujarnya, nama Adraa dalam bahasa Arab bermaksud dara dan menganggap ia cukup sinonim dengan pokok durian belanda yang masih ‘dara’ dari segi penggunaan dan pengeluaran yang menggunakan teknologi tinggi.

Dalam pada itu, Rosyam menepis dakwaan terhadap segelintir pihak yang beranggapan produk berasaskan durian belanda itu anti kanser sehingga boleh mengelirukan orang ramai.

“Untuk produk saya ini, melalui kajian yang dilakukan adalah ia mempunyai antioksida yang tinggi dan tubuh kita memang memerlukannya.

“Jadi, tidak salah kalau ada doktor yang menyanggah kenyataan yang mengatakan buah durian belanda mampu menyembuhkan kanser,” tegasnya.

Jelasnya, selain daripada ladang miliknya yang dianugerahkan sijil MyGAP, kilang yang menghasilkan produk tersebut bertaraf GMP (Amalan Pengilangan Baik) serta mengikut piawaian antarabangsa dan memiliki sijil halal.

Untuk makluman, sekotak teh (20 sachets) daun durian belanda yang terdiri daripada 100% daun buah berkenaan dijual dengan harga RM85, pati buah dan ekstrak Daun GG yang dibotolkan (500 ml) berharga RM168 serta jus minuman durian belanda sebotol (350 ml) dijual dengan harga RM5. – KopiPlanet.com

Pementasan Teater Tanah Akhirku Sempena Bulan Kemerdekaan

Bermula sebagai projek untuk penilaian projek tahun akhir di Aswara, akhirnya teater berjudul Tanah Akhirku bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya pada 28 Ogos hingga 2 September 2018.

Penerbitnya, Mei Fen Lim berkata, teater Tanah Akhirku merupakan projek tahun akhirnya sebagai pelajar di Aswara yang telah dipentaskan pada bulan Januari lalu.

“Teater ini merupakan adaptasi daripada kisah benar dan saya berterima kasih kepada pihak Istana Budaya yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menerbitkannya.

“Boleh dikatakan Tanah Akhirku ini memberi makna yang cukup besar buat diri saya, malah gembira apabila pementasan ini turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan di Aswara,” ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran minggu lalu.

Diarahkan oleh pengarah Ashraf Zainal, teater tersebut turut membariskan beberapa pelakon lain seperti Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Nave VJ, Angeline Tan dan Mei Fen sendiri.

Ia mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis yang berasal dari tanah besar China iaitu Yin Feng yang datang ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan baharu bersama ibu dan adiknya.

Ditanya tentang cabarannya untuk menerbitkan teater berkenaan, Mei Fen memberitahu setiap cabaran yang datang tidak pernah melunturkan semangatnya.

“Bukan mudah untuk menerbitkan teater kerana memerlukan modal yang besar dan cabarannya sudah tentu apabila pihak penaja menarik diri pada saat-saat akhir.

“Namun begitu, ia tidak melemahkan semangat saya kerana teater ini memberikan makna tersendiri. Jika sebelum ini, saya hasilkan teater ini sebagai pelajar, kini saya tampil pula selaku penerbit,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, teater Tanah Akhirku ini bersesuai untuk dipentaskan sempena bulan kemerdekaan.

“Pihak kami berasakan naskhah teater ini bersesuaian untuk dipentaskan pada bulan Ogos bagi menyemarakkan lagi rasa cinta kepada negara.

“Elemen-elemen kemerdekaan dan cinta kepada negara yang terkandung dalam teater ini juga bakal menaikkan lagi rasa patriotisme penonton,” jelasnya.

Tanah Akhirku akan dipersembahkan dalam bahasa Melayu, China dan Inggeris dengan sarikata bahasa. Tiket-tiket berharga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 dan RM350 sudah boleh dibeli sejak 13 Julai lalu menerusi laman web http://airasiaredtix.com. – KopiPlanet.com