
MCC Berjaya Anjur ‘The Textile Project Soiree’, Inisiatif Pelihara & Pulihara Seni Tekstil Tradisional Malaysia
Malaysian Craft Council (MCC) telah berjaya menganjurkan The Textile Project Soirée, sebuah acara kebudayaan berprestij yang menandakan kemuncak kepada The Textile Project, satu inisiatif yang bertujuan memelihara dan memulihara seni tekstil tradisional Malaysia yang semakin terancam, iaitu tenunan Songket Kelantan dan sulaman Kelingkan.
Dilancarkan pada tahun 2024, The Textile Project dibangunkan sebagai respons terhadap kemerosotan kritikal seni kraf ini, di mana setiap disiplin sebelum ini hanya disokong oleh seorang penggiat aktif.
Melalui pendekatan master–apprentice yang tersusun, program ini telah berjaya melahirkan generasi baharu artisan, sekali gus memastikan kesinambungan warisan yang halus dan bernilai tinggi ini.
Sehingga kini, MCC telah berjaya melatih: 20 penenun Songket 20 penyulam Kelingkan. Selain itu, melalui kerjasama dengan Penjara Pengkalan Chepa, inisiatif ini turut diperluaskan kepada: 20 banduan dalam tenunan Songket 20 banduan dalam sulaman Kelingkan MEMPERKASA KOMUNITI MELALUI WARISAN Malaysian Craft Council (MCC).
Presiden Pengasas MCC, Nik Faiz Nik Amin berkata, The Textile Project bukan sekadar pemeliharaan warisan negara kerana ia adalah tentang maruah, pemerkasaan dan peluang.
“Ramai artisan kami terdiri daripada komuniti B40 dan ibu tunggal, dan melalui inisiatif ini, warisan menjadi sumber pendapatan serta laluan ke arah masa depan yang lebih mampan.
“Inisiatif ini berakar daripada usaha akar umbi MCC semasa pandemik COVID-19, di mana pihak organisasi turun padang ke seluruh negara mengunjungi rumah artisan bagi memahami cabaran mereka dan memberikan sokongan,” ujarnya.
Nik Faiz berkata, usaha ini menjadi asas kepada pembangunan program yang berstruktur dan berteraskan manusia, yang menggabungkan pemeliharaan budaya dan pembangunan sosio-ekonomi.
DARIPADA LATIHAN KE ARAH EKOSISTEM MAMPAN
Nik Faiz turut menegaskan, “Kami percaya bahawa warisan perlu hidup dalam komuniti. The Textile Project bukan sekadar program latihan, tetapi model perintis kepada ekosistem perniagaan yang mampan di mana artisan boleh berkembang daripada pelatih kepada usahawan, dan daripada penghasil kepada pemain pasaran.”
Melalui cabang perniagaan MCC, Ruzzgahara, artisan diberikan platform untuk memasarkan dan meletakkan hasil karya mereka dalam ekonomi kreatif, memastikan karya mereka bukan sahaja dipelihara, malah mempunyai nilai komersial yang berdaya tahan.
Sebagai langkah seterusnya, MCC akan menubuhkan The Textile Lab di Kota Bharu, dengan sokongan Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga & Wanita Negeri Kelantan (UKEKWA).
Makmal ini akan berfungsi sebagai pusat tetap Malaysian Craft Council (MCC) bagi pengeluaran, latihan, inovasi dan pembangunan perusahaan, sekali gus memastikan kelestarian jangka panjang industri ini.
MCC juga memperluaskan usaha melalui inisiatif seperti Projek Songket Gua Musang, yang membuka peluang kepada komuniti luar bandar serta melahirkan bakat baharu dalam kalangan artisan.

PLATFORM WARISAN DAN PRESTIJ
The Textile Project Soirée telah menghimpunkan patron budaya, pemimpin industri, diplomat serta komuniti antarabangsa melalui pameran berkurasi, demonstrasi langsung dan persembahan tekstil eksklusif.
Majlis ini telah diserikan dengan keberangkatan YBM Tengku Temenggong Kelantan dan YM Tengku Puan Temenggong Kelantan, serta kehadiran Duta Jepun ke Malaysia, Duta Republik Persekutuan Jerman ke Malaysia, selain pegawai kerajaan dan pihak berkepentingan utama.
Sokongan dan kepercayaan mereka telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh inisiatif ini. MCC turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Hasanah, UKEKWA, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta semua rakan strategik dan penyokong yang telah menjayakan program ini.

MENUJU AGENDA WARISAN GLOBAL
Bertitik tolak daripada impak sosio-ekonomi dan usaha memperkasakan artisan di Kelantan, MCC kini melangkah ke peringkat global.
“Hari ini, MCC berbesar hati dilantik sebagai ahli Badan Penilai UNESCO bagi tempoh 2026–2029, serta diiktiraf sebagai NGO bertauliah UNESCO sejak 2024.
Ini Malaysian Craft Council (MCC) mencerminkan perjalanan kami daripada usaha akar umbi kepada peranan di peringkat antarabangsa dalam memelihara Warisan Kebudayaan Tidak Ketara,” kata Nik Faiz.
MENGENAI MALAYSIAN CRAFT COUNCIL (MCC)
Malaysian Craft Council (MCC) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang komited dalam pemeliharaan, pemuliharaan dan pembangunan seni serta warisan kraf Malaysia melalui latihan, penyelidikan, pendokumentasian dan pembangunan industri.
MCC juga berperanan sebagai platform yang menghubungkan pemain industri serta mempromosikan kraf Malaysia ke peringkat global melalui kerjasama strategik dengan organisasi dan rangkaian antarabangsa. – KopiPlanet.com



