
Pindah Lokasi Perniagaan, Fazley Rancang Buka Pusat Latihan Kulinari
Setelah beberapa tahun terlibat dalam bidang masakan, Datuk Fazley Yaakob kini sedang dalam perancangan untuk membuka pusat latihan kulinari.
Menurut Fazley, idea tersebut timbul memandangkan sebelum ini sudah ramai pelajar kulinari yang menjalani latihan praktikal di restoran SukaSucre Bistro miliknya.
“Restoran SukaSucre Bistro yang terletak di Cheras akan ditutup pada hujung bulan ini (Mac) dan operasinya akan berpindah ke tempat lain bermula pada bulan Ramadan nanti.
“Untuk lokasi SukaSucre Bistro yang sekarang ini, ia akan dijadikan sebagai tempat pusat latihan kulinari yang akan dijalankan tidak lama lagi,” ujar pemenang Juara MasterChef Selebriti musim pertama itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis Sajian Merentasi Zaman: Cef Dato Fazley Yaakob x Four Seasons Kuala Lumpur sempena Ramadan yang berlangsung baru-baru ini.
Ujarnya, keputusan untuk berpindah lokasi itu dilakukan agar memudahkan pelajar yang menjalani latihan dan ia tidak mengganggu operasi perniagaannya.
“Banyak universiti dan kolej yang menghantar pelajar mereka menjalani latihan di restoran saya. Biasanya kalau saya nak buat training, saya terpaksa tutup perniagaan saya pada hari tersebut.
“Jadi, apabila ambil keputusan untuk memindahkan lokasi perniagaan di tempat lain, bolehlah saya hantar terus pelajar menjalani latihan di Cheras,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai kerjasama dengan Hotel Four Season Kuala Lumpur, Fazley memberitahu ia merupakan tahun kedua dia dan hotel berkenaan bekerjasama.
Menurutnya, pada tahun ini bagi juadah berbuka puasa dia mengenengahkan tema Sajian Merentasi Zaman menerusi hidangan melewati beberapa generasi dengan deretan menu kegemarannya sejak kecil.
Ujarnya, bagi mencipta kelainan berbanding tahun lalu, dia akan memperkenalkan hidangan signatur iaitu Nasi Nyiru Nostalgia (menu dulang berasaskan nyiru) dan eksklusif di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur.
“Saya menganggap masakan sebagai salah satu medium mengekspresikan cinta dari satu generasi ke generasi lain agar ia tidak dilupa zaman. Nenek saya adalah individu signifikan dalam menyatukan kekeluargaan kami melalui hasil masakannya.
“Lantaran itu, saya percaya tiada lain dapat mengeratkan kita sebagai rakyat Malaysia salah satunya dengan perkongsian kulinari warisan. Sejujurnya, saya bersyukur apabila kerjaya sebagai tukang masak ini mampu menebarkan perasaan kasih-sayang sekali gus kebersamaan di antara satu sama lain,” jelasnya.
Ujarnya, terdapat lapan jenis lauk dari Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah, Perak, Johor dan Pahang dihimpunkan dan dihidangkan bersama di atas satu nyiru.
Antara lauk-pauk tersebut adalah Nasi Pandan Tumis & Nasi Tumpang, Ayam Bakar Pasu bersama Sambal Percik Putih serta Sambal Gesek, Puyuh Salai & Kulit Mangga Muda Bakar Lemak Cili Api, Rendang Daging Cili Padi, Urap Daun Kaduk & Telur Masin, Lontong Darat, Sambal Hijau Jering Ketuk & Ikan Bilis Garing dan Sate Padang.
Sajian Merentasi Zaman bakal bermula pada 24 April ini sehingga 23 Mei 2020 di Curate. Jangan lupa untuk berhubung dengan kami menerusi aplikasi Four Seasons atau melalui WhatsApp di +60-323828888 untuk sebarang tempahan. – KopiPlanet.com
Kredit Foto: @theshahrulizzat @ainfayafaya



