
Teka-teki mengenai barisan peserta program Gegar Vaganza 4 (GV4) akhirnya terjawab dalam satu majlis pengumuman yang dibuat oleh Astro pada petang tadi.
Penyanyi Aishah, Liza Hanim dan Hazami yang sudah lama menyepi dari bidang nyanyian antara peserta yang bakal memeriahkan GV4 yang bakal memulakan siarannya bermula 29 Oktober ini.
GV4 juga turut membuat kejutan tersendiri apabila menampilkan peserta dari negara Indonesia iaitu Firman dan Singapura, Ferhad.
Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, GV kali ini mengambil pendekatan membuka penyertaan kepada artis luar bagi menambah baik kandungan GV4.
“Setelah bersiaran selama tiga musim, pihak kami telah mencari jalan untuk menambah baik GV agar lebih gah.
“Kita masukkan peserta Indonesia dan Singapura yang mana pihak kita telah pergi ke sana untuk mencari bakat-bakat ini.
“Seramai 12 yang terpilih merupakan yang terbaik untuk tahun ini,” katanya ketika majlis sidang media memperkenalkan peserta Gegar Vaganza 4 di The Garden Theatre.
Menurut Raqim lagi, langkah ini diharap dapat menggalakkan lagi penyertaan peserta dari negara luar untuk musim akan datang.
Turut terpilih sebagai peserta GV4 ialah Lan Kristal, Raja Azura, Elyana, Syura, Tia Jimbara, Aqasha dan Haida Hafiz.
GV4 masih mengekalkan hos Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Datuk Ramli M.S merupakan juri tetap dan seorang lagi juri tetap akan diumumkan pada konsert pertama 29 Oktober ini. – KopiPlanet.com



