
Tidak dinafikan pandemik Covid-19 telah meninggalkan impak yang cukup besar buat industri muzik tanah air. Pelbagai acara muzik termasuklah pelancaran album, showcase, konsert, konsert jelajah dan anugerah muzik tidak dapat dilaksanakan.
Keadaan ini telah menyebabkan pendapatan artis, pemuzik dan pekerja-
pekerja di belakang tabir telah terjejas dengan begitu teruk sekali. Biarpun
ada yang mencuba untuk menceburi bidang lain, namun ada juga yang masihlagi menjadikan acara persembahan sebagai sumber pendapatan utama mereka.
Segelintir pula tidak tahu bagaimana untuk menjana pendapatan dengan cara yang lain kerana muzik adalah kehidupan mereka. Mereka menceburi bidang ini kerana bakat, skil, minat dan passion (kecintaan) yang ada terhadap muzik.
Menyedari hakikat ini, Mac Training Centre Sdn. Bhd. dengan usahasama
FunkyBrigade MediaWorks Sdn. Bhd., RCD Big Studio dan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah program hiburan secara maya berjudul Salam Dari Maya.
Diterbitkan sebanyak lima episod, program yang berkonsepkan
permintaan lagu daripada peminat secara visual menampilkan 10 penyanyi
tanah air yang hebat iaitu Dato’ Jamal Abdillah, Ziana Zain, Nora, Zamani, Liza Hanim, Amir Ukays, Siti Nordiana, Tomok, Black dan Yamani Abdillah.
Menariknya, setiap episod menampilkan dua orang penyanyi dan bakal
ditayangkan di saluran YouTube Muzik Malaysia.
Penerbitnya, Puan Samirah Hambali yang juga Pengarah Urusan Mac Training Sdn Bhd berkata, idea mencetuskan program ini timbul setelah menyedari bahawa perlu adanya peluang pekerjaan buat pekerja industri kreatif khususnya industri muzik bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Pada waktu yang sama, kita juga menyedari bahawa pentingnya hiburan
muzik kepada masyarakat dan dalam situasi keadaan sekarang hiburan muzik sangat diperlukan untuk meredakan tekanan masyarakat akibat pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, kesemua artis memberikan respon yang cukup baik. Malah, mereka juga teruja dengan tawaran untuk menjayakan program ini kerana kebanyakannya rindu untuk membuat persembahan. Bertitik-tolak daripada itu, kami terus membuat perancangan untuk menerbitkan program ini tanpa berkompromi tentang soal kualiti muzik dan produksi,” katanya.

Berkonsepkan permintaan lagu dalam bentuk visual, peminat-peminat telah diberi peluang untuk meminta lagu yang digemari daripada nyanyian
penyanyi idola mereka dengan cara menghantar rakaman video permintaan mereka kepada pihak produksi.
Pihak produksi pula akan menghubungi penyanyi-penyanyi tersebut untuk
menjayakan program Salam Dari Maya. Rakaman video yang dihantar
peminat turut ditayangkan sewaktu rakaman bersama penyanyi-penyanyi ini berlangsung.
Melalui cara ini, penyanyi-penyanyi hebat tanahair ini sebenarnya telah
memberikan penghargaan buat peminat-peminat mereka yang selama ini
telah menyokong kerjaya seni mereka dari awal pembabitan sehinggalah ke saat ini. – KopiPlanet.com
EPISOD | ARTIS | TARIKH | WAKTU | Platform |
Epi 1 | Dato’ Jamal Abdillah & Yamani Abdillah | 20 Nov 2020 | 9 PM | SaluranYoutube: Muzik Malaysia |
Epi 2 | Ziana Zain & Liza Hanim | 24 Nob 2020 | 9 PM | Saluran Youtube: Muzik Malaysia |
Epi 3 | Zamani & Amir Ukays | 24 Nov 2020 | 9 PM | SaluranYoutube: Muzik Malaysia |
Epi 4 | Siti Nordiana & Nora | 1 Dis 2020 | 9 PM | SaluranYoutube: Muzik Malaysia |
Epi 5 | Tomok & Black | 4Dis 2020 | 9 PM | SaluranYoutube: Muzik Malaysia |