
Tiada penyingkiran berlaku pada konsert pertama Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Dalam konsert pengenalan itu, Aishah mendapat markah yang paling cemerlang daripada juri profesional iaitu sebanyak 96 peratus.
Persembahan Aishah yang mendendangkan lagu hitsnya, Janji Manismu menerima penghormatan standing ovation daripada juri dan hampir keseluruhan penonton dalam dewan.
Peserta GV4 diadili oleh juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan juri yang dibawa khas dari Indonesia Hetty Koes Endang, manakala Datuk Profesor Chef Wan merupakan juri jemputan.
Menurut Pengurus Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, Hetty diundang sebagai juri tetap bagi musim ini menggantikan Datuk Khadijah Ibrahim bagi memberi pembaharuan dalam kandungan program GV selain maklum balas positif yang diterima penonton sebelum ini.
“Kami mengundang Hetty kerana ingin membawa kelainan dalam GV selain maklum balas positif daripada penonton ketika konsert final GV musim ketiga yang mana Hetty menjadi juri jemputan pada ketika itu,” katanya pada sesi sidang media konsert pertama GV4.
Dalam majlis itu juga Raqim turut mendedahkan markah keseluruhan kesemua peserta hasil pemarkahan daripada pihak juri.
Firman peserta dari Indonesia menduduki tempat kedua dengan kutipan markah 91% hasil dendangan lagu ‘berhantunya’, Kehilangan.
Penyanyi Mungkir Bahagia, Hazami pula di kedudukan ketiga terbaik sebanyak 90% manakala Liza Hanim keempat dengan 87 peratus.
Haida Hafiz dan Raja Azura berada di ‘bottom two’ dengan markah masing-masing 72% dan 68%.
Elyana yang membawakan lagu Tak Tercapai Akalmu mendapat hadiah khas bagi Lagu Paling Mengimbau Memori yang disampaikan Pengarah Urusan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida.
Minggu kedua bakal menyaksikan 12 peserta GV4 berentap menyanyikan lagu bertemakan ‘Sekali Dengar Terus Melekat’.
GV4 yang dibawakan oleh penaja platinum Qu Puteh, rakan penaja Digi dan Adabi dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Program tersebut disiarkan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (134). – KopiPlanet.com
Markah konsert pertama GV4
Aishah – 96%
Firman – 91%
Hazami – 90%
Liza Hanim – 87%
Lan Kristal – 86%
Tia Jimbara – 85%
Elyana – 84%
Syura – 82%
Ferhad – 75%
Aqasha – 75%
Haida Hafiz – 72%
Raja Azura – 68% –
Kredit Foto: Instagram Gegarvaganza Official



