FilemTerkini

Chomel Papar Kisah Kasih Sayang Terhadap Haiwan Peliharaan, Istimewa Buat Penggemar Kucing

Selepas melakar kejayaan demi kejayaan melalui filem terbitannya, ternyata Astro Shaw tidak teragak-agak untuk tampil berani dengan mempersembahkan filem yang terbaik dan digemari penonton.

Yang terbaru, mereka akan tampil dengan sebuah filem iaitu Chomel yang mengangkat tentang hubungan persahabatan dan kasih sayang sebuah keluarga bersama seekor kucing.

Menariknya, filem ini pasti membuatkan penggemar kucing mahu pun tidak akan ‘cair’ dengan gelagat dan aksi comel seekor kucing bernama Chomel.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Astro Shaw komited dalam memperkenalkan sesuatu yang baru menerusi karya tempatan buat industri perfileman dan penonton Malaysia. 

“Selepas penonton berhibur dengan jenaka dari karya Kampong Pisang, kemudian rasa seram dan mendebarkan menerusi Penunggang Agama, kini kami mengajak penonton untuk jatuh cinta dengan aksi comel seekor kucing dan hargai keluarga tercinta.

“Kami harap filem Chomel mampu menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton serta membuktikan industri filem tempatan juga diwarnai dengan pelbagai bentuk jalan cerita setanding industri filem negara luar,” jelasnya.

Beliau berkata, filem berkenaan dimantapkan lagi dengan sentuhan kreatif pengarah dan pemenang anugerah ‘Cerita Asal Terbaik’ filem Adiwiraku pada Anugerah Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29), Jason Chong.

Chomel mempertaruhkan gandingan pelakon hebat seperti Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 dan Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22, Zahiril Adzim, Azizah Mahzan bersama pelakon muda Airiezara Jasmin, Yuyun Hikmah, Aniq Suhair.  

“Sepanjang 90 minit, penonton bakal dibuai dengan emosi berbeza seperti tersenyum, ketawa, sedih, cemas dan geram menerusi babak-babaknya.

“Bagi penceritaan idea asal dan skrip Chomel, telah dihasilkan sepenuhnya oleh pasukan penulis Astro ‘writers room’ sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Jason Chong berkata, dalam keadaan penuh pancaroba sekarang ini, dia percaya naskah seperti Chomel bukan sahaja mampu mengukir senyuman di bibir, tetapi akan menyentuh hati penonton.

Ujarnya, perjalanan cerita ini bakal membuka hati kita agar bersyukur dan lebih menghargai keluarga tersayang.

“Filem ini juga amat nostalgik bagi saya kerana saya akan ingat sampai bila-bila bagaimana mencabarnya mengarah seekor kucing untuk berlakon. Bagi mendapat ‘shot’ menarik dan komposisi setiap babak berbeza, pelbagai idea kreatif dilakukan.

“Antaranya apabila ingin mendapatkan babak kucing tersebut berlari, produksi telah menggunakan beg kesukaan kucing itu untuk menarik minat bergerak aktif. Saya harap filem ini akan menghiburkan anda semua di samping merapatkan lagi hubungan bersama insan tersayang,” ujarnya.

Kekuatan filem tersebut yang memberi fokus kepada kucing di samping elemen kekeluargaan itu bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 24 Jun ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button