Cerita ArtisHiburan

Che Ta Selesai Beri Keterangan Berhubung Laporan Polis Yang Dibuat Azwan Ali Berkenaan Isu Fitnah

Pelakon popular Rozita Che Wan atau Che Ta telah selesai memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat pengacara kontroversi, Azwan Ali atau Diva AA terhadapnya.

Che Ta ketika ditemui di luar IPD Brickfield memberitahu, proses memberi keterangan kepada polis berjalan dengan lancar dan kini dia hanya menunggu untuk proses selanjutnya.

“Setakat ini saya sudah memberikan kerjasama yang sebaik mungkin dengan pihak polis dan saya sudah memberikan keterangan seperti yang diminta.

“Jadi, sekarang ini saya serahkan semuanya kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya. Saya tidak dapat mengulas dengan lebih lanjut mengenainya atas nasihat peguam,” ujarnya. 

Sebelum ini, Che Ta tiba di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur sekitar pukul 12.00 tengah hari ditemani suaminya yang juga pelakon, Zain Saidin serta pengurusnya, Afeeq Wahab.

Selain Che Ta, kedua-dua mereka turut diambil keterangan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

Jelas Che Ta lagi, dia sebenarnya tidak mahu kes ini dipanjangkan-panjangkan, tetapi kerana Azwan yang memulakan dahulu, jadi dia hanya mengikut proses yang dijalankan. 

“Saya rasa kita ni manusia biasa yang tiada apa pun. Kami pun dalam industri yang sama dan kenapa kita perlu buat musuh. Semua orang tahu sekarang ini kita berada di akhir zaman.

“Kalau tak berbaik pun tak mengapalah, tapi tak perlu buat musuh,” ujarnya yang berharap perkara ini dapat diselesaikan secara baik seandainya Azwan sedia berkerjasama.

Ujar Che Ta lagi, pihaknya kini hanya menunggu proses selanjutnya dalam mengikut lunas undang-undang seperti yang dinasihatkan peguam.

Semalam, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA bertindak membuat laporan polis terhadap Che Ta yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Menerusi laporan polis yang dibuat, Diva AA menyifatkan kenyataan yang ditujukan kepada dirinya adalah berunsur fitnah hingga merosakkan imej dan reputasinya sebagai seorang anak seni.

Selain itu, Diva AA juga merancang untuk mengemukakan saman berjumlah RM5 juta kepada Che Ta yang didakwa telah memfitnahnya dengan mengaitkan kemewahan yang dimilikinya dengan bekas menteri kanan yang juga abang kandungnya, Datuk Seri Azmin Ali.

Krisis antara mereka bermula apabila Diva AA menegur cara berpakaian Che Ta yang dilihat seperti keterlaluan ketika hadir mendapatkan suntikan vaksin dengan menggunakan kata-kata kesat dan kurang sopan yang diciap dalam akaun Twitternya.

Terkejut dan tidak menyangka dilemparkan teguran sedemikian rupa oleh rakan sesama industri, Che Ta kemudiannya bertindak memulangkan paku buah keras dengan menempelak bahawa individu seperti Diva AA tidak sepatutnya wujud di muka bumi. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
2
+1
0
+1
1
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button