
Aktif Dalam Bidang Lakonan Selain Bergelar Penyanyi, Amira Othman Mahu Cabar Diri Bawa Watak Hantu
Biarpun lebih dikenali sebagai seorang penyanyi, Amira Othman juga sudah beberapa kali muncul dalam dunia lakonan menerusi drama, telemovie dan filem.
Bagi Amira, antara yang ingin dilakonkannya adalah watak hantu dan bersedia menerimanya jika ditawarkan, asalkan tetap menutup aurat.
“Saya tidak pernah melakonkan watak sedemikian dan jika ada penerbit yang menawarkannya, saya akan cuba pertimbangkan.
“Kalau diikutkan memang agak berdebar jika mendapat tawaran sebegitu, namun saya anggap ia peluang yang tidak harus dilepaskan. Apa yang penting, saya dapat menutup aurat.
“Cuma, saya anggap ia sesuatu yang menarik memandangkan ia adalah kali pertama saya lakonkan dan mahu cabar diri sendiri dengan watak sedemikian,” ujarnya.
Amira berkata demikian semasa sidang media secara virtual serta pelancaran lagu dan muzik video berrjudul Tragedi yang berlangsung pada petang semalam.
Dalam pada itu, mengenai perkembangan barunya, Amira memberitahu dia kini baru sahaja muncul dengan lagu berjudul tragedi hasil ciptaan Sharon Pau dan lirik pula hasil oleh dia sendiri.
Apa yang menariknya, lagu tersebut dipilih menjadi OST drama Malaysian Ghost Stories yang juga sebuah drama berkisarkan alam mistik legenda yang sering diceritakan turun-temurun dalam pelbagai versi rakyat Malaysia.
“Lagu Tragedi ini saya hasilkan pada tahun 2012 iaitu sebelum saya menyertai program realiti Akademi Fantasia 2013, tetapi saya tidak lancarkannya kerana belum ada keyakinan dan pada masa itu saya masih bergelar pelajar di UiTM.
“Boleh dikatakan lagu ini tersimpan selama sembilan tahun dan barulah sekarang saya berani untuk melancarkannya hasil usahasama dengan Sharon Paul,” ujarnya.
Amira berkata, dia sendiri tidak menyangka apabila pihak Astro berminat untuk menjadikan single baharunya itu sebagai OST drama berkenaan.
Lagu Tragedi boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi di seluruh negara.
Ia juga boleh didengar dan dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala video muzik lirik single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network. – KopiPlanet.com



