
Tasha Manshahar Dedah Pernah Sukar Kawal Emosi Akibat Pandemik… Kerap Menangis & Trauma Terima Panggilan Telefon
Penyanyi popular Tasha Manshahar mendedahkan bahawa pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu ternyata memberi kesan mendalam terhadap dirinya, termasuk dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani.
Tasha berkata, kesihatannya telah terjejas disebabkan dirinya yang kini berbadan dua, selain diuji dengan berita ahli keluarga serta ibu tercinta dijangkiti Covid-19.
“Pada masa ini saya sedang hamil dan berjauhan dengan keluarga, manakala ibu saya sendiri dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) disebabkan Covid-19 tahap lima. Ketika itu ibu saya perlu menjalani proses intubasi sebanyak dua kali. Fasa ini merupakan fasa yang sangat berat untuk diri saya.
“Ibu saya sangat kritikal ketika itu. Jangkitan pada paru-paru sangat teruk dan doktor tidak memberi sebarang jaminan. Pada waktu yang sama, saya risau dan tertanya, adakah saya boleh berpantang kali kedua seperti mana saya berpantang anak pertama dengan ibu saya?” luahnya.
Tasha berkata demikian pada satu sesi siaran langsung IG live NR4FRIDAYS yang diterbitkan baru-baru ini, di mana sesi tersebut, Tasha bersama tiga panel lain membincangkan tentang kesihatan mental di waktu pandemik.
Dalam pada itu, Tasha menarik nafas legas apabila keadaan ibunya beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah selepas 23 hari mendapatkan rawatan di hospital.

“Apapun saya bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang sangat kuat. Apatah lagi suami juga sentiasa membantu untuk sentiasa berfikiran positif, kawan-kawan dan juga pengikut di Instagram tidak putus memberi sokongan.
“Alhamdulillah berkat doa keluarga, rakan-rakan semua, ibu saya dibenarkan keluar selepas 23 hari mendapatkan rawatan,” katanya lagi.
Meskipun episod duka itu berkahir, penyanyi berkenaan mengakui yang dia sentiasa berdepan dengan rasa risau dan bimbang sewaktu dirinya diuji dengan ujian.
“Akibat terlalu bimbang dan risau tentang apa yang sedang berlaku, saya sukar untuk mengawal emosi pada waktu itu. Saya kerap menangis tidak tentu masa dan pernah juga saya menangis semasa bersiaran langsung di Instagram. Panggilan telefon juga membuatkan saya trauma.
“Ramai orang mengalami situasi yang lebih mencabar daripada saya. Setiap orang mempunyai tahap ketahanan yang berbeza. Ada individu mengambil keputusan untuk membunuh diri, depresi dan dimasukkan ke hospital.
“There is no health without mental health. Kalau mental kita sihat, insya-Allah fizikal kita juga akan sihat tetapi kalau mental kita tak sihat, ia akan memberi kesan terhadap fizikal,” katanya panjang lebar.
Pada masa sama, Tasha turut memberi nasihat supaya menghentikan anggapan yang pesakit mental merupakan orang yang tidak siuman. Dalam masa yang sama, Tasha juga berpesan supaya memilih kaunselor yang tepat jika ingin mendapatkan rawatan.
Tasha yang pernah popular suatu ketika dahulu bersama rakan duet, Syed Shamim kini bergelar guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Melaka. – KopiPlanet.com