
“Saya Bagi Tempoh Seminggu Jelaskan Bayaran!” – Den Wahab
Pelakon Den Wahab memberi amaran dan tempoh seminggu kepada seorang wanita untuk membayar kembali wang RM50,000 yang telah ditipu ketika dia dan ahli keluarga bercuti ke Korea Selatan baru-baru ini.
Den dan ahli rombongan percutian seramai 22 orang termasuk keluarga pengarah Aziz M. Osman telah ditipu sehingga menyebabkan percutian mereka ke negara Kimchi itu terkandas, tidak seperti dijanjikan oleh wanita tersebut.
“Saya bersama keluarga serta rombongan lain seramai 22 orang termasuk keluarga Aziz M. Osman ke Korea Selatan pada 24 hingga 28 Disember lalu. Kami mengambil pakej percutian selama lima hari empat malam dan pada hari ketiga kami ‘dihalau’ keluar daripada hotel kerana pihak hotel mengatakan tidak menerima sebarang pembayaran daripada kami.
“Dari situ kami dah tahu kena tipu bila agensi Arba Travel & Tours cakap mereka tidak menerima sebarang bayaran daripada wanita itu, padahal kami dah serahkan wang tunai sebanyak RM50,000 kepada suspek ini sebelum bertolak ke Korea lagi. Kami berterima kasih kepada pihak Arba Travel & Tours yang baik hati menanggung segala perbelanjaan rombongan kami di sana atas dasar kemanusiaan,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Mutiara Damansara, Selangor petang ini.
Menurut Den, wanita itu sangat licik dalam menjalankan modus operandinya apabila dia menyamar sebagai pembantu kepada Aziz ketika berurusan dengan pihak Arba Travel & Tours.
Sehubungan itu, pihaknya mengambil inisiatif untuk membuat laporan polis agar perbuatan wanita berkenaan dapat dihentikan dan tiada lagi yang menjadi mangsanya.
“Saya difahamkan ramai orang sudah terkena dengan penipuan dia sejak dari tahun lepas lagi dan daripada cerita-cerita mangsa yang ditipu, kalau dianggarkan memang sudah hampir berjuta ringgit juga dia menipu orang ramai. Modus operandi dia, dia akan bagi tiket pergi sahaja, manakala tiket balik ke Malaysia dia bagi yang palsu.
“Jadi, disebabkan itu kami kerugian RM40,000 untuk beli tiket balik ke Malaysia. Secara keseluruhannya, rombongan kami kerugian RM90,000 disebabkan penipuan individu ini. Oleh yang demikian, saya memberi masa selama seminggu untuk individu berkenaan membayar kembali wang yang sudah dibayar oleh pihak kami.
“Kami ada maklumat berkaitan dirinya, semua bukti pasal dia kami ada. Kami difahamkan dia memang sudah banyak kes, tapi masih lagi terlepas. Saya bersedia dedahkan jika dia tak tampil dalam masa seminggu ini,” tegasnya.
Selain Den dan Aziz, 15 lagi mangsa penipuan turut hadir membuat laporan polis di balai yang sama.
“Saya tak nak ada lagi mangsa-mangsa yang tertipu dengan wanita ini. Saya harap pihak polis segera ambil tindakan. Saya dengaar banyak dah mangsa buat laporan polis mengenainya tapi masih lagi terlepas,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Operasi Arba Travel & Tours, Ammar Shahrin berkata pihaknya kini sedang memburu wanita tersebut untuk mendapatkan wang pembayaran yang telah ‘dilesapkan’ yang sepatutnya diserahkan kepada agensi berkenaan.
“Individu ini menghubungi kami dan dia mendakwa dirinya pembantu kepada Aziz dan ingin mendapatkan khidmat kami untuk membawa rombongan seramai 22 orang daripada pihak Den Wahab dan Aziz M. Osman. Kami setuju untuk menerima khidmatnya itu dengan menguruskan hal-hal berkaitan dengan percutian rombongan itu. Namun, akhirnya kami tersedar ditipu apabila cek yang diberikannya itu adalah cek tendang.
“Susulan itu, atas dasar kemanusiaan, kami rela menanggung segala perbelanjaan kos rombongan Den dan Aziz yang ditipu oleh individu tersebut. Untuk tujuan itu, pihak Arba telah mengeluarkan kos sebanyak RM50,000 bagi tujuan pengangkutan, penginapan dan makanan ahli rombongan tersebut sepanjang berada di sana,” jelasnya.
Akibat ditipu, rombongan tesebut tidak dapat meluangkan masa bercuti mengikut segala perancangan untuk melawat lokasi-lokasi menarik di Korea termasuk Taman Tema Everland. – KopiPlanet.com