
Rancangan realiti tersohor negara, Gegar Vaganza bakal kembali dengan musim kesepuluh. Ternyata kekuatan pada IP rancangan realiti ini memang tidak dinafikan dengan pemintaan yang tinggi daripada peminat-peminat di serata negara.
Dengan kembalinya rancangan yang melahirkan semula kerjaya-kerjaya penyanyi-penyanyi terdahulu seperti Aliff Aziz (GV8), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Hady Mirza serta Naqiu (GV6) dan ramai lagi, rancangan realiti ini membuktikan kepentingannya dalam memangkin semula kerjaya-kerjaya penggiat-penggiat seni tanah air dan serantau.
Bersempena dengan 10 tahun Gegar Vaganza dan sebagai tanda penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia, Astro ingin menghadiahkan buah tangan khas buat para penonton iaitu GV Roadshow 2023 yang bakal menjelajah ke 4 lokasi di 4 negeri iaitu Kuantan Pahang, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan di salah sebuah negeri di utara Malaysia, khas buat peminat Gegar Vaganza yang sentiasa memberikan sokongan padu sepanjang 9 tahun bersiaran.
GV Roadshow 2023 akan ke lokasi-lokasi tersebut bermula 10 Ogos untuk membolehkan peminat-peminat menyaksikan penyanyi-penyanyi kegemaran mereka beraksi secara langsung serta berpeluang bertemu dengan mereka.
Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, “Pihak Astro mahukan yang terbaik untuk setiap signature yang kami terbitkan. Gegar Vaganza bagaikan nadi kepada sajian hiburan kami yang dinanti-nantikan oleh para penonton kami. Sebelum kembalinya musim kesepuluh nanti, pihak Astro mahu membawakan Gegar Vaganza kepada para peminat di beberapa buah negeri termasuk Pahang, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan di sebuah negeri di utara Malaysia yang akan diumumkan kelak.
“GV Roadshow 2023 ini bagaikan merealisasikan impian kami dalam merapatkan silaturrahim antara para peminat dan penyanyi-penyanyi tersohor Malaysia. Kami berharap pengalaman bersua dengan bekas peserta-peserta Gegar Vaganza tidak akan dilupakan nanti.”
“Kami turut teruja dengan sokongan para penaja kami yang sentiasa memberikan kepercayaan kepada Astro. Saya ingin ambil kesempatan untuk meluahkan setinggi-tinggi penghargaan kami kepada Farm Fresh yang kembali sebagai penaja utama Gegar Vaganza. Manakala pihak Astro turut berterima kasih kepada Adabi dan Cuckoo atas kerjasama yang berpanjangan ini.”
GV Roadshow 2023 akan berlangsung di Tasek KotaSAS, Kuantan, Pahang (12 Ogos) Puteri Harbour, Johor Bahru (26 Ogos) serta Kuala Lumpur dan juga di salah sebuah negeri di utara Malaysia yang akan diumumkan nanti. Bintang-bintang Gegar Vaganza seperti Wann, Elyana, Dina Nadzir, Aweera, Tom, Fuad Rahman, Sham Visa dan ramai lagi bakal menyerikan pentas GV Roadshow 2023 kelak.
Selain itu, Jamming with the Stars, Showcase istimewa barisan bintang Gegar Vaganva dari musim pertama – sembilan akan menemui para peminat setiap Khamis bermula 17 Ogos sehingga 7 September pada pukul 9 malam sehingga 10 malam yang akan berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.
Sesi ini juga boleh distrim secara langsung di platform digital Gempak. Nama-nama yang bakal membuat persembahan termasuk Jaclyn Victor, Aliff Aziz, Naqiu, Noryn Aziz, Dina Nadzir dan ramai lagi. – KopiPlanet.com