
Penyanyi Ibnor Riza Disahkan Meninggal Dunia Setelah Dua Minggu Tidak Sedarkan Diri
Setelah dua minggu dalam keadaan tidak sedarkan diri, penyanyi era 80-an Ibnor Riza telah disahkan meninggal dunia pada pukul 3.30 petang tadi.
Menerusi laporan portal mStar, pemergian Allahyarham dimaklumkan rakan penyanyi iaitu Salwa Abd Rahman menerusi Instagram miliknya.
“Sahabatku sudah tiada. Semoga arwah tenang dan damai di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulisnya.
Difahamkan Ibnor atau Ibnor Riza Ibrahim, 62, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM).
Dalam pada itu, isteri Ibnor, Sarimah Sualiman, 51, ketika dihubungi mStar turut mengesahkan perkara itu dan memberitahu jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk proses pengebumian di HCTM.
Sarimah memaklumkan jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Negeri Sembilan.
Pada 2 Disember lalu, Ibnor menjalani pembedahan di HCTM bagi membuang air pada bahagian kanan kepala susulan kanser limfoma dihadapinya sudah merebak ke bahagian otak. – KopiPlanet.com
Kredit artikel: mStar Online



