
Enggan Guriskan Hati Sesiapa, Ummi Nazeera Tolak Berlakon Dengan Aliff Aziz
Pernah bergandingan dalam sebuah drama sebelum ini, pelakon Ummi Nazeera memaklumkan akan menolak tawaran berlakon dengan Aliff Aziz.
Memetik laporan portal Oh Bulan, Ummi menjelaskan tindakannya itu bukanlah kerana Aliff mempunyai kesalahan dengannya, tetapi sekadar mahu menjaga hati orang sekeliling.
“Saya agak selektif mengenai pelakon gandingan dan selama ini saya juga memilih hero. Kalau diikutkan memang ada beberapa tawaran lain saya dapat selepas disatukan dengan Aliff dalam drama tersebut.
“Namun, saya tolak bekerjasama dengan dia. Bukan sebab dia ada buat salah dengan saya tetapi saya cuma mahu elak mengguriskan hati sesiapa,” ujarnya.
Pada masa sama, pelakon tersebut juga mendedahkan bahawa dia tidak pernah menghubungi Aliff selain daripada sewaktu sesi penggambaran sahaja.
“Saya tidak pernah menghubungi Aliff walaupun kami berkawan. Malah, dia sendiri pun tidak pernah ‘overlimit’ melebihi had.
“Memang selalu dia minta pertolongan saya berkenaan lakonan sebab tahu saya memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik tahun lalu.
Dalam pada itu, Ummi turut mendoakan yang terbaik buat pelakon kelahiran Singapura itu susulan kontroversi hangat yang melanda penyanyi tersebut ketika ini.
“Sudah tentu saya sebagai rakan kerja hanya mahu terbaik untuk semua orang. Dia dan keluarganya juga tidak pula buat salah dengan saya. Namun, tiba-tiba ada benda tidak baik terjadi. Saya hanya mahu doakan terbaik dan tak sebarkan aib,” ujarnya. – KopiPlanet.com