Cerita ArtisHiburan

Aktif Bina Karier Di Malaysia, Allan Andersn Tampil Dengan Single Baharu Seakan Ku Tak Ada

Penyanyi dan penulis lagu Indonesia yang kini aktif membina karier di Malaysia, Allan Andersn, 33, tampil dengan single terbaharu berjudul Seakan Ku Tak Ada.

Trek ini merupakan salah satu daripada lagu yang terkandung dalam album studionya yang berjudul ‘dear aa’ dan mengangkat tema perasaan diabaikan dalam sebuah hubungan.

“Lagu Seakan Ku Tak Ada terinspirasi dari kisah seorang teman rapat. Setiap kali dia bercerita tentang hubungannya, saya merasa ada sesuatu yang janggal, seolah-olah pasangannya tidak menghargai keberadaannya.

“Dari situ, saya mula membayangkan bagaimana rasanya mencintai seseorang, tapi rasanya seperti tidak pernah benar-benar dianggap. Perasaan itulah yang saya jelmakan dalam lagu ini.

“Meskipun bukan pengalaman peribadi secara langsung, tapi emosi yang saya rasakan ketika menulis lagu ini sangat dekat di hati saya.” ujar Allan mengenai inspirasi di sebalik lagu tersebut.

Menurut Allan, mesej yang ingin disampaikan menerusi Seakan Ku Tak Ada adalah jelas kerana tidak ada satu pun dari kita yang seharusnya rasa diabaikan dalam sesuatu perhubungan.

“Kehadiran kita layak dihargai dan cinta seharusnya membuat kita merasa ada, bukan sebaliknya. Lagu ini menjadi peringatan bahawa perasaan ‘tidak dianggap’ itu juga layak untuk dirasakan dan jika pendengar lagu ini pernah mengalaminya, anda tidak sendiri.

“Saya harap lagu ini boleh menjadi pelipurlara bagi sesiapa yang sedang merasakan diri mereka tidak dihargai oleh orang yang mereka cintai. Walaupun ia bukan kisah saya sendiri, emosi yang diresapi dalam lagu ini datang dari hati yang tulus. Saya percaya, banyak orang boleh merasakan sendiri apa yang cuba saya sampaikan,” katanya lagi.

ALBUM ‘dear aa’ SEBAGAI SURAT TERBUKA

Album ‘dear aa’ pula diakui Allan sebagai karya yang sangat peribadi, bak sebuah surat terbuka dan jurnal yang terkandung emosi.

“Album ‘dear aa’ adalah projek yang sangat peribadi bagi saya. Judulnya sendiri diambil dari awal huruf nama saya, tapi sebenarnya ditujukan sebagai surat terbuka, baik untuk diri saya sendiri, mahupun untuk orang-orang yang pernah hadir dan membentuk perjalanan hidup saya.

“Setiap lagu di dalamnya merakam emosi yang berbeza, ada luka, ada harapan, ada penyesalan dan ada penerimaan. Album ini seperti jurnal muzik saya yang saya buka untuk pendengar agar mereka juga boleh merasakan cerita mereka sendiri di dalamnya,” katanya.

LATAR BELAKANG & PERKEMBANGAN DI MALAYSIA

Allan mula mencuri perhatian peminat muzik Malaysia apabila single Rindu meledak di TikTok dan berjaya menempatkan dirinya dalam carta Spotify Viral 50 Malaysia.

Penampilannya di pentas Big Stage Alpha turut memperluas pengenalan Allan di kalangan pendengar tempatan.

Walaupun permulaan kariernya di Malaysia bukan dirancang, Allan melihat peluang dan sambutan yang menggalakkan sebagai tanda untuk serius mengembangkan kerjaya di sini.

“Sebenarnya, saya tidak pernah secara sengaja mahu mengembangkan kerier di Malaysia. Namun, lagu saya Rindu tiba-tiba viral di TikTok dan masuk ke dalam chart Spotify Viral 50 Malaysia.

“Dari situ, saya melihat semangat yang luar biasa dari pendengar di sini. Saya percaya ketika muzik datang dari hati, ia boleh sampai ke mana saja tanpa batas negara. Atas sebab itu, saya rasa ini adalah waktu yang tepat untuk lebih serius membangun karier di Malaysia,” ceritanya.

Allan juga berkongsi pandangannya mengenai perbezaan industri muzik dua negara yang disifatkan mempunyai karakter unik dan tersendiri.

“Di Indonesia, industri musik berkembang sangat cepat dan penuh persaingan. Sementara di Malaysia, saya merasakan pendekatan yang lebih peribadi. Walaupun ada cabaran sebagai artis dari luar, saya sangat menghargai keterbukaan industri di sini dan berharap boleh terus belajar, beradaptasi dan memberi sumbangan positif melalui karya saya.

“Saya sangat bersyukur dan terharu dengan sambutan dari peminat di Malaysia. Sejak lagu saya mulai dikenali di sini, banyak yang memberikan sokongan melalui media sosial, membuat video menggunakan lagu saya dan mereka juga hadir ke showcase saya.

“Walaupun saya datang dari negara lain, mereka tetap menerima saya dengan sangat baik. Itu membuat saya merasa tidak sendiri dan semakin semangat untuk terus berkarya dan membina hubungan yang lebih dekat dengan para pendengar di sini,” katanya lagi.

Bercakap tentang cabaran, Allan akui proses menyesuaikan diri memerlukan masa sebagai artis yang sedang mencipta nama di negara ini.

“Sebagai pendatang baharu di Malaysia, tentu cabaran utamanya adalah membina kepercayaan dan membiasakan diri dengan budaya industri tempatan di Malaysia. Saya datang dari luar, jadi saya perlu menyesuaikan diri dengan cara kerja dan juga membangun jaringan dari awal.

“Tapi saya anggap itu sebagai proses belajar. Setiap langkah, walaupun tidak selalu mudah, memberikan saya peluang untuk berkembang dan memahami industri ini dengan lebih mendalam. Saya percaya, selagi saya konsisten dan tulus dalam berkarya, kepercayaan itu akan terbina dengan sendirinya,” katanya lagi.

KOLABORASI & KERJA DI SEBALIK TABIR SEBAGAI PENCIPTA LAGU

Selain menyanyi, Allan aktif sebagai komposer dan penulis lagu. Antara karya yang dihasilkan termasuk lagu Nostalgia untuk Ernie Zakri dan single Romansa untuk Ziha Salleh. Allan juga pernah berduet dengan Famizah Razali menerusi lagu Ternyata.

“Saya sangat terbuka dan bersemangat untuk berkolaborasi dengan lebih banyak anak seni Malaysia. Industri musik Malaysia dipenuhi dengan bakat-bakat hebat dan menurut saya, kolaborasi adalah cara yang indah untuk sama-sama belajar dan menciptakan karya yang lebih segar.

“Ketika ini, sudah ada beberapa perbincangan awal yang sedang berlangsung dan semoga dalam waktu terdekat saya boleh berkongsi khabar gembira untuk semua yang selama ini menyokong.”

HARAPAN UNTUK SEAKAN KU TAK ADA & ‘dear aa’

Menyimpan harapan tinggi untuk mempertaruhkan karya terbaharunya di Malaysia, Allan berharap Seakan Ku Tak Ada menjadi lagu yang menyentuh emosi dan memberi sokongan kepada pendengar yang pernah merasa diabaikan.

“Saya berharap lagu Seakan Ku Tak Ada boleh menjadi teman bagi sesiapa yang pernah merasa tidak dihargai atau tidak dianggap dalam hubungan mereka. Semoga lagu ini boleh menguatkan dan menemani mereka dalam proses penyembuhan.

“Untuk karier saya di Malaysia, saya tidak ingin sekadar sekejap dan hilang. Saya ingin bergeral perlahan, membina hubungan yang tulus dengan pendengar dan dikenali dengan karya yang jujur serta bermakna. Saya harap boleh terus berkarya di sini, berkolaborasi dengan pemuzik lokal dan menjadi sebahagian dari perkembangan industri muzik Malaysia secara positif,” katanya lagi.

Strim lagu Seakan Ku Tak Ada dan album ‘dear aa’ di semua platform penstriman digital utama.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button