
Sheila Majid Lancar Edisi Terhad 8 Album Dalam Format Vinyl Berharga RM1,599 Sempena Ulang Tahun Ke-40 Dalam Industri Muzik
Universal Music Malaysia dan PMP Entertainment dengan bangganya mengumumkan pelancaran eksklusif kesemua lapan album Datuk Sheila Majid dalam format vinyl, sesuatu yang julung-julung kali dilakukan oleh seorang artis Malaysia.
Edisi terhad ini bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-40 Datuk Sheila Majid dalam industri muzik, malah menjadi hadiah istimewa buat para peminat yang membesar dengan karya agung beliau.
Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng berkata, objektif utama pelancaran vinyl ini bukan sekadar bersempena dengan kehadiran Konsert Sheila Majid 40 Years in Music yang akan berlangsung pada 8 November akan datang, tetapi juga sebagai meraikan ulang tahun ke-40 beliau dalam industri muzik.
“Selain itu, ramai peminat sering bertanya, bila semua album Datuk Sheila Majid akan tersedia dalam format vinyl. Ini merupakan kali pertama seorang artis Malaysia memiliki kesemua album dalam format vinyl.
“Ia juga diharap dapat mengimbau kenangan peminat yang membesar dengan lagu-lagu Datuk Sheila Majid serta perjalanan seninya,” katanya.

Pelancaran ini mencatat sejarah kerana buat pertama kalinya semua album Datuk Sheila Majid dikeluarkan dalam format vinyl. Lebih istimewa, hanya 300 set sahaja ditawarkan untuk para peminat, menjadikannya sebuah koleksi yang sangat eksklusif.
Pra-tempahan akan mula dibuka pada 23 September 2025 jam 12.00 tengah hari dengan harga istimewa RM1,499.00, manakala harga biasa selepas itu ialah RM1,599.00. Vinyl edisi terhad ini akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Oktober 2025.
Projek bersejarah ini turut melibatkan kerjasama antara beberapa label utama, iaitu EMI Music / Universal Music, Warner Music Malaysia dan Magada Entertainment Sdn Bhd.
Set eksklusif ini bakal menjadi koleksi berharga bukan sahaja kepada peminat setia Datuk Sheila Majid, tetapi juga pencinta muzik dan pengumpul vinyl. Lapan album yang dimuatkan adalah Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita dan Boneka.
Untuk maklumat lanjut mengenai pra-tempahan dan butiran pelancaran, ikuti laman rasmi Universal Music Malaysia di media sosial. – KopiPlanet.com