Event

‘Eternal Love, Timeless Romance’ Bukan Konsert Biasa, BCL Sentuh Emosi Penonton Dengan Kisah Yang Membuai Emosi

Konsert ‘Eternal Love, Timeless Romance’ yang dipersembahkan oleh Bunga Citra Lestari atau BCL pada Sabtu lalu ternyata memberi kenangan tersendiri buat penonton yang hadir.

Mereka bukan setakat dihiburkan dengan 17 lagu yang dinyanyikan BCL, malah acara pada malam berkenaan penuh emosi terhadap makna cinta dan kekuatan seorang wanita yang pernah kehilangan insan yang paling dicintai.

Konsert yang berlangsung lebih dua jam itu bermula dengan petikan biola oleh Dennis Lau yang kemudiannya diiringi dengan persembahan penyanyi undangan pertama iaitu Fajar Noor menerusi lagu Menjaga Hati dan Tuhan Tahu Kita Saling Cinta.

Kemudian, penyanyi undangan kedua pula muncul dengan persembahan daripada Jaclyn Victor yang tampil dengan aksi bertenaga apabila menyanyikan lagu-lagu seperti Racun, Rentakku dan Gemilang.

Hampir sejam dihiburkan dengan artis jemputan, akhirnya BCL membukai tirai persembahan dengan lagu berjudul Jangan Gila, manakala terdapat juga kejutan menerusi persembahan duet bersama Yuna iaitu Watak Utama.

Apa yang menariknya, BCL turut tampil dengan keunikan sendiri apabila menyelitkan segmen interaktif ala talkshow dengan mengundang dua penonton bertuah yang berkongsi kisah cinta mereka dan kemudian penyanyi itu secara spontan menyanyikan lagu yang berkaitan dengan cerita cinta kedua-duanya.

Disebalik penonton terhibur dengan persembahan BCL, ternyata antara momen yang paling emosi sewaktu mendendangkan lagu Wanita Terbahagia yang didedikasikan khas buat suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia secara mengejut pada 17 Februari 2020.

“Lagu Wanita Terbahagia ini saya dedikasikan kepada arwah suami saya. Kehadiran Ashraf dan Noah (anak) menjadikan saya wanita paling bahagia.

“Hidup tidak seperti yang kita rancang. Saat kehilangan Ashraf, ia begitu mengejutkan. Semua perancangan kami terhenti ketika saya masih belum mampu melepaskan seorang partner in crime,” ujarnya.

Berbicara dalam keadaan yang sebak kerana kehilangan insan yang amat dicintai, BCL menyatakan pemergian Ashraf selepas 12 tahun melayari bahtera rumah tangga menjadi inspirasi utama dalam penciptaan lagu 12 Tahun Terindah.

“Ketika melalui fasa kehilangan, saya menulis setiap hari sebagai cara untuk mengubati kesedihan. Pesan saya, hargailah masa bersama insan tersayang kerana kita tidak tahu bila mereka akan pergi,” katanya.

Setelah berkongsi perasaan dukanya, penyanyi itu turut berkongsi rasa bahagianya setelah bertemu dengan suaminya sekarang.

Di sebalik duka yang dilalui, penyanyi berusia 41 tahun itu tidak menafikan kini dia sudah bersedia untuk membuka lembaran baharu selepas bertemu cinta baharu bersama Tiko Aryawardhana, yang dinikahinya pada 2 Disember 2023 di Bali, Indonesia.

“Lagu dan video yang saya persembahkan malam ini bukan untuk menangis, tetapi untuk berkongsi perjalanan hidup saya dan bagaimana saya berani memulakan hidup baharu.

“Suami saya hari ini juga menerima keluarga arwah Ashraf. Sekarang saya sudah jadi anak kepada Ummi (ibu Ashraf) dan Tiko pula adalah menantu beliau,” katanya tersenyum.

Konsert ‘Eternal Love, Timeless Romance’ menyaksikan BCL mempersembahan rantaian lagu-lagu popularnya seperti Ingkar, Selalu Ada Di Nadimu, Memulai Kembali, Karena Ku Cinta Kau dan Cinta Sejati. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Pulse Project Asia & Sudasan Ravichandran

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button