
Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang akan berlangsung pada 1 November ini menyaksikan pemenang bagi bagi kategori Filem Terbaik bakal menerima sokongan Dana Kandungan Kreatif DKK berjumlah RM1 Juta.
Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching berkata, ia adalah komitmen kerajaan untuk melihat karya unggul Malaysia terus melangkah jauh serta meletakkan sinema negara di peta dunia.
“Saya dengan penuh sukacitanya mengumumkan bahawa pemenang kategori Filem Terbaik FFM34 akan menerima sokongan melalui DKK berjumlah RM1 juta.
“Bukan sekadar ganjaran kewangan, kita mahu memastikan karya yang menang malam anugerah ini bukan hanya dikenang, tetapi juga disokong untuk berkembang dan mencapai penonton global,” ujarnya.
Bertemakan “Karya Kreatif, Sinema Dinamik”, FFM34 turut memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik, selaras dengan piawaian antarabangsa bagi menghargai tenaga kreatif di balik tabir.
Selain itu, pemenang bagi 27 kategori bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi manakala pemenang Anugerah Khas bakal menerima RM10,000 dan trofi.
Selain itu, pemberian hadiah berjumlah RM20,000.00 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti FINAS untuk tujuh (7) kategori iaitu Pengarah Harapan, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik, Dokumentari Terbaik, Filem Terbaik, serta Filem Pendek Terbaik.
Bagi menghargai jasa tokoh seni yang telah mencorakkan perjalanan sinema tanah air, FINAS turut menganjurkan Program Tribute: Penghargaan kepada Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara sebagai program sisipan FFM34.
Antaranya penerimanya adalah seperti Seniwati Datin Rosnani Jamil, Seniwati Ruminah Sidek, Dato’ Rahim Razali serta Othman Hafsham.
Malam Anugerah FFM34 akan berlangsung pada 1 November 2025, 8.30 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, dan turut disiarkan secara langsung di TV2 RTM serta YouTube FINAS. Untuk maklumat lanjut berkenaan FFM34, layari https://ffm.finas.my. – KopiPlanet.com