FilemTerkini

Azimat Kisah Tentang Kepercayaan Seutas Rantai Mampu Mengubah Nasib Malang

Apabila membicarakan tentang filem yang paling diminati, sudah pasti genre seram sememangnya masih lagi menjadi pilihan penonton.

Itu yang menjadi dorongan buat syarikat produksi dari Sarawak iaitu Faradale Media-M Sdn Bhd dengan menghasilkan Azimat, sebuah filem yang menggabungkan elemen seram dan psikologi.

Penerbitnya, Kay Rezza Karim berkata, Azimat memiliki keunikan tersendiri yang jarang ada pada filem seram lain iaitu gabungan elemen mistik tempatan dan pergolakan emosi manusia menerusi satu naskhah yang mendalam dan mencengkam. 

“Idea menghasilkan Azimat mula tercetus pada tahun 2019 hasil perbincangan bersama dua rakan penulis yang tertarik dengan persoalan bagaimana kepercayaan, trauma dan nasib boleh saling berkaitan dalam kehidupan manusia.

“Kami cuba untuk menghasilkan sebuah cerita seram yang bukan sekadar menakutkan, tetapi juga mencerminkan sisi emosi dan konflik jiwa seseorang yang berada di ambang putus asa,” jelasnya.

Azimat mengisahkan tentang kepercayaan seorang gadis iaitu Hanna terhadap seutas rantai azimat yang diyakini mampu mengubah nasib malang dirinya selepas berjumpa dengan seorang bomoh Iban.

Menariknya, pembikinan filem ini secara keseluruhannya membabitkan anak jati Sarawak, termasuk barisan pelakon utamanya iaitu Dee Dee Aine Peter, Heidi Abyana, Fadzril Afandy dan Rushdi Mornie Daud.

“Dialog yang digunakan pula adalah bahasa Melayu Sarawak, bahasa Iban dan bahasa Inggeris kerana ingin memberi sentuhan keaslian yang unik dan pemilihan Kuching sebagai lokasi penggambaran pula bukan sahaja kerana keindahan visualnya, tetapi sebagai latar sinematik yang kaya dengan budaya dan nilai estetika tersendiri.

“Pada masa sama kami ingin tonjolkan Sarawak bukan sahaja sebagai lokasi pelancongan, tetapi juga sebagai pusat penghasilan karya seni berkualiti dan disebabkan itu juga penggambaran juga dibuat di sekitar Kuching,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kay Rezza yang merangkap pengarah berkata, biarpun Azimat sekadar sebuah cerita rekaan, namun ia diinspirasikan daripada kisah-kisah nyata yang sering berlaku dalam masyarakat, terutama sekali kepercayaan terhadap azimat dan kesan psikologi terhadap mereka yang mengalami trauma.

Malah, dia juga mengakui turut berhadapan dengan beberapa kejadian yang pelik berlaku sepanjang penggambaran dilakukan selama 37 hari.

“Antara kejadian pelik kami pernah alami termasuk mendengar bunyi-bunyi aneh, gangguan peralatan tanpa sebab dan pengalaman mistik yang dialami oleh beberapa kru. 

“Apapun penggambaran tetap berjalan dengan lancar dan saya anggap semua yang berlaku itu sebagai satu pengalaman cukup berharga dan ia seolah-olah ‘menghidupkan’ suasana mistik filem di alam nyata,” ujarnya.

Akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 27 November 2025, Kay Rezza berharap karya terbarunya itu mendapat sambutan ramai dengan kelainan yang cuba ditampilkan berbanding filem genre seram lain.

“Harapan saya, Azimat dapat menyentuh hati penonton, bukan sahaja melalui rasa takut, tetapi melalui mesej tentang harapan, pilihan, dan akibat daripada keputusan yang kita ambil dalam hidup,” ujarnya.

SINOPSIS

Azimat mengisahkan Hanna, seorang wanita yang berdepan dengan trauma masa silam dan dugaan hidup yang tidak berkesudahan. Mahu mengubah nasib malang yang menimpa, dia bertemu dengan seorang bomoh Iban yang memberikannya sebuah rantai azimat,  kononnya sebagai pelindung diri daripada nasib malang yang sering menimpa diri. Namun, di sebalik ‘tuah’ rantai azimat itu, tersembunyi satu kegelapan yang perlahan-lahan menguasai jiwanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button