
Valerayy Selami Identiti & Pemerkasaan Diri Menerusi EP Villain
Selepas kejayaan EP sulungnya Castles & Carriages, Valerayy kini kembali dengan projek keduanya yang berani berjudul VILLAIN.
Diterbitkan di bawah Xpose dan Universal Music Malaysia, EP ini menandakan detik penting dalam evolusi artistik Valerayy, satu keberanian untuk menerima ketidaksempurnaan, pemberontakan, dan pembebasan diri.
“Saya agak letih apabila orang asyik menggambarkan saya sebagai ‘orang jahat’. Saya mahu mengambil semula suara saya. Untuk sekian lama, saya sering berasa perlu menjelaskan diri dan cuba mengawal bagaimana orang melihat saya.
“Namun akhirnya saya sedar, saya sudah penat hidup untuk memuaskan hati semua orang. EP ini adalah tentang saya yang akhirnya melepaskan semua itu,” kata Valerayy.
Menerusi VILLAIN, Valerayy menyelami tema identiti dan pemerkasaan diri. Pernah berasa tertekan untuk menyesuaikan diri dengan kehendak orang lain, kini beliau menggunakan karya ini untuk menyingkirkan beban jangkaan tersebut.
“Saya dahulu sering menghukum diri sendiri atas siapa diri saya, cara saya berfikir, cara saya bertindak, keputusan yang saya buat.
“EP ini adalah tentang menerima sisi ‘gelap’ diri saya dan belajar untuk berdamai dengannya. Adakah saya seorang ‘villain’? Baiklah, jika itu cara anda mahu melihat saya. Tapi bukankah kita semua sedikit ‘nakal’ dengan cara masing-masing?,” ujarnya.
Lagu utama EP ini, “Villain”, menjadi nadi kepada keseluruhan projek, sebuah lagu dark-pop yang penuh keberanian dan keanggunan misteri.
Lagu ini mengisahkan tentang godaan, penentangan, serta keberanian untuk melepaskan diri daripada belenggu jangkaan dan melangkah ke dalam kuasa yang terlarang.
Dengan mendefinisikan semula maksud “villain”, Valerayy mengubah label itu daripada simbol aib menjadi lambang evolusi, kebebasan, dan kebenaran yang tanpa kompromi. Dengan rentak yang memikat dan vokal yang bertenaga, “Villain” menggambarkan saat di mana ketakutan bertukar menjadi keberanian sebenar.
“Villain” ditulis oleh Valerayy dan diterbitkan oleh Zain. Lagu ini menjadi asas kepada keseluruhan projek yang kemudiannya disempurnakan bersama penerbit Hayze selepas Valerayy menandatangani kontrak dengan Xpose dan Universal.
“Kedua-dua Hayze dan Zain banyak membantu saya mencari identiti bunyi saya, dan saya amat berterima kasih atas hasil akhir semua lagu ini,” katanya.
Selepas pelancaran Castles & Carriages, Valerayy kini memasuki era baharu dengan keyakinan dan tenaga yang diperbaharui. “Kali ini saya lebih tenang.
“Saya hanya teruja dan berharap dapat menemui pendengar yang dapat menghayati sisi gelap dalam muzik saya. Saya sayang kedua-dua EP saya, tapi saya harus akui, saya mungkin lebih menyukai yang ini,” ujarnya.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran VILLAIN, Valerayy akan membuat persembahan secara langsung di acara Nights of Fright 11 yang akan berlangsung di Sunway Lagoon pada 31 Oktober 2025.
Para peminat boleh menantikan malam Halloween yang mengujakan apabila beliau mempersembahkan dua lagu daripada EP terbaharunya, “Villain”dan lagu penuh semangat “Greatest Warrior.”
Ia merupakan persembahan langsung pertama bagi era VILLAIN, yang menjanjikan pengalaman persembahan yang memukau dan sesuai dengan suasana seram malam tersebut.
Melihat ke hadapan, Valerayy berhasrat untuk lebih aktif dalam talian serta mempersembahkan muziknya di lebih banyak pentas secara langsung.
“Saya mahu lebih aktif menghasilkan kandungan dalam talian dan saya benar-benar teruja untuk bermain di lebih banyak persembahan, mungkin juga di festival pada masa akan datang,” jelasnya.
VILLAIN kini boleh didapati di semua platform penstriman utama. – KopiPlanet.com



