
Cradle Buat Kejutan, Tampil Dengan Album Baharu ‘Hela Nafasku’ Selepas 20 Tahun Menyepi
Band rock alternatif terkenal, Cradle, muncul membawa kejutan dengan pembikinan album studio baharu, Hela Nafasku, selepas hampir 20 tahun menyepi.
Membawa vibrasi 90an, band ini yang menembusi pasaran tanah air di tengah aliran muzik grunge, tiga dekad lalu, tampil dengan barisan baharu untuk menunaikan impian yang lama tertunda.
Penghasilan Hela Nafasku, menurut pengasasnya, Addy Rasidi, bukan sekadar pernyataan mengenai kemunculan semula Cradle, malah meneruskan legasi dengankarya berjiwa Nusantara mereka, bermula dengan Ayuh! sebagai single pertama.
Beberapa kali bertukar anggota sejak penubuhannya pada 1995, Addy yang juga pemain gitar utama meneruskan perjuangan Cradle, hari ini, bersama Eiz Mohd sebagai vokalis, Zul Wahab (pemain bes) dan Adha Lizam ([pemain dram).
Hela Nafasku yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sememangnya satu keraian. Paling bermakna, album ketiga ini yang hadir selepas hampir 20 tahun Cradle menyepi dilancarkan pada tahun ke-30 penubuhannya, ketika penghasilan album studio penuh dianggap tidak lagi relevan berbanding single.
“Impian untuk menghidupkan semula Cradle lama terpendam apabila saya sibuk dengan projek solo. Kini, tempoh hibernasi telah tamat dan Cradle kembali sebagai legasi untuk generasi baharu, direalisasikan dengan Hela Nafasku ,” katanya, seraya mengumumkan persembahan Cradle Live! pada 14 November ini sempena kelahiran album berkenaan.
Turut menampilkan legenda muzik, Datuk Ramli Sarip sebagai tamu istimewa, malam anjuran Rasa Karya itu bakal berlangsung di Poolside Bistro, Ideas Hotel Kuala Lumpur.
Tiket berharga RM250 (VIP) dan RM160 yang disertakan bufet makan malam itu boleh didapatkan dengan melayari www.iLassoTickets.com/cradlelive atau hubungi hotline +6011 13297822.
Dirakam di Studio 47, Singapura, dan Sonic, Malaysia, Hela Nafasku memuatkan 11 lagu baharu, sebahagiannya ciptaan Addy dan Eiz. Addy, selain merupakan Penerbit Eksekutif bersama Lisa Ang, turut bertindak sebagai Produser Album, Pengarah Artistik dan Penyusun Muzik.
Bernaung di bawah label Rasa Karya milik Ramli yang juga Penasihat Eksekutif album, Addy berkata, proses rakaman bermula pada 2023, iaitu selepas Eiz yang dilamar seawal 2017 hanya menyatakan persetujuannya selepas cubaan kedua, lima tahun kemudian.
“Cradle, semasa masuk studio hanya ada saya dan Eiz. Seperti Eiz, lama saya mencari pemuzik. Sesi santai dengan Zul Wahab, juruteknik gitar pemuzik dikagumi, Allahyarham Aji, tanpa diduga membawa kepada kesediaannya menyertai sebagai pemain bes.
“Adha pula, pada usia 29 tahun, menyuntik rasa segar dengan energinya. Satu video persembahannya yang dimuat naik seorang seorang kawan menyerlahkan potensinya, namun selepas diperkenalkan, setahun dia menyepi.
“Saya hampir berputus harap apabila dia tiba-tiba menghubungi, bertanya apakah Cradle masih memerlukan pemain dram. Sebaik melihatnya bermain, sahlah dia memang ditakdirkan untuk Cradle,” katanya.
Cradle meraih perhatian menerusi album sulung, Gurindam Keluli pada 1996, sebelum meledak dengan album kedua, Ceritera Awan yang meraih trofi Lagu Terbaik Tahun 2008 menerusi lagu berjudul Ayu dan turut dinobat Album Terbaik Tahun 2008, Anugerah Planet Muzik 2008.
Eiz yang berpengalaman sebagai vokalis Gerilia, sebuah projek dicetuskan Along, pemain gitar Exists, malah membuat persembahan bersama Exists, menyifatkan usaha untuk menjenamakan semula Cradle adalah satu cabaran dan tanggungjawab besar.
“Cuma apa yang boleh saya katakan ialah Cradle membawa satu aliran muzik yang hampir tidak dilakukan band tempatan lain,” katanya, malah yakin gabungan mereka berempat “menjadikan Cradle tampil unik, terutama daripada segi muziknya, warnanya.” – KopiPlanet.com
INFO
CRADLE LIVE! Bersama Tamu Khas Datuk Ramli Sarip
TARIKH: 14 November 2025
TEMPAT: Poolside Bistro, Tkt 3 Ideas Hotel, Kuala Lumpur
JAM: 8.00 pm (Bufet makan malam), 9pm (Showtime )
PENGANJUR: Rasa Karya
TIKET: RM250 (VIP) dan RM160. Harga termasuk bufet makan malam dan showtime. Layari www.iLassoTickets.com/cradlelive atau hubungi hotline +60 11-1329 7822 untuk tempahan



