Cerita ArtisHiburan

Mahu Kembalikan Semula Keindahan & Nostalgia Irama Malaysia, Siti Nordiana Tampil Dengan ‘Ahai’

Penyanyi terkenal, Siti Nordiana, atau mesra disapa Nana, tampil dengan kelainan menerusi single terbaharunya berjudul Ahai, sebuah karya  Irama Malaysia moden ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh di bawah syarikat rakaman 1711 Music.

Menurut Siti Nordiana, Ahai adalah hasil impiannya selama dua tahun untuk mengembalikan semula keindahan dan nostalgia lagu Irama Malaysia ke dalam arus muzik semasa.

“Sudah lama sebenarnya saya berniat nak keluarkan lagu Irama Malaysia. Dulu saya pernah rakam lagu genre ini dan memang teringin nak kembalikan semula momen itu. Jadi, selepas dua tahun berfikir dan merancang, alhamdulillah akhirnya terlaksana juga bila saya kongsi hasrat itu dengan Ikhwan dan Wan Saleh,” katanya.

Nana berkata, lagu Ahai mula dirancang sejak awal tahun dan melalui beberapa sesi rakaman sebelum dimuktamadkan. 

Menurutnya, kolaborasi bersama dua komposer berpengalaman itu sangat serasi dan menghasilkan sesuatu yang benar-benar menepati cita rasanya.

“Saya memang puas hati dengan duo hebat ni. Apa yang saya mahu mereka berikan. Ahai memang jiwa saya sebab ada bunyi kompang, gendang dan elemen tradisional yang mengimbau zaman kita membesar dulu, tapi dalam gaya moden. Lenggok vokal pun hasil perbincangan kami bertiga,” katanya.

Menurut Nana lagi, Ahai bukan sekadar karya hiburan, tetapi satu usaha kecil untuk memartabatkan semula muzik Irama Malaysia agar terus relevan dalam kalangan generasi muda.

“Irama Malaysia ini memang jiwa saya dari dulu lagi. Saya membesar dengan lagu-lagu genre ini termasuk menyertai pertandingan bintang asli sejak kecil. 

“Malah, dulu saya pernah keluarkan album Irama Malaysia berjudul Firuz pada 2003. Jadi, apabila peminat pun sering minta saya nyanyi lagu Irama Malaysia masa ‘show’, saya berasa inilah masa yang sesuai untuk kembalikan genre ini dengan pendekatan lebih segar,” katanya.

Dari segi konsep dan melodi, Ahai tampil berbeza dengan lagu-lagu Siti Nordiana sebelum ini yang lebih menjurus kepada pop balada atau pop rock. 

Kali ini, Ahai dibina dengan bunyi tradisional seperti gendang dan kompang, menjadikan iramanya lebih ‘asli’ namun tetap mudah diterima pendengar masa kini.

Dalam pada itu, Nana berkata, rakaman lagu Ahai juga memberi cabaran tersendiri buat dirinya dari segi kawalan emosi, penghayatan dan karakter vokal.

“Lagu ni bercerita dan memberi nasihat kepada pasangan yang baru berkahwin. Jadi, saya kena  main dengan emosi yang mana ada masa kena lembut, tegas, tapi dalam nada gurau senda. Rentaknya pun laju, jadi kena seimbang antara tenaga dan kelembutan,” katanya.

Selain melodi dan vokal yang memikat, Ahai membawa mesej yang cukup bermakna iaitu nasihat, kasih sayang dan tanggungjawab dalam rumah tangga.

“Lirik lagu ini sangat indah dan bermanfaat. Ia mengingatkan kita supaya menjaga diri, niat perkahwinan dan berbuat baik kepada pasangan. 

“Jangan sesekali aniaya orang yang kita sayang sebab setiap perbuatan ada balasannya. Lagu ini boleh dijadikan panduan hidup, bukan sekadar hiburan,” katanya.

Bersempena pelancaran lagu ini, Nana turut menampilkan video muzik rasmi Ahai yang akan ditayangkan pada 7 November, jam 9 malam di saluran YouTube 1711 Music. 

Istimewanya, muzik video tersebut turut menampilkan Siti Nordiana FC sebagai artis undangan, menambahkan lagi kemeriahan visual karya ini.

Lagu Ahai kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital mulai 7 November dan video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’ di pautan ini https://youtu.be/jXNGC3N6eHk?si=O9EVoI3638skcGpI

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button