EventHiburan

FINAS Zahir Rasa Bangga & Penghargaan Kejayaan Penganjuran FFM34

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menzahirkan rasa bangga dan penghargaan yang mendalam atas kejayaan penganjuran Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang melabuhkan tirainya pada 1 November lalu dengan penuh keindahan, keagungan dan semangat juang insan seni tanah air.

Menurut Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, kejayaan FFM34 bukan sahaja mencerminkan kematangan industri filem Malaysia, tetapi juga menjadi simbol kekuatan baharu hasil kesatuan minda dan tenaga warga perfileman tempatan.

“FFM34 menjadi cerminan kepada semangat perjuangan dan kreativiti tanpa sempadan para penggiat seni tanah air. Kita menyaksikan bagaimana pengarah, penulis, pelakon, krew produksi dan semua yang berada di balik tabir berganding bahu menjayakan sebuah industri yang bukan sahaja menghibur, tetapi mendidik dan menggerakkan hati masyarakat.

“FINAS amat berbangga dengan pencapaian ini dan akan terus memperkukuh usaha menjadikan filem Malaysia satu jenama yang dihormati, bukan sekadar di rantau ini, tetapi juga di pentas dunia,” ujar Datuk Hans Isaac.

Tambah beliau, kejayaan ini turut menjadi bukti bahawa strategi dan dasar yang diterajui oleh Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, telah memberi arah dan sokongan yang jelas untuk memperkukuh ekosistem perfileman negara.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada YB Menteri atas bimbingan dan visi beliau yang progresif. Beliau sentiasa mengangkat kepentingan seni dan budaya sebagai wahana pembentukan bangsa. FINAS akan terus memainkan peranan strategik untuk menjayakan aspirasi ini,” jelas Datuk Hans.

Tahun 2025 turut mencatat pelbagai pencapaian membanggakan buat filem Malaysia, antaranya:

  • Filem Babah dinobatkan sebagai Filem Terbaik di FFM34.
  • Filem seram tempatan Malam Terlarang pula mencatat kutipan tinggi dan diiktiraf sebagai Filem Seram Terbaik 2025.
  • Blood Brothers: Bara Naga dan Ejen Ali The Movie 2 turut mencatat kutipan box office yang memberangsangkan, satu isyarat jelas bahawa penonton tempatan semakin menghargai karya buatan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, menyifatkan FFM34 sebagai lebih daripada sekadar majlis penganugerahan, sebaliknya sebagai manifestasi besar cinta, pengorbanan dan perjuangan insan seni terhadap layar perfileman Malaysia.

“FFM adalah pentas mempertemukan generasi lama dan baharu dalam satu semangat juang.FFM34 telah menjadi tanda aras yang memperlihatkan betapa industri kini semakin menghargai bakat pengarah muda yang berada pada barisan hadapan perjuangan memartabatkan filem tempatan.

“Nama-nama seperti Syafiq Yusof, Syamsul Yusof, Usamah Zaid Yasin, Abhilash Chandra, Adrian Teh, Zulkarnain Azhar, Joel Soh, Andrew Chiew dan Chiu Keng Guan kini menjadi rujukan dan inspirasi, menandakan kemunculan generasi baharu yang bersedia membawa filem Malaysia ke pentas global,” jelas Datuk Azmir.

Beliau menyifatkan FFM sebagai ‘hari raya’ buat warga industri; tempat para karyawan meraikan pencapaian, berkongsi inspirasi dan memperkukuh rasa kekeluargaan sesama penggiat seni. Kelihatan dengan jelas generasi muda dalam industri perfileman semakin bersemangat untuk bersama-sama meraikan kehadiran FFM pada tahun ini. 

“Kejayaan-kejayaan ini menjadi bukti bahawa industri filem kita kini bernafas segar, bersedia melangkah ke puncak baharu dengan gabungan tenaga muda dan pengalaman lama,” jelas beliau.

Dalam konteks memperkukuh ekosistem industri, Datuk Azmir menegaskan bahawa sinergi antara pembuat dasar, media dan penggiat seni amat penting dalam membina naratif positif terhadap industri filem tempatan.

“Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) misalnya, telah memainkan peranan strategik dalam memastikan suara seni Malaysia ‘didengar’, ‘dilihat’ dan ‘dirasa’ oleh masyarakat. Gabungan sinergi antara visi dasar dan kekuatan media membuktikan bahawa apabila kedua-duanya berpadu, naratif seni bukan sekadar didengar tetapi turut dihayati dan menyentuh hati rakyat,” katanya.

Menurut beliau lagi, FINAS amat menyedari bahawa kemajuan industri filem tidak boleh digerakkan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan jaringan kolaborasi yang erat antara semua pihak.

“Peranan rakan strategik seperti WHAM amat penting, bukan sahaja dalam memperluas capaian promosi, tetapi juga memberi idea, pandangan serta pendekatan baharu bagi memastikan seni filem tempatan terus relevan, segar dan dekat di hati rakyat.

“FINAS amat menghargai peranan media dan penggiat seni yang terus bersama kami membina jalinan strategik dalam memartabatkan industri. Kerjasama sebegini perlu diteruskan dan diperkukuh kerana hanya melalui sinergi inilah industri filem kita dapat berkembang dengan lebih terarah, berdaya tahan dan berpengaruh di pentas global,” ujar Datuk Azmir lagi.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button