
Timbulkan Sensitiviti Hingga Ditegur Menteri Agama, Video Muzik ‘Question’ Nyanyian Dolla Diturunkan Di Platform Digital
Syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengambil maklum dan memahami sepenuhnya kebimbangan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan Dolla dalam video muzik terbaharu mereka yang dianggap tidak sesuai serta menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton.
Ia termasuk kenyataan terbaharu daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Sehubungan itu, pihak Universal Music Malaysia mengambil keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut daripada semua platform digital sebagai langkah bertanggungjawab serta demi menjaga sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata keputusan ini dibuat selepas melakukan penelitian semula terhadap keseluruhan kandungan produksi dan maklum balas masyarakat.
“Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat. Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.
“Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut adalah langkah yang wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya.
Universal Music Malaysia juga menegaskan bahawa pihaknya komited memastikan setiap perancangan kreatif selepas ini melalui proses semakan yang lebih ketat, melibatkan perbincangan dalaman serta konsultasi profesional bagi mengelakkan isu sebegini berulang.
Pihak syarikat turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan masyarakat yang memberikan maklum balas secara terbuka dan membina, serta berharap perkara ini dapat ditangani dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik Malaysia secara keseluruhan. – KopiPlanet.com



