
Penangan Watak Kak Ju, Che Ta Akui Kini Dia Mula ‘Dibenci’ Penonton
Keputusan pelakon popular Rozita Che Wan atau Che Ta untuk kembali aktif berlakon dilihat tepat apabila watak antagonis lakonannya sebagai Kak Ju (Juriah) menerusi drama Bahagia Yang Tertangguh mula menjadi bualan penonton.
Selepas hampir tiga tahun tidak berlakon dan banyak menumpukan bidang perniagaan, isteri kepada Zain Saidin itu berkata, penangan watak Kak Ju Itu mencetuskan pelbagai rasa amarah dan geram sehingga dia mula dibenci dan mengundang kemarahan ramai.
“Ternyata karakter Kak Ju itu umpama mengembalikan ingatan dan kenangan saya saat melakonkan watak Kiah Pekasam suatu ketika dahulu. Cuma bezanya inilah kali pertama saya berlakon watak antagonis dan tak sangka pula watak itu semakin berbekas di hati penonton.
“Sejak siaran episod awal lagi, bayangkan sudah berbakul-bakul komen dan kecaman penonton serta netizen saya terima. Siap pakej makian minta Kak Ju ditidurkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tak kurang juga yang komen minta watak Kak Ju dimatikan segera. Ada juga yang komen dan cakap berdepan bila jumpa saya dengan nada sinis nak ‘pijak’ Kak Ju,” katanya.
Drama tempatan terbitan iFabulous Art Media & Event Sdn. Bhd (iFame) arahan Osman Ali itu sudah disiarkan untuk siaran Astro Ria baru-baru ini.
Namun begitu, jelas Ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, dia tidak melihat percikan amarah dan geram terhadap watak dilakonkan itu sebagai satu ancaman.
“Saya percaya apabila watak itu meninggalkan kesan di hati penonton, sama ada dari sudut positif atau negatif, bererti diri ini sudah cuba memberikan sehabis baik dalam menghidupkan watak Kak Ju. Syukur lakonan saya diterima dan beri impak.
“Komen dan kecaman sebegitu kalau difikirkan buat saya rasa nak gelak sebab geram punya fasal, mereka (penonton) sampai nak itu ini dengan Kak Ju,” katanya.

Pada masa sama, Che Ta berterima kasih kepada pihak produksi, stesen TV dan pengarah atas kepercayaan yang diberikan, meskipun sudah lama tidak berlakon.
“Mereka berani cabar saya dengan watak sebegini dan keluar dari kepompong kebiasaan. Ikutkan saya seperti orang tahu, memang lantang bersuara. Saya dengan anak pun jenis tegas. Cuma mungkin sebelum ini tak ada produksi berani buka peluang serta mencabar saya bawa watak jahat.
“Sampai anak saya berseloroh cakap watak Kak Ju itu seperti diri sendiri. Tapi saya di rumah tidaklah sekejam Kak Ju. Malah kawan anak saya di Jerman yang menonton drama ini dalam talian pun terkejut dengan lakonan berkenaan yang sangat garang, ‘laser’ dan cakap lepas,” Katanya.
Che Ta yang bakal menyambut menantu pertama tahun depan juga menjelaskan melakonkan watak antagonis sebenarnya lebih mudah dari protagonis.
“Watak jahat macam ini tak perlu nak ‘control’. Lepaskan saja apa yang mahu diluahkan. Kalau watak baik pula kita kena banyak kawal dan bermain rasa serta emosi.
“Cuma selepas drama ini, sebolehnya saya tolak dulu watak antagonis kalau ditawarkan. Bukan tak nak lagi jadi jahat, tapi mungkin saya letakkan jurang atau tempoh masa,” katanya. – KopiPlanet.com



