
Konsert ‘Malam 3 Suara’ yang berlangsung di Idea LIVE Arena, Kuala Lumpur baru-baru ini telah berjaya mencipta pengalaman muzik penuh emosi.
Ia telah dihadiri seramai 4,000 penonton yang membanjiri arena bagi menyaksikan gabungan tiga suara hebat dari Indonesia iaitu Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito.
Lebih dua jam persembahan yang disusun rapi itu nyata menghiburkan dan membelai jiwa, membawa penonton menyelami perjalanan emosi menerusi rangkaian lagu balada, cinta dan harapan yang disampaikan dengan penuh penghayatan.
Lebih istimewa lagi, sorakan dan nyanyian bersama penonton membuktikan kehangatan sambutan terhadap konsert eksklusif ini.
Dibawakan oleh Strategy X Entertainment Sdn. Bhd, ‘Malam 3 Suara’ bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah naratif muzik yang menyatukan tiga identiti vokal berbeza dalam satu malam istimewa.

Setiap penyanyi tampil dengan segmen solo tersendiri sebelum bergabung dalam persembahan duet dan kolaborasi khas yang hanya dipersembahkan pada malam tersebut.
Gabungan kelembutan vokal Anggi Marito, emosi mendalam Fabio Asher serta pesona dan tenaga Rizky Febian mencipta sebuah harmoni yang menyentuh perasaan penonton dari pelbagai lapisan usia.
Persembahan lebih 20 buah lagu yang dipilih secara teliti berjaya mengekalkan emosi penonton dari awal hingga ke penghujung konsert.
Menurut wakil penganjur, kejayaan konsert ini membuktikan bahawa muzik yang jujur dan berjiwa mampu merentasi sempadan serta menghubungkan emosi antara artis dan penonton.

“Sambutan luar biasa daripada 4,000 penonton malam ini amat bermakna buat kami. ‘Malam 3 Suara’ berjaya mencapai matlamatnya sebagai sebuah konsert yang bukan sahaja menghiburkan, malah membelai jiwa dan meninggalkan kenangan indah,” ujar wakil penganjur.
Konsert ini sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam penganjuran acara muzik rentas negara, serta membuka ruang untuk lebih banyak kolaborasi serantau pada masa akan datang. – KopiPlanet.com



